Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP saran tingkat skim CareShield Hayat, pastikan rakyat mampu

Antara usulan termasuk menyandar pembayaran supaya dapat liputi sebahagian kos jagaan jangka panjang
Oct 15, 2025 | 9:15 PM
ng chee meng, careshield hayat, parlimen
AP SMC Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng. - Foto MDDI

Para Anggota Parlimen (AP) memberikan saranan untuk mempertingkat CareShield Hayat – skim insurans penjagaan jangka panjang nasional – demi memastikan skim itu mampan bagi rakyat Singapura.

Ia termasuk mengutarakan keprihatinan tentang kemampuan premium dan bagaimana skim itu dapat disesuaikan dengan sistem sokongan yang lebih luas.

Bercakap semasa perbahasan Rang Undang-Undang CareShield Hayat dan Penjagaan Jangka Panjang (Pindaan) di Parlimen pada 15 Oktober, antara saranan yang dikemukakan termasuk menyandarkan pembayaran supaya dapat meliputi sebahagian kos penjagaan jangka panjang, seperti yang dicadangkan Encik Ng Chee Meng (Jalan Kayu).

Beliau turut menyarankan agar mengehadkan premium pada peratusan tetap median pendapatan isi rumah per kapita.

“Ini memastikan premium kekal adil dan mampan, sejajar dengan pertumbuhan pendapatan dalam tempoh yang lebih lama,” kata beliau, yang juga Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

“Menyandarkan pembayaran dan menguruskan premium secara seiring akan memberikan rakyat Singapura rasa kebolehramalan dan kestabilan yang lebih kukuh, mengetahui kedua-dua perkara iaitu apakah yang mereka boleh jangkakan dalam sokongan dan apakah sumbangan premium yang diperlukan,” tambahnya.

Bagi membuat tuntutan daripada CareShield Hayat, seseorang perlu dinilai mengalami kecacatan teruk, iaitu tidak mampu melakukan sekurang-kurangnya tiga daripada enam Kegiatan Kehidupan Harian (ADL).

Pada 15 Oktober, Parlimen meluluskan pindaan kepada Akta CareShield Hayat dan Penjagaan Jangka Panjang.

Akta tersebut perlu dipinda supaya pemerintah dapat melaksanakan saranan Majlis CareShield Hayat, yang telah menjalankan semakan supaya skim itu dapat terus menyediakan perlindungan kepada rakyat Singapura dalam cara yang mampan dan boleh dimampui.

Saranan tersebut termasuk pemberian bayaran lebih tinggi daripada 2 peratus setahun setakat ini kepada 4 peratus setahun dari 2026 hingga 2030 dan menyesuaikan premium bagi menampung pembayaran lebih tinggi itu.

Pemerintah akan menyediakan tambahan $570 juta agar dapat memberi subsidi kepada pembayaran premium – yang boleh dibayar sepenuhnya menggunakan MediSave – hingga 2030.

Dengan itu, rang undang-undang itu membuat pindaan dalam dua bidang utama.

Yang pertama adalah perundangan yang membenarkan pengembalian semula kriteria penamaan jamin yang telah dirancang sejak awal.

Ini bermakna mulai 1 Januari 2026, hanya mereka yang “tidak kurang upaya” boleh menyertai skim itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini telah memberikan konsesi masa terhad semasa pelancaran dan juga semasa pandemik Covid-19, supaya lebih ramai individu daripada kohort tidak wajib – yang lahir pada 1979 dan lebih awal – boleh menyertai skim itu.

Dengan konsesi tersebut, premium perlu ditetapkan pada kadar lebih tinggi untuk mengambil kira kemungkinan mereka daripada kohort tidak wajib, yang mempunyai ketidakupayaan ringan hingga sederhana lebih berkemungkinan menyertai skim itu.

Yang kedua pula adalah untuk memperkukuh proses mendapatkan semula premium, dengan nota permintaan boleh diberikan melalui kaedah digital kepada mereka yang gagal membayar premium dan bukan hanya melalui surat fizikal.

Memberikan saranan, Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) mencadangkan penerbitan laporan kos dan tenaga kerja penjagaan jangka panjang tahunan bagi memantau kemampuan dan kebolehcapaian penjagaan.

“Ini harus menetapkan tahap asas untuk (orang) awam yang mudah bagi kos penjagaan jangka panjang merentasi penjagaan di rumah, penjagaan harian dan rumah penjagaan, termasuk pengangkutan dan barang keperluan, di samping trend gaji dan kakitangan dalam sektor penjagaan.

“Dengan ini, kami boleh menentukur subsidi lebih awal, bukannya bertindak lewat, dan memastikan CareShield Hayat boleh dimampui dan mampan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang) pula menyentuh tentang keperluan meneliti isu keadilan antara generasi dalam soal premium dengan pembayaran.

“Rakyat Singapura lebih muda membayar (premium bagi) CareShield Hayat – meletakkan kepercayaan pada janji: bahawa sistem akan melindungi mereka apabila mereka amat memerlukannya.

“Dan jangan kita lupa, ada antara mereka yang tidak akan pernah membuat tuntutan. Namun, mereka menyumbang untuk menjadikan sistem berfungsi untuk semua.

“Namun, kadar ketidakupayaan dan kos penjagaan boleh meningkat lebih pantas daripada andaian aktuari semasa,” kata beliau.

Memberi respons, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon, antara lain, berkata pemerintah sedang memantau trend penduduk semakin menua dan kos penjagaan semakin meningkat, dan telah memulakan strategi nasional untuk menangani isu tersebut, termasuk SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG.

“Dengan memastikan kesihatan baik, kita bukan hanya mengurangkan kos penjagaan, namun yang penting, membolehkan setiap rakyat Singapura menikmati kehidupan mereka sepenuhnya.

“Itu seharusnya menjadi manfaat terbesar kepada rakyat Singapura, meskipun terdapat subsidi dan insentif lain untuk menggalak gaya hidup yang bertujuan menghindari penyakit dan mempertingkat kesejahteraan,” kata beliau.

Berhubung usaha memastikan premium boleh terus dimampui, Dr Koh berkata terdapat pelbagai sokongan daripada pemerintah, seperti subsidi premium bagi golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan, dan bahkan, sokongan tambahan untuk mereka yang tidak mampu membayar premium meskipun setelah diberikan subsidi dan mendapatkan sokongan keluarga.

“Saya ingin tekankan tiada siapa yang akan hilang perlindungan CareShield Hayat kerana tidak dapat membayar premium,” kata beliau.

Kendali pembayaran dan premium secara seiring

“Ini memastikan premium kekal adil dan mampan, sejajar dengan pertumbuhan pendapatan dalam tempoh yang lebih lama. Menyandarkan pembayaran dan menguruskan premium secara seiring akan memberikan rakyat Singapura rasa kebolehramalan dan kestabilan yang lebih kukuh, mengetahui kedua-dua perkara iaitu apakah yang mereka boleh jangkakan dalam sokongan dan apakah sumbangan premium yang diperlukan.”
AP SMC Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng.
Terbitkan laporan kos dan tenaga kerja penjagaan jangka panjang

“Ini harus menetapkan tahap asas untuk (orang) awam yang mudah bagi kos penjagaan jangka panjang merentasi penjagaan di rumah, penjagaan harian dan rumah penjagaan, termasuk pengangkutan dan barang keperluan, di samping trend gaji dan kakitangan dalam sektor penjagaan. Dengan ini, kami boleh menentukur subsidi lebih awal, bukannya bertindak lewat, dan memastikan CareShield Hayat boleh dimampui dan mampan.”
AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Teliti isu keadilan antara generasi

“Rakyat Singapura lebih muda membayar (premium bagi) CareShield Hayat – meletakkan kepercayaan pada janji: bahawa sistem akan melindungi mereka apabila mereka amat memerlukannya. Dan jangan kita lupa, ada antara mereka yang tidak akan pernah membuat tuntutan. Namun, mereka menyumbang untuk menjadikan sistem berfungsi untuk semua. Namun, kadar ketidakupayaan dan kos penjagaan boleh meningkat lebih pantas daripada andaian aktuari semasa”.
AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg