Seorang Anggota Parlimen (AP) tambahan di Tampines bagi SMC Tampines Changkat yang baru akan membantu Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkhidmat dengan lebih baik kepada penduduk, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Dalam hantaran Facebook pada 13 Mac, beliau berkata penambahan seorang anggota itu juga akan membantu menangani kebimbangan khusus Tampines Changkat.
Perubahan sempadan pilihan raya di Tampines diumumkan pada 11 Mac dengan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC), lapor The Straits Times.
Walaupun GRC Tampines akan mengambil beberapa daerah daripada GRC Aljunied, ia juga akan mempunyai Tampines Changkat yang digariskan sebagai SMC yang berasingan, mengambil satu daerah mengundi tambahan daripada GRC East Coast.
Encik Masagos, yang merupakan menteri utama PAP di GRC Tampines, berkata SMC baru itu masih dalam keluarga Tampines dan ini bermakna Tampines kini akan mempunyai satu GRC lima anggota dan SMC tersebut.
Beliau berkata: “Penambahan seorang anggota akan membolehkan kami memenuhi keperluan penduduk Tampines dengan lebih baik, serta menangani kebimbangan khusus Tampines Changkat.
“Kami tetap komited untuk meningkatkan kebolehdiaman Tampines, menyampaikan pelan induk lima tahun kami untuk mewujudkan bandar yang lebih hijau, lebih terhubung dan bertenaga untuk penduduk kami.”
Encik Masagos menambah bahawa Tampines Changkat terus menjadi sebahagian daripada rancangan ini, dan mengalu-alukan penduduk dari pelbagai pembangunan perumahan untuk menyertai pelancaran Baucar Prihatin Tampines SG60 di Our Tampines Hub pada 15 Mac.
Acara itu akan menyaksikan isi rumah Tampines yang mempunyai kad biru Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) menerima baucar Shopee $60 untuk membantu mereka membeli barangan keperluan harian.
AP GRC Tampines, Encik Desmond Choo, yang merupakan wakil bagi Tampines Changkat, berkata dalam hantaran Facebook pada 12 Mac bahawa laporan EBRC itu menandakan satu peristiwa penting bagi Tampines Changkat.
Beliau berkata walaupun sempadan mungkin berubah, komitmen pasukannya kepada penduduk tetap sama.
“Selama bertahun-tahun, pasukan PAP Tampines Changkat telah berjalan seiring dengan penduduk – mendengar, memahami dan bekerjasama untuk membina masyarakat yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya.
“Tidak kira perubahan sempadan, kami sedang dan akan memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada penduduk Changkat seperti yang telah kami lakukan sejak beberapa tahun lalu,” tambahnya.
Encik Choo menambah bahawa Sesi Bertemu Penduduk akan diteruskan buat masa ini.
“Tampines Changkat kekal sebagai sebahagian penting keluarga Tampines dan penduduk akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan berterusan dan rancangan pembangunan di seluruh Tampines,” katanya.
“Kami tetap komited untuk membina masyarakat yang boleh anda banggakan sebagai rumah anda,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg