Suasana malam gelap pekat yang sunyi tiba-tiba bertukar menjadi kecoh apabila kebakaran melanda di ladang ternakan ikan berhampiran Pulau Tekong pada 21 Januari 2024.
Namun, Penolong Superintenden Polis (ASP) Abdul Rahman Mohamad Karim yang merupakan Komander Darat di Polis Pengawal Pantai (PCG) dan Staf Sarjan Kanan (SSS) Woon Guo Jin, yang merupakan Penolong Komander Kru kapal peronda PCG, dengan segera bertindak untuk ke lokasi berkenaan.
Secara serentak, mereka menyelaras rancangan bertindak dengan memanfaatkan sumber Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Penguasa Pelabuhan Maritim (MPA).
Sampai sahaja di ladang ternakan ikan itu, ASP Rahman dan SSS Woon serta pasukan pegawai PCG yang dipimpin membantu dalam memastikan api yang menyala itu tidak merebak dan menambah bahaya pada kawasan berdekatan ladang dengan menggunakan alat pemadan api daripada kapal peronda mereka.
Pada 22 Oktober, pasukan PCG yang berjaya menyelamatkan 13 pekerja ladang ternakan ikan ini menerima Anugerah Kecemerlangan Operasi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada majlis penyampaian Anugerah Menteri di Akademi Home Team di Old Choa Chu Kang Road.
Majlis ini meraikan pegawai, pasukan dan agensi yang menunjukkan keberkesanan dan kecekapan dalam operasi, kes dan projek utama atau menunjukkan mutu kecemerlangan inovasi dan khidmat yang tinggi dalam tugasan.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, yang hadir pada majlis tersebut, memuji pasukan ini yang bekerjasama dengan SCDF dan SPF dalam melindungi nyawa dan harta benda.
“Seramai 13 orang telah dipindahkan dari ladang ternakan ikan ini dengan usaha PCG, manakala SCDF memastikan kebakaran tidak merebak lantas mengurangkan kerosakan lanjut yang bolehj berlaku,” kata Encik Shanmugam.
Sebanyak 135 anugerah disampaikan dengan separuh daripadanya melibatkan kerjasama antara agensi.
Menceritakan pengalamannya ketika ditemui Berita Harian (BH), ASP Abdul Rahman, 52 tahun, berkata keutamaannya adalah menyelamatkan pekerja di ladang ternakan ikan itu.
“Sambil memikirkan anak perempuan saya di rumah, saya bayangkan kegentingan suasana dan perlu menyelamatkan nyawa pekerja ini,” ujarnya.
SSS Woo, 33 tahun, menambah bahawa hambatan bahasa merupakan satu cabaran semasa misi menyelamat dijalankan.
“Komunikasi sukar. Kami menggunakan isyarat tangan untuk mengarah pekerja asing ini ke tempat selamat,” tambahnya.
Berikutan kejadian itu, kata-kata perangsang orang ramai mencurah di platform media sosial demi menggalakkan kededua pegawai PCG ini agar terus gigih menjalankan amanah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg