Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP GRC Nee Soon Louis Ng, Carrie Tan, Derrick Goh berundur dari politik

Ng berundur selepas berkhidmat selama dua penggal; Tan dan Goh masing-masing satu penggal sebagai AP
Apr 22, 2025 | 2:16 PM
K. Shanmugam, Louis Ng, Carrie Tan, Derrick Goh, Lee Hui Ying, Jackson Lam, Harun Alhabsyi, Goh Hanyan, AP GRC Nee Soon
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (tiga dari kanan), bersama Anggota Parlimen Nee Soon yang akan berundur (kanan, dari belakang) Encik Louis Ng, Cik Carrie Tan dan Encik Derrick Goh, serta anggota pasukan baru (kiri, dari belakang) Cik Lee Hui Ying, Encik Jackson Lam, Dr Syed Harun Alhabsyi dan Cik Goh Hanyan di kedai kopi di 846 Yishun Ring Road pada 22 April. - Foto ST

Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Louis Ng – yang dipilih sejak 2015 dan dikenali sebagai antara yang paling lantang bersuara di Parlimen – mengumumkan beliau akan berundur daripada politik untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Encik Ng  mengumumkan perkara itu bersama dua lagi AP GRC Nee Soon yang akan berundur iaitu Cik Carrie Tan dan Encik Derrick Goh, pada 22 April dalam satu taklimat media di Blok 846, Yishun Ring Road.

Mereka bercakap kepada media selepas sesi lawatan bersama pasukan lima anggota yang akan bertanding di GRC Nee Soon – yang diumumkan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, pada 21 April.

“Saya berundur bukan kerana saya sudah tidak menyukai tugas ini – jauh sekali, tetapi bagi saya, menjadi AP bukan sekadar satu pekerjaan. Ia satu panggilan, satu penghormatan besar dan sejujurnya, antara penghargaan terbesar dalam hidup saya,” kata Encik Ng yang kelihatan sebak.

“Saya sering berkongsi tentang anak-anak perempuan saya dalam ucapan di Parlimen,” katanya merujuk kepada anak-anak perempuannya yang berusia 11 tahun dan kembar berusia lapan tahun.

“Tapi hakikatnya, saya telah terlepas banyak detik penting dalam zaman kanak-kanak mereka.”

Encik Shanmugam berkongsi bahawa beliau dan Perdana Menteri Lawrence Wong telah berusaha memujuk Encik Ng agar terus berkhidmat, namun menghormati keputusan beliau.

Encik Ng, yang mengasaskan kumpulan kebajikan haiwan Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) pada 2001, akan kembali ke badan bukan pemerintah (NGO) itu.

Encik Ng, 46 tahun, telah menjadi AP selama dua penggal, manakala Cik Tan, 43 tahun, dan Encik Goh, 57 tahun, masing-masing berkhidmat selama satu penggal.

Mereka bertanding dalam pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Nee Soon bagi Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), bersama Encik Shanmugam, serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025.

Pada GE2020, pasukan itu berjaya mengalahkan Parti Kemajuan Singapura (PSP), dengan 61.9 peratus undi, lapor The Straits Times (ST).

Encik Ng dipilih ke Parlimen pada 2015 dan mewakili kawasan Nee Soon East.

Sebagai seorang pejuang sosial, beliau merupakan AP yang paling aktif dalam dua penggal lalu, mengemukakan 728 soalan parlimen dalam penggal terbarunya, berbanding 327 sebelum ini.

Beliau juga membuat 195 ucapan atau penjelasan di Parlimen mengenai pelbagai isu, termasuk kebajikan haiwan, pekerja migran, cuti ibu bapa dan perubahan iklim.

Cik Tan, pengasas badan amal Daughters Of Tomorrow, telah mewakili kawasan Nee Soon South sejak dipilih ke Parlimen.

Beliau juga seorang jurulatih transformasi di Lightbearers Collective.

Beliau berkata tidak mudah membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada politik, tetapi ia adalah langkah yang tepat untuk memberi laluan kepada calon lebih muda dan bertenaga.

“Saya akan terus menjadi ejen perubahan dan membawa apa yang saya pelajari kembali dalam masyarakat untuk memperjuangkan kesejahteraan rakyat Singapura,” tambahnya.

Encik Shanmugam menggambarkan Cik Tan sebagai seorang yang sangat bersemangat untuk memacu perubahan. 

Mengenai peletakan jawatan Encik Goh, Encik Shanmugam berkata pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) kumpulan Bank DBS pada Februari yang melibatkan lawatan luar negara yang kerap, mungkin akan menjejas kerjanya di lapangan.

Beliau menambah, Encik Goh telah membawa perubahan yang baik kepada kehidupan penduduk di Nee Soon Link dan seluruh Nee Soon sebagai pengerusi majlis bandaran.

Encik Goh berkata: “Saya akan mengundurkan diri, tetapi bukan menjauhkan diri. Sebaik sahaja saya menyesuaikan diri dengan kerja baru saya, penduduk akan melihat saya di sekitar (kawasan) ini.”

Langkah peletakan jawatan mereka ini menyusuli pengunduran beberapa AP lain yang memutuskan untuk tidak bertanding dalam GE2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg