Pritam gesa ‘kad laporan’ awam diperkenal bagi perbelanjaan utama, persoal metrik bonus menteri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam gesa ‘kad laporan’ awam diperkenal bagi perbelanjaan utama, persoal metrik bonus menteri

Feb 24, 2026 | 8:59 PM

Pritam gesa ‘kad laporan’ awam diperkenal bagi perbelanjaan utama, persoal metrik bonus menteri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Parti Pekerja, Pritam Singh
Ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh. - Foto MDDI

Ketua Parti Pekerja, Encik Pritam Singh, menggesa pemerintah supaya menginstitusikan ‘kad laporan’ awam bagi program perbelanjaan utama berbilang tahun.

Ini untuk menjejak bagaimana jumlah berbilion dolar yang diperuntukkan bagi inisiatif nasional penting diterjemahkan kepada hasil, sedang Singapura memulakan penggal pemerintahan baharu dengan rizab fiskal yang kukuh dan lebihan yang dijangkakan.

“Memang ada nilai yang nyata dalam melaporkan hasil sedemikian secara terbuka,” katanya di Parlimen pada 24 Februari, hari pertama perbahasan Belanjawan 2026.

Beliau mencadangkan agar laporan tersebut diterbitkan dalam bentuk kertas berkala sambil berkata:

“Ketelusan sedemikian membolehkan Anggota Parlimen (AP) di kedua-dua belah Dewan ini menunaikan tanggungjawab mereka untuk meneliti perbelanjaan awam sebagai sebahagian daripada peranan mereka sebagai AP.”

Encik Pritam menambah amalan tersebut juga akan memberi rakyat Singapura, khususnya golongan belia, gambaran lebih jelas tentang peluang yang menanti di samping membantu menarik bakat terbaik ke Singapura.

Walau demikian, terdapat kekurangan dari segi hasil yang mudah dipantau selepas pengumuman utama dibuat dalam kenyataan Belanjawan, katanya.

Beliau menukil Belanjawan 2024 apabila rancangan untuk membelanjakan $40 bilion bagi inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura sehingga 2030 diumumkan, dengan $5 bilion diperuntukkan bagi Belanjawan sulung tersebut.

“Setakat pengetahuan saya, tiada penjejakan perbelanjaan terkumpul yang diterbitkan secara meluas sejak itu,” katanya.

Mengenai pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 – di mana pembiayaannya telah meningkat kepada $37 bilion – Encik Pritam berkata “tiada laporan menyeluruh” mengenai bagaimana peruntukan sebelum ini telah digunakan atau hasil yang telah dicapai.

“Masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk menunjukkan sejauh mana wang pembayar cukai telah dibelanjakan secara berkesan.

“Dalam kebanyakan Belanjawan, terdapat kekurangan pada hasil yang mudah dijejaki bagi pengumuman utama yang telah dibuat,” ujar beliau.

Encik Pritam menambah pemerintah perlu peka terhadap “kesinisan dan pengasingan dalam kalangan masyarakat” yang boleh timbul apabila rakyat Singapura tidak melihat penjelasan yang jelas tentang bagaimana dana awam digunakan.

“Itu tidak baik untuk Singapura, dan ia bercanggah dengan semangat penyertaan yang ingin dizahirkan oleh inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura,” katanya.

Beralih kepada kedudukan fiskal Singapura pula, Encik Pritam menyatakan pemerintah memulakan penggal baharu “dengan kedudukan yang kukuh”, dengan lebihan yang diunjurkan sebanyak $15 bilion bagi Tahun Kewangan 2025 dan tambahan $8 bilion dijangka pada Tahun Kewangan 2026.

Angka tersebut, menurut Encik Pritam, sudah jauh melebihi $2 bilion hingga $3 bilion hasil tambahan tahunan yang sepatutnya dijana melalui kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2023 dan 2024.

Selain itu, Encik Pritam turut mempersoalkan sama ada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) wajar terus dijadikan kriteria bagi pengiraan bonus menteri sekiranya pertumbuhan itu mungkin tidak lagi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan untuk rakyat Singapura.

Encik Pritam merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada awal 2026 di mana beliau berkata pertumbuhan GDP mungkin tidak lagi diterjemahkan kepada peluang pekerjaan.

“Apa yang dilakukan ini adalah meletakkan setiap dasar, inisiatif dan skim berkaitan pekerjaan yang diumumkan oleh pemerintah dalam perspektif yang lebih ketara berbanding sebelum ini.

“Bagi setiap satu daripadanya – kini lebih penting berbanding sebelumnya – rakyat Singapura berhak mendapat ‘kad laporan’ yang diperincikan dan diterbitkan secara meluas – yang membezakan antara retorik tentang janji yang ditepati dengan hasil yang boleh diukur, tertakluk kepada penelitian Parlimen dan awam,” tambahnya.

Encik Pritam turut mempersoalkan mengenai pertumbuhan GDP, sama ada tiga daripada empat komponen Bonus Nasional – yang sebahagiannya digunakan untuk menentukan jumlah gaji menteri – masih sesuai untuk tujuan tersebut.

Beliau menambah jika Model Gaji Progresif mendorong peningkatan pendapatan bagi golongan 20 peratus terendah secara bebas daripada pertumbuhan daya penghasilan, sejauh manakah ia seharusnya terus dijadikan kriteria dalam formula Bonus Nasional?

Encik Pritam turut bertanya mengenai pengagihan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), yang diberikan mengikut setiap isi rumah, tanpa mengambil kira saiz isi rumah.

“Itu tidak adil,” tegasnya sambil mencadangkan penyesuaian kepada sistem tersebut untuk memberikan lebih wang kepada isi rumah lebih besar.

Beliau menambah walau beliau mempunyai kritikan untuk diluahkan, Parti Pekerja menyokong Belanjawan 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg