OBU diwajibkan bagi kenderaan S’pura mulai 1 Jan 2027

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

OBU diwajibkan bagi kenderaan S’pura mulai 1 Jan 2027

Jeffrey Siow: S’pura beralih sepenuhnya kepada sistem ERP baru mulai Jan 2027, belum lagi perkenal bayaran berdasarkan jarak
Feb 3, 2026 | 6:15 PM

OBU diwajibkan bagi kenderaan S’pura mulai 1 Jan 2027

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
OBU, kenderaan, Jeffrey Siow
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata sistem Elektronik Jalan Raya (ERP) 1 hampir tamat tempoh penggunaannya selepas hampir tiga dekad yang bermula pada 1998. - Foto MDDI

Mulai 1 Januari 2027, semua kenderaan yang berdaftar di Singapura akan diwajibkan dilengkapi dengan peranti unit dalam kenderaan atau on-board unit (OBU) apabila negara ini beralih sepenuhnya kepada sistem Elektronik Jalan Raya (ERP) 2.0 akan datang.

Sehingga 31 Januari, kira-kira 930,000 kenderaan atau lebih daripada 93 peratus kenderaan di Singapura telah dipasang dengan OBU.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata ia berada di landasan yang betul untuk menyiapkan kerja-kerja pemasangan itu pada 2026.

Berucap di Parlimen pada 3 Februari bagi bacaan kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata sistem ERP 1.0 hampir tamat tempoh penggunaannya selepas hampir tiga dekad.

Oleh itu, sistem ERP 2.0 yang baru, yang menggunakan teknologi Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), diperlukan untuk menyediakan amaran trafik, serta caj jalan raya yang tepat dan cekap, antara lain.

“Sejak September tahun lepas (2025), pemandu boleh menggunakan OBU untuk membayar caj ERP yang terlepas hanya dengan satu klik butang.

“Tidak lama lagi, pemandu juga akan dapat menggunakan OBU untuk pembayaran tol tanpa sentuh di pusat pemeriksaan darat dan untuk tempat letak kereta elektronik di tepi jalan,” kata Encik Siow.

Apabila rang itu diluluskan kelak, mereka yang didapati bersalah tidak memasang OBU atau mengubah pemasangan OBU boleh didenda sehingga $20,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Ia juga akan menjadi satu kesalahan bagi orang yang tidak dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan OBU atau pengiklanan perkhidmatan tersebut seperti pemasangan, pembaikan atau penempatan semula.

Sejak awal 2024, LTA telah menggalak pemilik kenderaan untuk memasang OBU secara proaktif.

Pada masa ini, pemasangan OBU hanya dikenakan bagi kenderaan yang memandu melalui gerbang ERP semasa waktu operasinya.

Pemilik kenderaan yang belum berbuat demikian akan menerima peringatan terakhir daripada LTA mulai 15 Februari dan mereka akan mempunyai tiga bulan dari tarikh pemberitahuan untuk memasang OBU mereka secara percuma.

Selepas itu, pemilik motosikal dan kenderaan lain dikehendaki membayar masing-masing $35 dan $70 untuk pemasangan OBU dari bengkel yang dibenarkan.

“Berbanding dengan ERP 1, ERP 2 akan menjadi lebih tepat dan lebih halus dalam menyasarkan kesesakan jalan raya.

“Ia membolehkan kami memperkenalkan titik bayaran baru tanpa memerlukan gerbang fizikal yang mahal dan besar.

“Kita juga boleh mengagihkan caj ERP dalam jumlah yang lebih kecil merentasi beberapa lokasi, dan bukannya di satu lokasi. Ini akan menjadi lebih adil,” kata Encik Siow.

Pada masa ini, terdapat 95 gerbang ERP di seluruh negara, yang mana 22 daripadanya sedang beroperasi.

Encik Siow menambah pemerintah tidak akan memperkenalkan bayaran berdasarkan jarak dalam “tempoh terdekat”.

Tambahnya, pemerintah akan terus mengkaji kaedah mengenakan bayaran dan akan menyemak semula selepas pemandu kenderaan telah membiasakan diri dengan sistem baru dan keadaannya lebih stabil.

Beberapa kenderaan tertentu yang berdaftar di Singapura dikecualikan daripada memasang OBU seperti peralatan pembinaan, kenderaan lapangan terbang, kenderaan pelabuhan serta kenderaan Skim Kenderaan Klasik atau Vintaj (CVV).

Bagi kenderaan CVV, mereka mempunyai pilihan untuk memasang OBU secara percuma, tertakluk kepada kebolehlaksanaan teknikal.

Jika tidak, mereka perlu membayar caj ERP kadar tetap sebanyak $3 untuk motosikal dan $10 untuk semua kenderaan lain bagi setiap hari operasi ERP yang dilalui kenderaan di jalan awam mulai 1 Januari 2027.

Kenderaan berdaftar asing yang memasuki Singapura mempunyai pilihan untuk memasang OBU mulai 1 April dengan kos $158.70 hingga 31 Disember.

Mulai 1 Januari 2027, kenderaan berdaftar asing tanpa OBU perlu membayar caj ERP kadar tetap sebanyak $3 untuk motosikal dan $10 untuk semua kenderaan lain bagi setiap hari operasi ERP.

Rang undang-undang yang dipinda itu, setelah diluluskan, juga akan menghapuskan kesalahan pembayaran ERP dan menganggapnya sebagai perkara pentadbiran.

Pada masa ini, mereka yang gagal membayar pembayaran ERP boleh dibawa ke mahkamah untuk menyelesaikan kesalahan trafik mereka.

Mulai 1 Januari 2027, pemilik kenderaan, bukannya pemandu, akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan caj ERP yang tertunggak.

Mereka yang mempunyai caj ERP tertunggak akan diberi masa lima hari dari pemberitahuan SMS LTA untuk menyelesaikan pembayaran mereka.

Jika tidak, mereka tidak akan dapat berurus niaga dengan LTA seperti memperbaharui cukai jalan mereka sehingga mereka menyelesaikan pembayaran serta membayar kos pentadbiran sebanyak $10.

Denda juga akan dipertingkat bagi pengubahan haram kenderaan bermotor, dan bagi mereka yang menyimpan atau menggunakan kenderaan yang tidak berdaftar bagi meningkatkan keselamatan kenderaan dan jalan raya.

Pada masa ini, pesalah kali pertama dikenakan denda sehingga $2,000, penjara sehingga 3 bulan atau kedua-duanya. Pesalah berulang akan dikenakan denda sehingga $5,000, penjara sehingga 6 bulan, atau kedua-duanya.

Dengan perubahan itu, yang berkuat kuasa 27 Februari, pesalah kali pertama akan dikenakan denda sehingga $20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya. Denda dan hukuman penjara akan digandakan untuk pesalah berulang.

“Hukuman yang dipertingkatkan ini adalah langkah pencegahan yang diperlukan memandangkan kita melihat trend kenderaan tidak berdaftar yang semakin meningkat di jalan raya kita.

“Sebahagian daripadanya digunakan untuk aktiviti jenayah, seperti pengedaran dadah.

“Kenderaan ini juga menimbulkan risiko keselamatan jalan raya yang serius, kerana ia beroperasi tanpa insurans yang sah atau pemeriksaan berkala, dan sering terlibat dalam kemalangan langgar lari,” kata Encik Siow.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg