Penipu dan anggota sindiket penipuan akan dikenakan minimum enam sebatan dan maksimum 24 sebatan dengan rotan mandatori manakala keldai skim penipuan akan dikenakan rotan mengikut budi bicara atau discretionary caning sehingga 12 sebatan.
Pesalah bagi penipuan tradisional, misalnya pemalsuan akaun, turut akan dikenakan rotan mengikut budi bicara.
Hukuman sedemikian merupakan antara yang diusulkan di bawah Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Pelbagai) dan dibentangkan buat kali pertama di Parlimen oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, pada 14 Oktober.
Selain pengemaskinian bagi antara lain menangani kesalahan baru, pindaan tersebut sebahagian daripada usaha Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk menyemak hukuman sebat, kata MHA dalam satu kenyataan pada 14 Oktober.
Sebatan rotan mandatori bermakna mahkamah wajib menjatuhkan hukuman sebat kepada pesalah sekiranya didapati bersalah.
Sebatan dengan rotan mengikut budi bicara pula memberi hemah kepada mahkamah untuk sama ada mengenakan hukuman sebat terhadap pesalah, sekiranya individu tersebut didapati bersalah atas jenayah berkenaan.
Kementerian itu menambah daripada 161 kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sebat, MHA ingin memansuhkan hukuman sebat atau menggantikan sebatan dengan rotan mandatori kepada sebatan dengan rotan mengikut budi bicara bagi 22 kesalahan – seperti kesalahan bertindak membahayakan penumpang di bawah Seksyen 87 Akta Kereta Api 1905.
MHA berkata ia menyemak semua kesalahan yang membawa hukuman sebat mandatori atau sebatan mengikut budi bicara bagi menilai sama ada ia masih diperlukan dalam konteks masa kini.
Pertimbangan utama dalam proses semakan ini, kata MHA, termasuk; jika kesalahan tersebut menjadi kebimbangan awam, sama ada berlakunya kemudaratan sebenar akibat daripada kesalahan dan sama ada bentuk hukuman lain setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Hukuman sebat bagi kesalahan berkaitan penipuan pertama kali diutarakan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MHA di Parlimen pada 4 Mac.
Ketika itu, beliau menggalas jawatan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), sebagai menjawab soalan mantan Anggota Parlimen, Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong).
Dr Tan mengajukan soalan berkenaan sejauh mana kewajaran hukuman kesalahan berkaitan penipuan, dengan Cik Sun bersetuju hukuman keras dan pencegahan terhadap mereka yang memudahkan penipuan adalah perlu.
MHA berkata usaha memerangi penipuan terus menjadi keutamaan negara, lebih-lebih lagi dengan kes penipuan dan kerugian akibat penipuan kekal menjadi satu kebimbangan di sini.
Oleh demikian, hukuman sebat dengan rotan bagi kesalahan berkaitan penipuan adalah satu usaha “pencegahan lebih kukuh”.
Mangsa penipuan di Singapura kehilangan $1.1 bilion pada 2024, jumlah kerugian tertinggi yang dicatat dalam setahun, menurut polis dalam laporan tahunan penipuan yang dikeluarkan pada 25 Februari.
Jumlah kerugian keseluruhan berpunca daripada pelbagai taktik penipuan ini adalah sekitar 70 peratus lebih tinggi daripada $651.8 juta yang direkodkan pada 2023.
Secara keseluruhan, mangsa di Singapura telah mengalami kerugian melebihi $3.4 bilion akibat penipuan sejak 2019, dengan polis merekodkan sebanyak 51,501 kes pada 2024 – jumlah kes penipuan tertinggi setakat ini, berbanding 46,563 kes pada 2023.
Sekilas pindaan lain yang diusulkan di bawah Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Pelbagai)
– Penalti yang ditingkatkan bagi pengantunan seksual kanak-kanak (sexual grooming) di bawah seksyen 376E dan 376EA Kanun Keseksaan.
– Tindakan doxxing, iaitu menyiarkan maklumat peribadi seseorang dengan niat mengganggu atau mengugutnya, terhadap penjawat awam adalah kesalahan baru di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Lain (Ketenteraman Awam dan Gangguan).
– Tingkatkan tempoh menunggu daripada tiga hari kepada lima hari bagi pekerja dan peniaga logam berharga di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg