Jenayah dan Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Foto intim guna AI, kendali wadah edar bahan lucah kesalahan jenayah

Oct 14, 2025 | 8:35 PM
foto intim, jenayah,
Menghasilkan gambar intim tanpa persetujuan, termasuk gambar yang dijana kecerdasan buatan (AI), akan menjadi satu kesalahan, apabila Rang Undang-undang Jenayah (Pelbagai Pindaan) yang dibentangkan di Parlimen pada 14 Oktober diluluskan. - Foto PIXABAY

Menghasilkan gambar intim tanpa persetujuan, termasuk gambar yang dijana kecerdasan buatan (AI) merupakan satu kesalahan, apabila Rang Undang-undang Jenayah (Pelbagai Pindaan) yang dibentangkan di Parlimen pada 14 Oktober diluluskan.

Rang undang-undang pindaan itu, yang diketengahkan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, juga melanjutkan takrifan gambar intim di bawah Kanun Keseksaan untuk meliputi gambar yang dijana AI sintetik.

Gambar AI sintetik merujuk kepada gambar yang dicipta oleh model AI yang meniru contoh dunia sebenar, misalnya gambar lucah yang menyerupai seseorang.

Ini bermakna jika pelaku didapati memiliki gambar lucah yang dijana sepenuhnya oleh AI, individu tersebut melakukan satu kesalahan jenayah.

Buat masa ini, undang-undang semasa di bawah seksyen 377BE Kanun Keseksaan hanya meliputi gambar atau rakaman yang telah diubah suai, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 14 Oktober.

Dengan pindaan yang akan dilaksanakan, undang-undang ini akan meliputi semua jenis gambar, termasuk gambar sintetik sepenuhnya, tambah kementerian itu.

Menurut MHA, pindaan sedemikian dilakukan dengan mengambil kira kemajuan pesat teknologi masa kini.

“Dengan meningkatnya kecanggihan model AI, ia bermakna gambar sintetik boleh dijana secara sepenuhnya.

“Gambar-gambar ini tidak kurang jelek daripada gambar yang dicipta dengan mengubah suai gambar atau rakaman sedia ada,” kata MHA.

MHA berkata pindaan ini juga bertujuan meminda takrifan berkaitan bahan penderaan kanak-kanak di bawah seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Individu yang ditangkap memiliki bahan penderaan kanak-kanak yang dijana komputer dianggap melakukan satu kesalahan, sungguhpun tanpa bukti gambar kanak-kanak sebenar telah digunakan semasa penghasilan bahan tersebut, jika pindaan ini diluluskan.

Sehubungan itu, rang undang-undang itu turut meminda seksyen 292 Kanun Keseksaan berkenaan jenayah berkaitan bahan lucah, termasuk pengedaran dan penjualan bahan sedemikian.

Antara lain, rang undang-undang itu menyaksikan pindaan kepada umur individu di bawah usia yang dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, jelas MHA.

Kementerian itu berkata ini adalah untuk melindungi individu sedemikian dengan lebih baik dan ia selaras dengan pendekatan di peringkat sejagat berhubung bahan lucah kanak-kanak.

MHA berkata ia juga akan memperkenalkan perincian bagi satu kesalahan baru, menyasarkan mereka yang mengurus wadah dalam talian dengan niat memudahkan pengedaran bahan lucah secara besar-besaran.

Ia menambah berbanding anggota wadah dalam talian berkenaan yang berkongsi kandungan lucah, pengendali atau pentadbir wadah ini “mempunyai tahap kesalahan lebih tinggi”.

Di bawah kesalahan baru ini, mereka yang didapati bersalah mengedarkan bahan lucah secara besar-besaran boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya bahan lucah tersebut melibatkan individu di bawah 18 tahun, hukuman penjara mandatori sehingga empat tahun dan denda akan dikenakan.

Di atas kesalahan mentadbir atau mengurus wadah dalam talian untuk memudahkan pengedaran bahan lucah secara besar-besaran, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda.

Di atas kesalahan yang serupa tetapi bahan lucah tersebut tertera pula individu berusia di bawah 18 tahun, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg