Lembaga Warisan Negara (NHB) sedang merintis skim baru untuk mengiktiraf dan menyokong perniagaan warisan teladan yang menunjukkan kepentingan sejarah, masyarakat dan budaya.
Skim Perniagaan Warisan SG adalah skim pemerintah pertama yang bertujuan mengiktiraf, memacu kesedaran serta memberi inspirasi kepada penghargaan dan naungan yang lebih besar untuk perniagaan tempatan berdasarkan kualiti warisan mereka.
Berucap di Parlimen pada 10 Mac, Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, berkata inisiatif itu bertujuan mengiktiraf perniagaan warisan yang boleh dicontohi dan membantu meningkatkan permintaan untuk produk tersebut.
“Perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya 30 tahun, menyediakan perdagangan, barangan atau perkhidmatan yang berakar umbi tempatan, dan menyumbang secara signifikan kepada identiti masyarakat atau tempat, boleh dinamakan sebagai Perniagaan Warisan SG.
“Mereka akan menerima sokongan kempen jenama serta akses kepada sokongan perniagaan seperti perkhidmatan perundingan,” kata Cik Low.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), dalam satu kenyataan pada 10 Mac, berkata skim tersebut akan dirintis di kawasan pemuliharaan utama seperti Chinatown, Kampong Gelam dan Little India – tempat perniagaan warisan menyumbang dengan ketara untuk memelihara identiti.
Skim ini akan dibuka kepada perniagaan tempatan yang telah didaftarkan di kawasan itu dan telah beroperasi selama sekurang-kurangnya 30 tahun, dan menunjukkan kepentingan masyarakat dan budaya.
Melalui skim itu, perniagaan boleh menerima sokongan untuk menggalakkan mereka mengekalkan perniagaan mereka termasuk penjenamaan, pemasaran dan perundingan oleh NHB, serta agensi dan rakan kongsi lain.
Skim ini adalah sebahagian daripada usaha Pelan Warisan SG Kita 2.0 NHB untuk melindungi identiti budaya dan warisan Singapura, serta menyokong ekosistem warisan yang lebih luas di Singapura.
Ia akan melengkapkan usaha sedia ada oleh NHB seperti Geran Transformasi Organisasi dan Galeri Warisan Sudut Jalan, untuk mempromosikan dan menyokong perniagaan warisan yang telah dan terus memainkan peranan dalam menghidupkan dan menyokong masyarakat mereka.
Skim Perniagaan Warisan SG adalah sebahagian daripada Pasukan Bertindak Antara Agensi Mengenai Perniagaan Warisan, Kegiatan Tradisional dan Kehidupan Budaya.
Pasukan tersebut merupakan usaha pelbagai agensi untuk menghimpunkan agensi utama, rakan kongsi komuniti dan perniagaan warisan untuk mengembang dan mengekalkan perniagaan serta aktiviti penting dalam memastikan kerancakan kawasan warisan Singapura.
Panggilan untuk pencalonan ke skim itu akan dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg