Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Cheryl Chan, akan bersara daripada politik selepas berkhidmat selama dua penggal.
Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu hantaran di Facebook pada pagi 21 April.
“Keputusan ini sukar buat saya dan dibuat selepas pertimbangan yang mendalam. Ia menjadi semakin mencabar sejak bapa saya jatuh sakit pada 2022. Selepas pemergian beliau setahun lalu (2024), saya memutuskan untuk meluangkan (lebih) masa bersama keluarga,” tulis Cik Chan.
Cik Chan, yang merupakan salah seorang daripada lima AP GRC East Coast, tidak menamakan penggantinya.
Beliau merupakan AP parti pemerintah ketujuh yang mengumumkan persaraan menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei ini.
Cik Chan, 48 tahun, kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kumpulan Strategi dan Kemampanan di ST Engineering, lapor The Straits Times.
Beliau mula menceburi politik pada 2015 apabila dicalonkan di SMC Fengshan yang baru dibentuk ketika itu.
Cik Chan memenangi kerusi itu dengan 57.5 peratus undi, menewaskan calon Parti Pekerja (WP), Encik Dennis Tan – yang bertanding di SMC Hougang dan mencatatkan kemenangan pada GE2020.
Pada GE2020, SMC Fengshan yang diwakili Cik Chan diserap semula ke dalam GRC East Coast.
Pasukan PAP yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat, menewaskan WP dengan 53.39 peratus undi.
Dalam hantarannya, Cik Chan mengimbau kenangan 26 tahun lalu, yang mana beliau dan keluarga berpindah ke Fengshan.
“Saya sangat suka (tinggal di Fengshan) sehingga beberapa tahun kemudian, saya memutuskan untuk berkhidmat dalam masyarakat,” katanya.
Pada suatu petang selepas melakukan lawatan ke rumah, Encik Raymond Lim – yang ketika itu menerajui kawasan Fengshan – meminta Cik Chan untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang akan datang (GE2015).
“Saya terkejut. Saya tidak pernah terfikir untuk menceburi politik. Untuk saya dipertimbangkan (sebagai calon) sahaja merupakan satu penghormatan besar buat saya,” kata Cik Chan.
“Ia merupakan satu perjalanan yang bermakna, ia bukan sahaja membolehkan saya membantu orang lain, tetapi juga mengajar saya pengajaran hidup yang menjadikan saya seorang yang lebih baik pada hari ini.”
Cik Chan merakamkan ucapan terima kasih kepada para penduduk Fengshan kerana memberi beliau peluang untuk berkhidmat kepada mereka.
“Fengshan akan sentiasa menjadi rumah saya dan mendapat tempat yang istimewa di hati saya,” tambahnya.
GRC East Coast sekali lagi dijangka akan menyaksikan persaingan sengit dalam pilihan raya kali ini, dengan WP dijangka kembali untuk perlawanan semula.
Calon yang bakal diketengahkan oleh kedua-dua belah pihak masih tidak jelas, meski tinggal hanya dua hari menjelang Hari Penamaan Calon pada 23 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg