Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah semak perundangan lindung rakyat dari bahaya dalam talian

Sep 25, 2025 | 8:09 PM
rahayu mahzam, bahaya dalam talian, semak, lindung rakyat, MDDI
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam. - Foto MDDI

Pemerintah sedang menyemak perundangan bagi membina perlindungan kawal selia yang diperlukan untuk melindungi rakyat Singapura daripada bahaya dalam talian dengan lebih baik, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Bercakap di Parlimen pada hari keempat perbahasan Amanat Presiden pada 25 September, Cik Rahayu berkata pemerintah juga sedang mengkaji pendekatan yang diambil negara lain seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Australia, dalam cara melaksanakan langkah pengesahan umur untuk kanak-kanak.

“Kita sedang berbincang dengan platform media sosial, badan pemikir dan vendor teknologi untuk memahami ruang bagi menangani masalah ini.

“Kita mahu meletakkan undang-undang berkesan yang boleh melindungi anak-anak kita daripada kandungan berbahaya dan tidak sesuai dalam talian,” kata Cik Rahayu.

Beliau menambah pemerintah juga sedang meningkatkan usaha menambah baik sistem sokongan bagi mereka yang terjejas oleh bahaya dalam talian.

Ini termasuk penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian pada 2026 untuk menyediakan bantuan tepat pada masanya dan yang boleh diakses mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian, seperti buli siber dan penyalahgunaan foto intim.

Beliau merujuk pada tinjauan keselamatan dalam talian yang dijalankan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 2024, yang menunjukkan lebih 70 peratus rakyat Singapura telah menemui kandungan dalam talian yang berbahaya seperti buli siber.

Bagi melindungi rakyat daripada bahaya dalam talian, beliau menekankan usaha pemerintah seperti meminda Akta Penyiaran untuk memberi kuasa kepada agensi mengarah media sosial dan App Store mengambil tindakan terhadap kandungan yang mengerikan.

Cik Rahayu turut berkata pemerintah akan bekerjasama dengan masyarakat dan rakan kongsi industri untuk menyokong ibu bapa dengan lebih baik, menyediakan sumber praktikal dan mudah diakses tentang cara membimbing anak-anak mereka dalam penggunaan digital.

Beliau menjelaskan sumber yang ada seperti Panduan Penggunaan Skrin Dalam Kalangan Kanak-Kanak, memberi nasihat yang jelas tentang topik tersebut, serta Panduan Penggunaan Positif untuk membimbing dalam penggunaan teknologi dan media sosial yang sihat serta positif.

“Sepertimana kita memerlukan seisi kampung untuk membesarkan anak, ia memerlukan komitmen seluruh masyarakat juga untuk menyokong ibu bapa dan belia dalam era digital.

“Kita mahu menyokong ibu bapa dalam memupuk tabiat digital yang sihat dalam kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi,” kata Cik Rahayu.

Dalam ucapannya juga, beliau memberi jaminan pemerintah kekal komited untuk memastikan setiap rakyat Singapura boleh menjadi sebahagian masa depan digital negara.

Cik Rahayu berkata dalam usaha membina Negara Bijak, Singapura mesti melibatkan semua lapisan masyarakat, bukan sahaja mereka yang celik digital.

Beliau berkata walaupun teknologi telah mengubah kehidupan seharian, ramai rakyat Singapura, khususnya warga emas dan keluarga berpendapatan rendah, menghadapi halangan.

Bagi merapatkan jurang itu, beliau berkata program sedia ada seperti subsidi peranti dan Internet telah dimanfaatkan lebih 20,000 isi rumah sejak 2023.

Pejabat Digital Singapura (SDO), bersama Duta Digital yang menyokong golongan yang kurang mahir dengan kemahiran digital, juga telah membantu lebih 400,000 warga emas sejak 2020 dan akan meneruskan usaha tersebut, tambahnya.

Akur bahawa tidak semua warga sudah bersedia atau boleh menerima pakai digital sepenuhnya, Cik Rahayu berkata pemerintah telah memilih untuk memastikan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) fizikal, seumpamanya, kekal tersedia.

Ia juga telah memastikan titik sentuh fizikal seperti Pusat ServiceSG juga disediakan untuk menyokong penduduk yang memerlukan bantuan dengan transaksi digital pemerintah.

“Amanat Presiden mengingatkan kita bahawa kejayaan kita sebagai sebuah negara tidak boleh diukur dengan pertumbuhan ekonomi sahaja.

“Ia juga tentang bagaimana kita menyokong setiap rakyat Singapura, muda atau tua, untuk menyumbang dan hidup secara bermaruah.

“Kita mesti komited dalam memastikan penggunaan digital membantu setiap rakyat Singapura. Tiada siapa yang harus ketinggalan,” kata Cik Rahayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg