Anugerah Mendaki-Zainul Abidin fokus pada bimbingan mentor kepada penerima

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah Mendaki-Zainul Abidin fokus pada bimbingan mentor kepada penerima

Anugerah bernilai $150,000 akan diagih dalam tempoh tiga tahun; dijangka manfaat 15 penuntut politeknik dan universiti tempatan
Mar 6, 2026 | 3:17 PM

Anugerah Mendaki-Zainul Abidin fokus pada bimbingan mentor kepada penerima

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, Zainul Abidin Rasheed, Anugerah Mendaki-Zainul Abidin
Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) dan mantan editor Berita Harian (BH), Encik Zainul Abidin Rasheed, menganggap bimbingan mentor sebagai tiang seri yang menggerakkan kejayaannya dalam setiap bidang yang diceburi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun pernah memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta, Encik Zainul Abidin Rasheed menganggap bimbingan mentor sebagai tiang seri yang menggerakkan kejayaannya dalam setiap bidang yang diceburi.

Mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) dan mantan editor Berita Harian (BH) berusia 77 tahun itu malah berkata, beliau banyak mendapat manfaat daripada perhubungan mentor – yang melangkaui sekadar kaitan di tempat kerja.

Dalam wawancara bersama BH baru-baru ini, beliau berkongsi:

“Saya telah menerima manfaat daripada panduan dan persahabatan beberapa mentor dalam kehidupan saya.

“Bukan hanya daripada hubungan mentor-menti formal, tetapi melalui peluang mendapatkan nasihat dan bimbingan sepanjang proses perhubungan itu terjalin.”

Dengan semangat pementoran ini dan hasrat untuk menyumbang kembali, beliau baru-baru ini mengumumkan penubuhan Anugerah Mendaki-Zainul Abidin bernilai $150,000 yang akan diagihkan dalam tempoh tiga tahun.

Salah satu fokus utama anugerah itu adalah penglibatan Encik Zainul sebagai mentor kepada penerima, terutamanya dalam menyelia projek atau inisiatif sosial mereka.

Lima pelajar terpilih akan menerima anugerah tersebut setiap tahun dan secara keseluruhan, ia dijangka memanfaatkan 15 pelajar yang menuntut di politeknik dan universiti tempatan.

Menurut Encik Zainul, anugerah ini dibentuk bukan sahaja sebagai cara beliau menyumbang kembali kepada masyarakat, tetapi juga untuk mengiktiraf pelajar Melayu/Islam yang cemerlang secara menyeluruh.

Kecemerlangan ini merangkumi akademik, kepimpinan, inisiatif kemasyarakatan yang dirintis, atau kepakaran dalam bidang tertentu.

Oleh itu, anugerah tersebut tidak terhad kepada pelajar daripada sebarang bidang atau kursus pendidikan sepenuh masa yang khusus.

“Ia tidak seharusnya menjadi satu kayu akur bidang pengajian apa yang diceburi. Malah, ia juga tidak seharusnya menjadi kayu akur berkenaan sesuatu kerjaya atau bidang pekerjaan seseorang.

“Ruang untuk menyumbang kepada masyarakat sentiasa ada, dan itulah tumpuan anugerah ini,” tegas beliau.

Menyentuh tentang tokoh yang memberi kesan kepadanya, beliau menyebut Allahyarham Ridzwan Dzafir.

Allahyarham pernah menjadi Pengarah Perdagangan di Lembaga Pembangunan Perdagangan, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pengerusi Yayasan Mendaki dan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Encik Zainul merupakan pengganti Allahyarham bagi jawatan Presiden Muis, Pengerusi Mendaki, dan Pengerusi MHF.

Beliau berkata: “Allahyarham menaburkan bakti yang hebat dalam sektor pemerintah dan mendaki tangga kerjaya.

“Dalam beberapa jawatan (yang disandang Allahyarham), saya merupakan ‘understudy’ atau penggantinya, dan saya banyak belajar daripada guru saya, Allahyarham Ridzwan.”

Justeru, beliau menganggap ia satu penghormatan setelah dapat terus menabur bakti kepada masyarakat.

“Pada peringkat kehidupan saya ini, selepas beberapa dekad bekerja keras dan berkhidmat dalam sektor awam… saya merasakan ia satu kewajipan untuk mencari pelapis dan berkongsi pengalaman saya.

“Ini di samping menyuntik inspirasi kepada belia kita agar mereka bukan sahaja menyumbang kepada masyarakat, tetapi mengorak langkah bagi membina masyarakat kita,” tambah beliau.

Permohonan anugerah bagi pelajar politeknik sudah dibuka sejak 25 Februari dan berakhir pada 30 April.

Pelajar universiti pula boleh memohon mulai 13 Mei hingga 15 Julai.

Permohonan atau maklumat lanjut mengenai kriteria anugerah boleh dibuat melalui laman Anugerah Mendaki-Zainul Abidin di pautan bh.sg/MendakiZainulAbidin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg