Empat lagi maktab rendah (JC) akan diberi wajah baru di bawah Fasa Kedua Program Pembaharuan JC.
JC itu ialah Anglo-Chinese, Catholic, Kebangsaan dan Victoria. Empat JC itu dipilih kerana bangunan mereka yang lebih tua.
Ini menyusuli empat JC – Anderson Serangoon, Jurong Pioneer, Temasek dan Yishun Innova – yang telah melalui pembaharuan di bawah fasa pertama program tersebut.
Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), kampus yang diperbaharui akan mempunyai kemudahan yang dipertingkat seperti ruang yang boleh dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan dan pedagogi berbeza.
Ini termasuk menyesuaikan ruang tersebut bagi pengajaran gaya seminar dan perbincangan kerja projek.
Selain itu, kampus baru juga akan dipertingkat untuk memenuhi minat pelajar dan program khusus seperti bagi kegiatan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).
Kakitangan juga akan mempunyai ruang kerja pelbagai fungsi untuk memudahkan interaksi dan kerjasama.
MOE telah bekerjasama rapat dengan empat JC di bawah fasa pertama Program Pembaharuan JC itu untuk reka bentuk kampus baru mereka.
Misalnya, kampus baru Anderson Serangoon JC terbentuk daripada dua blok pengajaran setinggi 11 tingkat setiap satu dan terletak pada plot sebesar 4.3 hektar.
Ia juga mempunyai dataran perbarisan terlindung, perpustakaan yang mempunyai pemandangan terbuka dan Galeri Warisan yang meraikan kekayaan sejarah dan warisan sekolah itu.
Anggaran belanjawan bagi fasa pertama ialah sekitar $570 juta, menurut kementerian tersebut.
MOE kali pertama mengumumkan fasa pertama Program Pembaharuan JC pada 2019. Difahamkan JC yang diperbaharui di bawah fasa tersebut akan sedia beroperasi menjelang 2028.
Bagi JC yang bakal diperbaharui di bawah fasa kedua pula, MOE akan mengumumkan maklumat lanjut, termasuk kemungkinan para pelajar dipindahkan buat sementara waktu, pada masa yang sesuai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg