Masyarakat Melayu/Islam di Singapura telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sepanjang 60 tahun sejak Republik ini mencapai kemerdekaan.
Menyatakan demikian dalam ucapan bahasa Melayu semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata memandang ke hadapan, pemerintah akan melaksanakan pelbagai daya usaha baru bersama masyarakat serta melestari dan memupuk warisan Melayu.
Dalam ucapan yang membuka tirai NDR 2025, Encik Wong menyingkap tahun-tahun awal Singapura serta pelbagai kesukaran yang dihadapi seperti ketegangan kaum.
Namun cabaran itu dapat diatasi dan sebuah masyarakat yang kukuh dan bersatu padu berjaya dibina.
“Masyarakat Melayu/Islam memainkan peranan penting dalam perjalanan ini.
“Kita telah bekerjasama dan berganding bahu demi membina Singapura yang kita nikmati hari ini,” kata Encik Wong.
Bagi tahun-tahun mendatang, Encik Wong berkata beliau dan pasukannya komited bekerjasama dengan masyarakat untuk “mendengar, belajar dan membina masa hadapan yang kita kongsi bersama”.
Ini dilakukan dengan mendekati anggota masyarakat, seperti usahawan Melayu/Islam daripada pelbagai bidang niaga seperti teknologi, seni dan fesyen, yang berjaya bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat serantau.
Seorang daripada mereka ialah pengasas bersama syarikat Onestop, Encik Shaffiq Olia.
Syarikat yang beribu pejabat di Singapura itu mempunyai kilang di China dan Indonesia, membekalkan perabot tempahan khas kepada resort atau tempat peranginan mewah seperti di Maldives dan Fiji.
Encik Wong turut menemui wanita Melayu/Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk berbincang tentang penjagaan keluarga, penyepaduan sosial dan cara mengukuhkan peranan wanita dalam masyarakat.
Di samping itu, Encik Wong juga mengunjungi Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan berpeluang mengenali program madrasah dengan lebih dekat.
Beliau turut berinteraksi dengan pelajar, yang menurutnya telah berkongsi impian serta hasrat menyumbang kepada masyarakat.
“Dalam sesi-sesi ini, saya mendengar pelbagai keprihatinan dan pandangan.
“Ada yang khusus melibatkan masyarakat Melayu/Islam.
“Tetapi banyak juga isu yang turut disuarakan oleh rakyat Singapura yang lain, seperti isu kos sara hidup dan tekanan menjaga keluarga,” kata Encik Wong.
“Saya dan pasukan saya akan terus bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk menangani keprihatinan anda dan membina masa hadapan yang lebih cerah untuk semua,” tambahnya.
Encik Wong berkata beliau bekerja rapat dengan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam yang dipimpin Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam menyokong keperluan serta aspirasi masyarakat seperti pendidikan, pekerjaan dan kesihatan.
Menyentuh tentang usaha memupuk warisan Melayu, Encik Wong mengumumkan bahawa Taman Warisan Melayu (TWM) akan dibuka semula pada 2026 dengan galeri dan program baru yang mempamerkan budaya Melayu setempat.
Selain itu, kawasan sekitar Kampong Gelam juga akan diberi nafas baru. katanya.
Encik Wong turut mengumumkan bahawa kolej Islam tempatan yang pertama, Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), akan mempunyai kampus tersendiri di Rochor, di sebelah kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Sebelum ini, kampus kolej yang dijangka menerima kohort pertama pada 2028 itu dikatakan akan terletak di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Bencoolen Street, dekat Masjid Bencoolen.
Encik Wong berkata masih banyak lagi yang boleh dilakukan bersama dengan isu-isu sukar boleh dijangkakan di masa hadapan.
Namun Encik Wong memberi jaminan bahawa beliau dan pasukannya akan sentiasa mendampingi masyarakat Melayu/Islam dengan setulus hati, mendengar dengan penuh hormat dan bekerjasama untuk mencari huraian terbaik.
“Kami ingin membantu anda berjaya sebagai sebuah Masyarakat Gemilang yang kukuh, bersatu padu dan berwawasan.
“Dengan kepercayaan dan kerjasama anda, saya yakin kita boleh terus maju bersama sebagai satu rakyat,” ujarnya. – Laporan tambahan Batrisyia Baharim.
“
“Kami (pemerintah) ingin membantu anda berjaya sebagai sebuah Masyarakat Gemilang yang kukuh, bersatu padu dan berwawasan. Dengan kepercayaan dan kerjasama anda, saya yakin kita boleh terus maju bersama sebagai satu rakyat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg