Anggota Parlimen (AP) mengalu-alukan undang-undang baru yang diluluskan pada 4 November di Parlimen bagi membenarkan hukuman sebat mandatori bagi penipu, serta ahli dan perekrut sindiket penipuan.
Beberapa AP yang berucap mengalu-alukan hukuman lebih tegas terhadap penipu, sementara yang lain menyeru hukuman lebih berat dikenakan di samping menaikkan had umur sebat kepada 60 tahun.
Semasa perbahasan, Encik Xie Yao Quan (Jurong Central), menyeru hukuman lebih berat bagi penipu agar ia selari dengan kesalahan berkaitan dadah.
“Pada pendapat saya, penipu tidak kurang berbahaya kepada masyarakat kita berbanding pengedar dadah Kelas A yang terkawal,” katanya, walaupun beliau menambah dirinya tidak akan menyeru hukuman mati bagi penipu paling kejam.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, dalam responsnya, berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyedari keperluan menyelaraskan pendekatannya.
“Kami telah mencadangkan agar hukuman rotan dapat dikenakan, mengikut budi bicara bagi membolehkan Mahkamah memutuskan sama ada fakta kes tersebut memerlukan hukuman rotan. MHA akan memantau keadaan dan melaraskan hukuman selanjutnya jika perlu,” tambahnya.
Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) dari Parti Pekerja (WP) mempersoalkan keberkesanan hukuman sebat sebagai pencegahan kegiatan penipuan, walaupun beliau “tidak bersimpati dengan mereka yang melakukan perbuatan kejam ini”, disebabkan oleh kerugian material dan bahaya psikologi yang dialami oleh mangsa penipuan.
Rakan sekerjanya di GRC Aljunied, Encik Fadli Fawzi, mengusulkan agar pemimpin rangkaian penipuan dapat dicegah dengan lebih baik, dengan meningkatkan kemungkinan mereka ditangkap dan bukannya prospek hukuman lebih berat.
Beliau turut mencadangkan agar diberikan keringanan kepada ejen peringkat bawahan, yang mungkin merupakan peserta yang tidak rela ditipu ke dalam sistem, yang membantu pihak berkuasa dalam membongkar rangkaian jenayah ini.
Dalam responsnya, Cik Sim Ann berkata tahap kerjasama pesalah dengan pihak berkuasa dan tahap penyesalan sudah pun merupakan faktor-faktor pengurangan hukuman yang boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah.
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) menyifatkan peruntukan hukuman sebat mandatori kepada ahli sindiket penipuan dan pendorong mereka sebagai “sesuai” memandangkan di sebalik setiap penipu atau keldai terdapat mangsa yang bukan sahaja kehilangan wang, bahkan juga keyakinan dan maruah.
Encik David Hoe (GRC Jurong East-Bukit Batok) menggesa penguatkuasaan rentas sempadan yang lebih kuat dan pantas terhadap penipuan, dengan menyatakan banyak penipuan yang melanda Singapura tidak lari dari negara ini.
“Ancaman hukuman sebat di sini mungkin tidak menghalang seseorang yang duduk di luar negara atau tidak pernah merancang untuk menjejakkan kaki di Singapura,” katanya.
Beliau turut menyeru pendidikan tentang penipuan lebih praktikal di sekolah dan masyarakat, dan usaha lebih besar dalam melawan stigma yang berkaitan dengan mangsa penipuan.
Bimbang jika seorang remaja berusia 14 tahun boleh dihukum sebagai orang dewasa, Encik Henry Kwek (Kebun Baru) mencadangkan agar pemerintah mengambil pendekatan hukuman secara berperingkat dan peka terhadap usia bagi mereka yang berusia 14 hingga 17 tahun, bagi mengelakkan kesan jurang usia.
Dalam responsnya, Cik Sim Ann berkata langkah tersebut sudah berlaku hari ini.
“Kes-kes yang melibatkan pesalah di bawah umur 16 tahun secara amnya akan terus didengar di Mahkamah Belia.
“Akta Kanak-kanak dan Orang Muda yang dipinda hanya memperuntukkan kes-kes yang melibatkan pesalah berusia antara 16 dengan di bawah 18 tahun, boleh dihantar ke Mahkamah Negara atau Mahkamah Tinggi jika mereka telah melakukan kesalahan serius atau berulang,” kata Cik Sim Ann.
Pada 4 November, Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Pelbagai) setelah ia dibahaskan oleh 11 AP. – ANWAR SALEH
“
“Kita boleh dan harus melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan hukuman rotan mengikut budi bicara ke atas pentadbir lokasi dalam talian yang mengedar bahan lucah untuk mengenakan hukuman bagi kesalahan sedemikian, selaras dengan hukuman bagi serangan atau penggunaan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan di bawah Seksyen 354, Kanun Keseksaan. Ini kerana kekerasan jenayah yang dikenakan melalui cara elektronik oleh pentadbir lokasi dalam talian ke atas mangsa mereka pastinya tidak kurang teruknya daripada kekerasan jenayah yang dikenakan secara langsung oleh pelaku fizikal.”“
“Saya menyokong semakan semula hukuman rotan, untuk memperkenalkan hukuman rotan bagi penipuan dan kesalahan berkaitan penipuan. Dalam tempoh lima tahun lalu, penipuan telah menghancurkan kehidupan dan memecahbelahkan keluarga, dengan rakyat Singapura kehilangan berbilion dolar. Kesakitannya melangkaui kerugian kewangan; sesetengah mangsa berasa begitu terdesak sehingga mereka terpaksa melakukan perkara yang tragik. Keluarga hancur kerana kepercayaan dikhianati dan simpanan yang dibina dengan susah payah sepanjang hayat musnah dalam sekelip mata.”“
“Saya menyokong hasrat rang undang-undang ini, terutama perubahan yang membolehkan kita mengikuti perkembangan jenayah yang sentiasa berubah. Rang undang-undang ini menangani kekosongan penting dalam undang-undang yang muncul akibat kemajuan teknologi, yang sebahagiannya mungkin mempunyai implikasi wilayah tambahan. Contohnya, saya menyokong peruntukan untuk menjadikan penghasilan imej lucah yang dihasilkan komputer sebagai jenayah secara eksplisit bagi mengukuhkan hukuman bagi objek lucah yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan untuk meluaskan skop kesalahan pengantunan seksual bagi meliputi mesyuarat di luar Singapura.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg