Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GRC Punggol, Pasir Ris-Changi dibentuk susulan pertumbuhan penduduk

GRC baru lain termasuk Jurong East-Bukit Batok, Marine Parade-Braddell Heights, West Coast-Jurong West
Mar 11, 2025 | 6:57 PM
Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang akan datang bakal menyaksikan pembentukan  GRC Punggol baru di bahagian timur laut Singapura, dan GRC Pasir Ris-Changi yang baru di bahagian timur.
Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang akan datang bakal menyaksikan pembentukan GRC Punggol baru di bahagian timur laut Singapura, dan GRC Pasir Ris-Changi yang baru di bahagian timur. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang akan datang bakal menyaksikan pembentukan sebuah Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Punggol baru di bahagian timur laut Singapura, dan GRC Pasir Ris-Changi yang baru di bahagian timur.

Kedua-dua GRC empat anggota itu akan menggantikan GRC Pasir Ris-Punggol yang merangkumi lima anggota, menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) terkini yang dikeluarkan pada 11 Mac.

Dalam menjelaskan cadangannya, jawatankuasa itu berkata GRC Pasir Ris-Punggol menyaksikan peningkatan terbesar dalam bilangan pengundi sejak GE2020, dan jumlah itu akan terus berkembang dengan pembangunan perumahan baru.

“Oleh itu, jawatankuasa mencadangkan mengeluarkan estet Punggol di bawah GRC Pasir Ris-Punggol, untuk bergabung dengan Punggol West dan membentuk GRC Punggol baru yang merangkumi empat anggota.

“Ini juga akan lebih mencerminkan identiti estet-estet di bandar Punggol,” kata laporan itu.

GRC Punggol baru akan terdiri daripada 123,557 pengundi - gabungan 96,825 pengundi daripada GRC Punggol dengan 26,732 pengundi dari Punggol West.

GRC Pasir Ris-Changi baru akan menyerap estet-estet di Pasir Ris dan beberapa bahagian paling timur GRC East Coast seperti estet perumahan Loyang dan Flora.

Ia akan terdiri daripada 100,639 pengundi – 87,768 dari GRC Pasir Ris-Punggol dan 12,871 dari GRC East Coast.

Sehingga 1 Februari, jumlah pengundi yang layak mengundi untuk GE2025 ialah 2,753,226, meningkat 101,791 berbanding 2,651,435 semasa GE2020.

Jawatankuasa itu berkata pertumbuhan dalam bilangan pengundi yang layak tidak diagihkan sama rata di pelbagai Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Ia menambah disebabkan perubahan penduduk dan pembangunan perumahan baru, kawasan seperti GRC Pasir Ris-Punggol, GRC Sembawang, GRC Tampines, serta SMC seperti Hong Kah North dan Potong Pasir mengalami pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding kawasan yang lain.

Laporan EBRC itu juga mencadangkan perubahan kepada GRC Jurong, GRC Marine Parade dan GRC East Coast semasa, dan pembentukan tiga GRC baru – iaitu GRC Jurong East-Bukit Batok, GRC Marine Parade-Braddell Heights dan GRC West Coast-Jurong West.

GRC di kawasan Jurong

GRC Jurong akan dipecahkan dan diserap ke dalam GRC Jurong East-Bukit Batok, GRC West Coast-Jurong West, SMC Jurong Central baru dan GRC Holland-Bukit Timah.

GRC Jurong East-Bukit Batok baru itu akan mempunyai 142,510 pengundi, menggabungkan 62,424 daripada GRC Jurong semasa, dan daerah mengundi dari Bukit Batok, Yuhua dan Hong Kah North.

GRC West Coast-Jurong West yang baru akan terdiri daripada 158,581 pengundi, yang terdiri daripada 41,404 pengundi dari GRC Jurong dan beberapa estet perumahan dari Jurong West dan Taman Jurong.

SMC Jurong Central baru pula akan dikeluarkan daripada GRC Jurong, merangkumi 29,620 pengundi, dengan 25,668 daripada GRC Jurong dan selebihnya daripada Yuhua.

Baki 2,776 pengundi dari GRC Jurong akan diserap ke dalam GRC Holland-Bukit Timah, yang akan mempunyai 122,891 pengundi.

GRC Marine Parade-Braddell Heights

GRC Marine Parade akan menyerap MacPherson, bersama-sama dengan beberapa bahagian Potong Pasir dan Mountbatten untuk membentuk GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru.

Beberapa bahagian GRC Marine Parade semasa – yang terdiri daripada 40,675 pengundi dari estet perumahan awam Chai Chee dan estet perumahan privet Siglap akan diserap ke dalam GRC East Coast.

PERUBAHAN LAIN

EBRC juga membuat beberapa cadangan kepada beberapa GRC yang “telah berkembang dengan ketara sejak GE lalu”.

Beberapa daerah mengundi di GRC Ang Mo Kio, yang mempunyai bilangan pengundi tertinggi berbanding kawasan undi lain, telah dikeluarkan daripada GRC itu untuk membentuk SMC Jalan Kayu yang baru.

GRC Chua Chu Kang juga akan menyerap beberapa estet perumahan Tengah daripada SMC Hong Kah North semasa, dan mengeluarkan estet perumahan Bukit Gombak dan Hillview untuk membentuk SMC Bukit Gombak baru.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan mengeluarkan daerah mengundi dari GRC Sembawang untuk membentuk SMC Sembawang West yang baru, dan daerah mengundi dari GRC Tampines untuk membentuk SMC Tampines Changkat yang baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg