Membolehkan perniagaan lebih kecil mengambil lebih ramai pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan menggajikan pemegang permit kerja dari lebih banyak negara adalah antara cadangan berkaitan buruh asing yang diutarakan oleh Anggota Parlimen (AP) pada 27 Februari.
Pada hari kedua perbahasan Belanjawan 2025, beberapa AP menegaskan, di samping meningkatkan kemahiran dan melindungi pekerja tempatan, Singapura juga memerlukan pekerja asing bagi pemindahan kemahiran dan untuk mengisi kekurangan.
Cik Cheryl Chan (GRC East Coast) mencadangkan kuota EP yang lebih tinggi untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME), lapor The Business Times.
Mempunyai kuota berasingan bagi syarikat berbilang negara (MNC) akan membolehkan SME menggajikan lebih ramai bakat asing sambil mengekalkan jumlah keseluruhan pekerja asing yang stabil, katanya.
Secara berasingan, beliau mengesyorkan agar dinaikkan gaji minimum yang MNC mesti bayar karyawan asing dalam peranan lebih rendah. Ini akan mewujudkan peluang membangunkan tenaga kerja tempatan yang besar, katanya.
Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Mark Lee, mempunyai empat idea untuk menangani “kekurangan teruk pekerja mahir dan separuh mahir dalam sektor asas seperti pembuatan”, yang menyokong perusahaan pertumbuhan tinggi.
Pertama, beliau mencadangkan agar diperluas Senarai Pekerjaan Sumber Bukan Tradisional (NTS), khususnya bagi sektor pembuatan.
Untuk pekerjaan dalam senarai itu, firma pembuatan dan perkhidmatan boleh menggajikan pemegang permit kerja daripada pasaran NTS iaitu sumber selain daripada negara-negara biasa.
Menambah peranan-peranan khusus pada senarai ini akan membantu perniagaan mengisi peranan itu, kata Encik Lee.
Kedua, beliau mencadangkan supaya jumlah negara NTS ditambah “untuk menangani kekeringan sumber tradisional seperti Malaysia dan China”.
Ketiga, lebih banyak sokongan berkaitan tenaga kerja peralihan mungkin boleh diberi kepada syarikat yang menjalani transformasi.
Sebagai contoh, siling nisbah tanggungan – yang mengehadkan bahagian pekerja asing dalam tenaga kerja syarikat – boleh diperluaskan dengan “bersyarat”.
Skim Tenaga Kerja untuk Keutamaan Ekonomi Strategik, dengan syarikat yang layak yang menyumbang kepada pertumbuhan strategik Singapura, boleh mendapatkan kuota Pas S dan permit kerja tambahan, juga boleh diberi tempoh sokongan yang lebih lama.
Akhirnya, syarikat boleh diberi lebih fleksibiliti dalam menempatkan pekerja asing, terutamanya untuk peranan mahir dan separuh mahir.
“Sekatan tenaga kerja masa ini menghalang perniagaan daripada mengoptimumkan peruntukan tenaga kerja, walaupun terdapat alasan ekonomi yang jelas untuk berbuat demikian,” tambah beliau.
Satu percubaan penempatan silang sedemikian boleh dibuat antara syarikat merentas sektor, katanya, membolehkan perniagaan memperuntukkan semula pekerja di tempat yang paling diperlukan.
Langkah ini tidak akan menjejas usaha untuk membina tenaga kerja tempatan, kata Encik Lee, sebaliknya ia akan membantu perniagaan menggunakan sumber dengan lebih baik dan kekal berdaya saing, tanpa halangan yang tidak perlu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg