Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang yang baru dilantik, Encik Jeffrey Siow, merupakan antara beberapa individu yang sedang dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk menyertai barisan Kabinet baru, dalam rombakan Kabinet yang dijangkakan selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei.
“PM sedang mempersiapkan Kabinetnya, beliau sedang membina pasukannya.
“Saya difahamkan beliau telah berbincang dengan beberapa individu dalam pasukannya yang mungkin akan memegang jawatan dalam Kabinet.
“Saya salah seorang daripada individu yang telah beliau ajak berbincang,” kata Encik Siow kepada media pada 17 Mei.
Namun, AP bagi kawasan Brickland dalam GRC Chua Chu Kang itu tidak mendedahkan jawatan politik mana yang sedang dipertimbangkan untuknya, sambil menjelaskan bahawa perkara itu masih belum dimuktamadkan.
“Kita perlu beri sedikit masa. Ini adalah keputusan penting bagi PM untuk membentuk pasukannya.
“Namun dalam perbincangan kami, saya amat gembira beliau dapat lebih mengetahui tentang pengalaman dan kemahiran yang saya miliki.
“Beliau tahu apa yang saya boleh sumbangkan kepada pasukannya,” kata Encik Siow ketika ditemui di luar Pusat Membeli-belah Keat Hong pada satu acara bertemakan kemampanan alam sekitar.
“Apapun peranan yang beliau rasa saya boleh jalankan dalam pasukannya, saya akan berasa gembira untuk menyumbang... Saya akan beri yang terbaik,” tambah beliau.
Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah mencalonkan seramai 32 muka baru dalam GE2025.
Encik Wong dijangka mengumumkan perubahan dalam Kabinet beliau tidak lama lagi, lapor The Straits Times (ST).
Sebelum menceburi politik, Encik Siow berkhidmat sebagai setiausaha tetap kedua bagi perdagangan dan perusahaan, serta tenaga kerja.
Beliau juga pernah menjadi Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong antara 2017 dengan 2021.
Selepas 2021, beliau beralih ke Enterprise Singapore sebagai pengarah urusan pertama dan pernah memegang jawatan penting dalam Kementerian Pengangkutan serta Pendidikan.
Dengan 24 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam, Encik Siow adalah mantan pegawai kanan paling berpengalaman yang bertanding dalam GE2025.
Ketika GE2025, PM Wong menjelaskan bagaimana beberapa muka baru PAP boleh berkembang dan mengambil peranan kepimpinan lebih besar.
Antara nama yang disebut termasuk, Encik Siow; Encik David Neo dari GRC Tampines; dan Encik Dinesh Vasu Dash dari GRC East Coast.
Encik Siow, yang ditemui semasa Festival Hijau Brickland 2025, turut ditemani AP GRC Choa Chu Kang lain, termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.
Festival sehari itu memberi peluang kepada penduduk untuk mempelajari tentang kemampanan alam sekitar melalui seni.
Di acara tersebut, UOB dan Dana Eko SG melancarkan kerjasama dua tahun untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dan penglibatan masyarakat dalam inisiatif kemampanan di serata Singapura.
Dana Eko SG adalah inisiatif bernilai $50 juta di bawah Kementerian Kemampanan dan Sekitaran yang menyokong projek hijau dalam masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg