Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sempadan pilihan raya: Sengkang, Hougang dikekalkan; perubahan kecil di Aljunied

Tiga daerah mengundi di GRC Aljunied diserap ke GRC Tampines
Mar 11, 2025 | 5:45 PM
Estet perumahan Tampines GreenGem, yang kini terletak di bawah GRC Aljunied, akan diserap ke bawah GRC Tampines pada Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Estet perumahan Tampines GreenGem, yang kini terletak di bawah GRC Aljunied, akan diserap ke bawah GRC Tampines pada Pilihan Raya Umum (GE) 2025. - Foto ST

Tiga kawasan undi pembangkang yang diterajui oleh Parti Pekerja (WP) sebahagian besarnya tidak melihat perubahan sempadan pilihan raya, kecuali GRC Aljunied yang menyaksikan perubahan kecil.

Dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac, GRC Sengkang dan SMC Hougang antara sembilan kawasan yang tidak melihat sebarang perubahan pada sempadan pilihan raya.

GRC lain yang tidak mengalami perubahan pada sempadan pilihan raya termasuk GRC Bishan-Toa Payoh, GRC Jalan Besar, GRC Marsiling-Yew Tee dan GRC Nee Soon, serta SMC Bukit Panjang, Marymount dan Pioneer.

GRC Sengkang kali pertama ditubuhkan semasa Pilihan Raya Umum (GE) pada 2020 dan dimenangi oleh WP manakala Hougang pula dikuasai oleh WP sejak 1991.

Di GRC Aljunied, yang diterajui oleh WP sejak GE2011, tiga daripada daerah undinya, yang merangkumi 3,834 pengundi dan terletak di bahagian timur Bedok Reservoir akan dipindahkan ke GRC Tampines, yang kini diterajui Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Perubahan kepada GRC Aljunied adalah satu daripada tiga perubahan yang dikategorikan sebagai perubahan kecil yang disyorkan oleh EBRC dalam laporannya dan telah diterima oleh pemerintah.

Tiga daerah mengundi yang dikeluarkan daripada GRC Aljunied termasuk dua kawasan yang bersempadan dengan Tampines Avenue 1, Tampines Avenue 10, Bedok Reservoir Road dan Kolam Air Bedok.

Kedua-dua daerah ini meliputi kondominium Waterview dan Tropica, serta Tampines GreenGem dan estet perumahan awam Tampines GreenJade yang masih dalam proses binaan.

Daerah mengundi ketiga, bersempadan dengan Tampines Road, Tampines Link dan Tampines Avenue 10, meliputi dua asrama pekerja, beberapa kuil dan rumah pengebumian.

Selain GRC Aljunied, dua GRC lain – GRC Holland-Bukit Timah dan GRC Chua Chu Kang – turut menyaksikan perubahan kecil yang dibuat pada sempadan mereka.

GRC Holland-Bukit Timah akan mengambil satu daerah mengundi baru, yang kini terletak di bawah GRC Jurong, yang akan dibubarkan.

Daerah mengundi ini mempunyai 2,776 pengundi berdaftar dan terletak di bahagian timur Upper Bukit Timah Road. Ia meliputi beberapa kondominium termasuk Springdale, Sherwood Towers, Garden Vista dan Jardin.

Dua estet perumahan awam baru yang sedang dalam pembinaan – Rail Green I @ CCK dan Rail Green II @ CCK – akan diserap ke bawah GRC Chua Chu Kang.

EBRC berkata, dua pembangunan perumahan Rail Green merentasi sempadan pilihan raya sebelum ini antara GRC Chua Chu Kang dan GRC Holland-Bukit Timah.

“Sempadan itu diselaraskan dengan bekas landasan kereta api yang tidak lagi wujud.

“Oleh itu, jawatankuasa mengesyorkan supaya menyelaraskan semula sempadan pilihan raya di sepanjang Woodlands Road, lantas menyerahkan estet HDB baru ini kepada GRC Chua Chu Kang,” kata jawatankuasa itu.

Dengan perubahan itu, GRC Aljunied akan mempunyai 144,032 pengundi, GRC Tampines akan mempunyai 147,904 pengundi, GRC Holland-Bukit Timah akan mempunyai 122,891 pengundi, dan GRC Chua Chu Kang akan mempunyai 93,368 pengundi.

Dari segi saiz, GRC Aljunied dan Tampines akan kekal sebagai kawasan undi lima anggota, manakala GRC Holland-Bukit Timah dan GRC Chua Chu Kang akan kekal sebagai kawasan undi empat anggota.

Bagi GE2025, seramai 2,753,226 pengundi dijangka keluar mengundi, meningkat 101,791 berbanding GE2020.

Bilangan Anggota Parlimen (AP) yang dipilih akan meningkat kepada 97, meningkat daripada 93 sekarang.

Bilangan GRC juga akan meningkat kepada 18, meningkat daripada 17 semasa, manakala bilangan SMC juga akan meningkat kepada 15, meningkat daripada 14 semasa.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg