Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apa implikasi jika 38 Oxley Road diwarta sebagai monumen negara?

Terdapat proses pengiktirafan bagi sesebuah tapak menjadi monumen negara
Oct 27, 2024 | 3:23 PM
Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen NHB akan menjalankan kajian untuk menilai sama ada rumah perdana menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew, di 38 Oxley Road, layak dipelihara sebagai monumen negara. 
Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen NHB akan menjalankan kajian untuk menilai sama ada rumah perdana menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew, di 38 Oxley Road, layak dipelihara sebagai monumen negara.  - Foto fail

Tapak rumah peninggalan perdana menteri pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew mungkin akan diwartakan sebagai monumen negara, selepas Lembaga Warisan Negara (NHB) mengumumkan pada 24 Oktober bahawa ia akan membuat penilaian jika tapak itu “mempunyai kepentingan sejarah, warisan dan seni bina negara yang wajar untuk dipelihara”.

Langkah NHB adalah suatu permulaan yang berpotensi menjadikan tapak itu sebagai monumen negara – suatu penetapan undang-undang yang mengehadkan perubahan yang boleh dilakukan padanya serta menyediakan peruntukan untuk penyelenggaraannya.

Tapak itu mengandungi banglo satu tingkat sebelum perang milik mendiang Encik Lee, yang didiaminya dari pertengahan 1940-an hingga kematiannya pada 2015.

Encik Lee Hsien Yang, yang merupakan pemilik semasa banglo itu, telah memohon kebenaran untuk merobohkan rumah itu, lapor The Straits Times (ST).

Namun Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menangguhkan permohonannya kerana NHB merancang untuk mengkaji tapak tersebut.

Rencana ini akan menerangkan proses pengiktirafan sesebuah tapak sebagai monumen negara, serta implikasinya terhadap banglo 38 Oxley Road dan Encik Lee Hsien Yang.

1. Mengapakah NHB akan jalankan kajian ke atas 38 Oxley Road walaupun hartanah itu telah diteliti oleh jawatankuasa menteri?

Sebagai sebahagian daripada proses yang telah ditetapkan untuk tapak yang berpotensi diwartakan sebagai monumen negara, NHB akan mengkaji setiap tapak dan menyerahkan penemuan mereka kepada lembaga penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen (PSM) untuk penilaian lanjut.

NHB sebelum ini telah mengkaji 38 Oxley Road untuk laporan jawatankuasa menteri pada 2018, bagi mengemukakan cadangan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil terhadap rumah itu selepas kematian Encik Lee Kuan Yew.

Lembaga PSM akan menggunakan laporan tersebut untuk menilai kepentingan sejarah dan seni bina tapak itu sebelum menasihati NHB.

PSM, sebuah divisyen di bawah naungan NHB, bertujuan mengenal pasti, mengkaji, dan mengesyorkan tapak yang sesuai diberikan status monumen negara serta memberi nasihat kepada pemerintah mengenai isu-isu berkaitan.

Pegawai awam dalam lembaga penasihat PSM tidak akan terlibat dalam kajian itu, untuk memastikan penilaian 38 Oxley Road dilakukan secara bebas.

Dr Kevin Tan, presiden Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak Warisan (Icomos) Singapura, berkata keseluruhan proses itu tercetus daripada permohonan Encik Lee Hsien Yang kepada URA untuk mendapatkan permit untuk merobohkan rumah itu.

“Jika URA tidak menyerahkan kes itu kepada PSM, mereka hanya mempunyai dua pilihan -– membenarkan perobohan atau tidak membenarkan perobohan,” katanya.

Jika URA membenarkan hartanah itu dirobohkan, maka “tiada pilihan lain untuk menyelamatkan mana-mana bahagian tertentu bangunan atau sebaliknya,” tambah Dr Tan.

2. Apakah intipati laporan jawatankuasa menteri 2018 mengenai 38 Oxley Road?

Laporan 31 halaman oleh NHB yang dikeluarkan untuk jawatankuasa menteri pada 2018 mendapati rumah itu mempunyai nilai sejarah dan seni bina.

Rumah itu adalah pusat utama bagi perhimpunan politik, yang digambarkan sebagai “tempat lahir Singapura moden.”

Contohnya, ruang makan di tingkat bawah rumah itu pernah berfungsi sebagai tempat utama perbincangan yang membawa kepada penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 1954.

Dari segi seni bina, rumah itu adalah banglo praperang yang jarang ditemui, yang menggabungkan ciri-ciri seni bina British, Asia, dan tempatan. 

Jawatankuasa kementerian yang diketuai oleh Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, meneroka beberapa pilihan untuk tapak itu, seperti mengekalkan keseluruhan bangunan, memelihara hanya tingkat bawahnya, atau merobohkan keseluruhannya untuk pembangunan semula.

Laporan itu juga menyimpulkan bahawa walaupun mendiang Encik Lee berkehendak untuk merobohkan rumah itu, beliau terbuka kepada pilihan lain jika privasi keluarga dan penyelenggaraan bangunan itu terjaga.

3. Apa maksudnya jika sesebuah tapak diwartakan sebagai monumen negara?

Monumen negara adalah “bahagian penting dalam warisan binaan Singapura” dan diberi perlindungan tertinggi di Singapura, menurut laman web NHB.

“Mengotori, merosakkan atau sebaliknya mengacau” tapak atau bangunan yang dicadangkan atau telah ditetapkan sebagai monumen negara, adalah suatu kesalahan.

Pemilik sesuatu hartanah yang diisytiharkan sebagai monumen negara, perlu mengambil semua langkah yang sesuai untuk memastikan ia diselenggara dengan baik pada setiap masa, mengikut garis panduan yang dikeluarkan NHB, kata Profesor Madya Undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Encik Eugene Tan.

Setiap monumen akan disertakan dengan satu set garis panduan pemuliharaan yang menyatakan ciri-ciri khusus hartanah itu yang mesti dipelihara.

Akta Pemeliharaan Monumen 2009 menetapkan peraturan mengenai cara monumen perlu dipelihara dan dilindungi.

4. Apa yang akan berlaku selepas kajian NHB selesai?

NHB menyatakan bahawa kajian lembaga penasihat PSM mengenai 38 Oxley Road dijangka mengambil masa beberapa minggu.

Selepas penilaian itu, NHB akan mengemukakan cadangan kepada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, sama ada tapak itu patut dijadikan monumen negara.

Jika cadangan itu diluluskan, NHB akan memberitahu pemilik, menetapkan tapak itu sebagai monumen negara yang dicadangkan, dan membenarkan ‘tempoh munasabah’ untuk sebarang bantahan.

Selepas tempoh itu tamat, NHB akan menerbitkan maklumat mengenai monumen negara yang dicadangkan itu di portal sumber warisan, Roots.gov.sg.

NHB berkata jika tapak 38 Oxley Road dipelihara sebagai monumen negara, semua pilihan bagi tapak itu akan kekal terbuka kepada pemerintah semasa dan masa depan.

Ini kerana perintah pemeliharaan boleh dipinda atau ditarik balik sebagaimana yang diputuskan sesuai oleh pemerintah semasa.

NHB menambah bahawa merobohkan rumah itu dengan segera, akan menghalang pertimbangan menyeluruh terhadap pilihan-pilihan tersebut.

5. Bolehkah pemerintah mewartakan tapak itu sebagai monumen negara, walaupun Encik Lee Hsien Yang menyatakan hasrat untuk merobohkannya?

Ya, Akta Pemeliharaan Monumen juga merangkumi rumah milik peribadi seperti 38 Oxley Road.

Undang-undang itu menyatakan bahawa jika perintah pemeliharaan telah dibuat untuk sebuah rumah milik peribadi yang ‘kelihatan kepada NHB sebagai rumah kediaman’, pemerintah mempunyai tempoh setahun dari tarikh perintah tersebut untuk memperoleh hartanah itu di bawah Akta Pengambilan Tanah, sebelum status monumen tersebut luput.

Menurut Dr Kevin Tan, sekiranya perintah pemeliharaan dibuat untuk 38 Oxley Road, pemiliknya hanya boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, dan keputusannya adalah muktamad. 

Begitu juga, jika rayuannya gagal, pemerintah mesti memperoleh hartanah itu dalam tempoh 12 bulan, atau perintah itu akan luput.

6. Apabila rumah itu diwartakan sebagai monumen negara, adakah ia bermakna Encik Lee Hsien Yang tidak boleh merobohkan rumah itu?

Menurut Prof Eugene Tan, tiada undang-undang yang menyatakan bahawa monumen negara mesti dipelihara secara keseluruhan, justeru, ada kemungkinan hanya sebahagian atau beberapa bahagian 38 Oxley Road akan dipelihara.

Oleh kerana Encik Lee Hsien Yang telah memohon untuk merobohkan rumah itu, pemerintah boleh mempertimbangkan untuk memelihara ruang makan tingkat bawah rumah itu di lokasi lain — seperti di Memorial Pengasas yang akan datang, tambah Prof Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg