Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam menyambut baik gesaan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, supaya semangat Singapura terus segar sedang negara ini membuka lembaran baru selepas meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-60 (SG60).
Antaranya ialah AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, yang berkata pengumuman tersebut memberi tumpuan kepada isu khusus melibatkan pelbagai peringkat usia.
Beliau berkata demikian selepas ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 17 Ogos, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.
Encik Wong berucap dalam tiga bahasa sambil membentangkan lima bidang utama pemerintah dalam mengharungi era dunia yang kian rumit, iaitu ekonomi, golongan belia, warga emas, rancangan masa depan dan semangat Singapura.
Ini termasuk inisiatif seperti Program Pelatih baru untuk lulusan ITE, politeknik dan universiti, serta pembangunan Kejiranan Sihat Menua bagi menyokong warga emas menua di kediaman sendiri.
Dr Syed Harun, yang juga pakar psikiatri, menyambut baik langkah itu khususnya yang berkait dengan golongan muda dan warga emas.
“Saya amat mengalu-alukan penekanan PM terhadap isu sebegini kerana bagi golongan lanjut usia memang terdapat keperluan tertentu.
“Bagi golongan muda pula, merekalah masa depan negara dan kita perlu memberi mereka keyakinan serta optimisme tentang masa depan mereka,” ujarnya.
Menurutnya, banyak pengumuman semasa NDR juga selaras dengan rancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan di estet kejiranannya.
Berhubung golongan muda, Encik Wong berkata generasi muda hari ini menikmati lebih banyak peluang namun pengaruh negatif yang dihadapi juga berbeza.
Dalam pada itu, pemerintah bakal turut mengambil tindakan lebih tegas untuk membanteras masalah itu seperti hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual vape yang mengandungi bahan berbahaya.
Dr Syed Harun meluahkan sokongan terhadap langkah Encik Wong untuk memperketat undang-undang itu pada masa hadapan, memandangkan bahaya yang dibawanya.
“Vape membawa kemudaratan kepada badan dan tidak patut digalakkan bagi sesiapa pun.
“Malah, ada perbandingan yang menunjukkan bahawa kadangkala vape boleh lebih berbahaya daripada rokok,” katanya.
Beliau menambah bahawa perlindungan sewajarnya perlu diberikan kepada golongan muda agar tidak terdedah kepada tabiat tersebut.
Sementara itu, AP GRC West Coast-Jurong West yang juga pakar ortopedik, Dr Hamid Razak, turut berkongsi pendapat tersebut.
Malah, beliau berkata vape bukan sahaja menjejas golongan belia, tetapi pada peringkat masyarakat juga.
“Golongan belia amat penting bagi kami kerana Singapura sebuah masyarakat yang semakin menua, dan setiap belia diperlukan untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya pendidikan, dengan penglibatan ibu bapa, sekolah dan rakan sebaya dalam membimbing belia agar menjauhi vape.
“Kita tidak hanya mahu menghukum, tetapi memberi peluang kepada belia untuk memahami mengapa ia salah dan mendapatkan bantuan yang diperlukan,” ujarnya, sambil menegaskan peranan kaunseling, perkhidmatan perubatan serta program bimbingan masyarakat.
Selain isu belia dan penggunaan vape, sokongan bagi penuaan rakyat Singapura turut dibentangkan semasa ucapan NDR.
Ini termasuk membina Kejiranan Sihat Menua – yang pertama di Toa Payoh dan disusuli satu atau dua kejiranan lain demi menyokong warga emas menua di rumah sendiri.
Antara lain, khidmat asas untuk warga emas seperti pemeriksaan kesihatan asas, penghantaran makanan dan sokongan jagaan kesihatan akan disediakan di kejiranan sedemikian pada masa depan.
Dr Razak mengalu-alukan langkah membawa perkhidmatan penjagaan terus ke kawasan kediaman warga emas, yang disifatkannya sebagai pendekatan tepat.
Berkongsi pengalamannya sebagai AP kawasan Jurong Spring-Gek Poh, beliau berkata:
“Saya mendapati ada yang ingin menua di kawasan tempat tinggal sendiri.”
Menurutnya, ramai warga emas yang telah menetap di kawasan mereka selama 35 hingga 40 tahun, dan memindahkan mereka hanya kerana faktor usia boleh menjejas semangat memandangkan mereka sudah mempunyai jaringan keluarga, masyarakat dan rakan di situ.
Bagi AP kawasan Woodlands di GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar pula, beliau menyambut baik pengumuman pemerintah agar memperkukuh sokongan bagi warga emas menua dengan sihat di kediaman sendiri.
Beliau menekankan bahawa usaha sedemikian telah wujud di kawasannya menerusi kerjasama dengan pusat penuaan aktif, termasuk NTUC Health di Kampung Admiralty dan pusat penjagaan warga emas Sree Narayana Mission di Woodlands, yang membawa pelbagai program lebih dekat kepada penduduk.
Selain itu, kehadiran Woodlands Health Campus turut membuka lebih banyak peluang bagi mengadakan pemeriksaan kesihatan dan program masyarakat terus di kawasan kejiranan.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa keberkesanan usaha tersebut hanya dapat dicapai jika warga emas sendiri mengambil peluang yang disediakan.
“Pemerintah boleh menyediakan begitu banyak inisiatif, tetapi yang penting warga emas perlu merebut peluang untuk mendapatkan bantuan tersebut,” ujar beliau.
Cik Mariam turut menggalakkan penerapan kecerdasan buatan (AI) secara meluas kerana ia mampu membawa transformasi dalam pelbagai sektor, daripada kesihatan hingga pendidikan dan pembuatan.
Ini menyusuli jaminan Encik Wong bahawa pemerintah akan memastikan semua syarikat, sama ada besar atau kecil, dapat meraih manfaat daripada teknologi tersebut.
“AI akan memanfaatkan banyak industri… semua bidang boleh melalui transformasi dengan AI,” katanya.
Namun, beliau menekankan bahawa sokongan khusus perlu diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME), yang sering berdepan keterbatasan dari segi sumber dan tenaga kerja.
“Kalau syarikat besar ada lebih banyak sumber untuk melatih dan mengambil pekerja mahir, bagi SME ia tidak semudah itu… kita perlu beri fokus khas agar mereka tidak ketinggalan,” ujarnya.
Menurutnya, inisiatif tambahan bagi membantu SME akan memastikan AI benar-benar dimanfaatkan secara terangkum, sekali gus menyumbang kepada usaha Singapura menarik syarikat berbilang negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg