Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP, Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied), telah memohon maaf kepada Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, kerana disifatkan “bertanya soalan bodoh” kepadanya di Parlimen pada 5 November.
Sebelum itu, Encik Chee, yang juga Menteri Kedua Kewangan, telah menjawab soalan Encik Tiong yang telah beliau failkan di Parlimen pada hari yang sama.
Encik Tiong telah bertanya sama ada terdapat individu yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat atas dakwaan aktiviti jenayah rentas sempadan atau disabitkan kesalahan telah mengendalikan pejabat keluarga yang dikecualikan cukai di dalam negara.
Dalam soalan susulannya, Encik Tiong bertanya sama ada pemerintah akan meningkatkan usaha wajar ke atas hubungan pelanggan sedia ada merentasi semua sektor kewangan yang dikawal selia, dan bukan hanya apabila menerima pelanggan baru.
Sebelum menjawab soalan tersebut, Encik Chee bertanya sama ada Encik Tiong dapat menjelaskan pendirian WP sama ada pihak berkuasa harus menerima pakai pendekatan tanpa risiko, atau sama ada Singapura harus menerima pakai pendekatan risiko secara berkadaran.
Dalam jawapannya, Encik Tiong berkata “terdapat corak menteri dan pemegang jawatan politik yang bertanya… soalan retorik yang tidak bermakna”, yang menjemput Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, untuk mencelah dan meminta Encik Tiong menjawab Encik Chee.
Encik Tiong berkata: “Jawapannya adalah tidak, dan saya tidak fikir ia adalah pandangan menteri bahawa anda sepatutnya mempunyai pendekatan sifar risiko kerana ia mustahil. Jadi dia bertanya soalan yang bodoh”.
Sebagai tindak balas, Encik Chee berkata: “Saya fikir adalah tidak sesuai untuk Encik Tiong menggunakan perkataan “bodoh” apabila kita sedang berbincang di Dewan ini.
“Saya bertanya kepadanya soalan untuk menjelaskan apakah pendiriannya, dan saya dengan hormat memintanya untuk menarik balik komen itu dan memohon maaf.”
Encik Tiong berkata beliau menarik balik komennya tetapi menegaskan soalan Encik Chee “bukan soalan yang bermakna”.
Encik Chee kemudian berkata beliau “kecewa” dengan cara Encik Tiong mengendalikan perbincangan tersebut.
Pada akhir soalan, Encik Seah berkata beliau “agak kecewa” dengan kenyataan yang dibuat oleh Encik Tong.
Beliau menambah walaupun Encik Tiong telah menarik balik komennya, beliau tidak memohon maaf dan berkata komen itu “agak menghina dan merendahkan maruah Dewan ini untuk menggunakan bahasa sedemikian”.
Encik Seah berkata: “Anda telah menarik balik komen itu, yang jelas betul, saya menjangkakan... permohonan maaf tetapi saya menerima anda tidak berbuat demikian,” katanya.
“Kami mahu mengekalkan maruah dan kesopanan di dewan ini, dan penggunaan bahasa sedemikian terhadap rakan Anggota Parlimen tidaklah setaraf.”
Berikutan komen Encik Seah, Encik Tiong memohon maaf kepada Encik Chee, yang turut menerimanya.
Dalam jawapannya, Encik Chee berkata: “Saya berharap kita boleh, pada masa hadapan, mengadakan perbincangan sedemikian dengan cara yang beradab dan sopan, serta penuh hormat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg