Kira-kira 3,000 pekerja telah diberi Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara (One Pass) pada 2024, dengan kira-kira seorang daripada enam merupakan kumpulan pekerja baru, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, di Parlimen pada 5 Februari.
Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Neil Parekh, mengenai kadar pengambilan One Pass itu dan pecahannya mengikut sektor.
“Penukaran pemegang Pas Kerja sedia ada yang memenuhi kriteria One Pass membantu kita untuk menambat bakat di Singapura,” kata Dr Tan.
Tiga sektor teratas dengan bilangan pemegang One Pass terbanyak adalah dalam perkhidmatan kewangan dan insurans, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan karyawan, lapor The Straits Times.
Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) pula bertanya tentang cara kementerian itu mengukur pemindahan kemahiran daripada pemegang One Pass kepada warga Singapura, serta pengambilan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) dari Singapura bagi setiap One Pass yang dikeluarkan.
Beliau juga bertanya sama ada sebarang audit atau penilaian bebas terhadap kesan ekonomi One Pass telah dijalankan sejak skim itu dilancarkan pada Januari 2023.
Menjawab, Dr Tan berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menyediakan satu kemas kini kad skor seimbang mengenai prestasinya di Jawatankuasa Perbekalan (COS) akan datang, apabila ada peluang berbuat demikian.
Selepas kira-kira dua tahun sejak pelancarannya, beliau berkata kementerian itu telah memulakan pemberitahuan tahunan bagi pemegang One Pass sedia ada pada September 2024.
Melaluinya, MOM akan menyemak data yang dikumpul dan menilai sumbangan mereka kepada Singapura.
Beliau mengulangi bahawa kesan daripada pemegang One Pass melangkaui sumbangan individu dan hasil segera dan nyata yang boleh diukur.
Sambil menyatakan bahawa majoriti pemegang One Pass adalah mereka yang ditukar daripada bentuk pas kerja lain, Encik Parekh bertanya kepada Dr Tan mengenai perubahan yang diperlukan bagi program itu bagi menarik bakat baru.
Dr Tan berkata ia bukan hanya untuk mendapatkan bilangan bakat besar, kerana ia satu usaha memburu bakat yang berbeza dan mempunyai sasaran tertentu.
Ini termasuk bekerjasama dengan institut penyelidikan dan pelbagai pemimpin perusahaan untuk meneroka secara sejagat bagi mengenal pasti jenis bakat yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan perusahaan Singapura yang berkembang.
MOM bekerjasama dengan agensi lain untuk meningkatkan jangkauan bagi bakat sejagat dan meningkatkan kesedaran mengenai One Pass, kata Dr Tan.
“Kami juga menggalakkan pemegang One Pass agar mengambil bahagian dalam program tempatan untuk membimbing, membina rangkaian dan bertukar pandangan dengan generasi pemimpin tempatan semasa dan akan datang, seperti Rangkaian Pemimpin Singapura,” tambahnya.
Dr Tan menambah, data yang dikumpul daripada surat pemberitahuan akan membantu kementerian itu memahami segmen berbeza pemegang One Pass yang menetap di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg