Lembaga Warisan Negara (NHB) akan jalankan kajian untuk menetapkan sama ada tapak rumah peninggalan perdana menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew di 38 Oxley Road wajar dipelihara sebagai monumen negara.
Dalam kenyataan pada 24 Oktober, NHB berkata kajian itu akan menentukan sama ada tapak tersebut “mempunyai kepentingan sejarah, warisan dan seni bina negara yang wajar untuk dipelihara”.
NHB turut menyatakan satu laporan jawatankuasa menteri pada 2018 telah menilai bahawa bangunan itu mempunyai kepentingan seni bina, warisan dan sejarah.
Laporan tersebut turut membuat kesimpulan bahawa meskipun mendiang Encik Lee mengutamakan bangunan itu dirobohkan, beliau bersedia menerima pilihan lain, dengan syarat tertentu, seperti pastikan bangunan itu dinaik taraf dan dijaga dalam keadaan yang boleh dihuni, dan privasi keluarga beliau dilindungi, tambah NHB.
NHB berkata Encik Lee Hsien Yang, anak bongsu Encik Lee Kuan Yew dan pemilik semasa 38 Oxley Road, telah membuat permohonan pada 21 Oktober kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk merobohkan rumah tersebut.
Namun, membuat sedemikian pada masa ini mengecualikan pertimbangan penuh dan yang sewajarnya bagi pilihan lain yang ada, kata NHB.
Persoalan mengenai nasib 38 Oxley Road timbul semula menyusuli kematian satu-satunya anak perempuan Encik Lee Kuan Yew, Dr Lee Wei Ling, pada 9 Oktober. Dr Lee telah tinggal di rumah itu sejak kematian bapanya pada 2015.
Encik Lee Hsien Yang menyatakan dalam satu catatan Facebook pada 15 Oktober bahawa beliau akan memohon untuk merobohkan rumah di 38 Oxley Road bagi membina sebuah kediaman privet kecil.
Dua lagi anak mendiang Encik Lee – mantan perdana menteri dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Encik Lee Hsien Yang – secara terbuka tidak bersetuju mengenai nasib rumah itu dan tafsiran kehendak arwah bapa mereka.
Laporan menteri pada 2018 telah membentangkan beberapa pilihan bagi bangunan dan tapak bangunan tersebut.
Ini termasuk memelihara seluruh bangunan, memelihara ruang makan di besmen sahaja, atau merobohkan keseluruhan bangunan tetapi memperuntuk tapak itu bagi kegunaan lain, seperti taman atau pusat warisan, kata NHB.
Besmen rumah peninggalan mendiang Encik Lee digunakan sebagai tempat mesyuarat oleh anggota pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) semasa membincangkan penubuhan parti itu.
NHB berkata kajian itu akan dijalankan Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen, yang merangkumi pakar daripada pelbagai sektor.
Saranan lembaga itu akan diberikan kepada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, yang kemudian akan menentukan sama ada untuk mengeluarkan perintah pemeliharaan bagi tapak 38 Oxley Road di bawah Akta Pemeliharaan Monumen.
Jika keputusannya adalah untuk memelihara tapak tersebut, NHB akan mengeluarkan notis tujuan kepada pemilik, yang boleh mengemukakan sebarang bantahan kepada lembaga itu “dalam tempoh yang munasabah” sebelum menteri membuat keputusan muktamad.
Menulis di Facebook, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata langkah membolehkan Encik Lee Hsien Yang melakukan kerja-kerja perobohan di 38 Oxley Road akan “dengan segera menolak pilihan yang boleh dipertimbangkan”.
“Kami tidak fikir bahawa sebarang pilihan harus dihalang, atau ditutup, pada tahap ini,” kata beliau.
“Pilihan ini tidak menyeluruh. Tujuannya adalah untuk pemerintah masa depan mempertimbangkan pilihan ini, dan pilihan lain yang mungkin muncul kemudian, dan membuat keputusan yang termaklum dan dipertimbangkan dalam masa yang penuh, dengan mengambil kira kehendak Encik Lee Kuan Yew,” tambahnya.
Menulis di Facebook selepas kenyataan NHB dikeluarkan, Encik Lee Hsien Yang mempersoalkan mengapa kajian tersebut perlu dilakukan sedangkan satu kajian menyeluruh oleh NHB telah pun dilakukan pada 2018 dan laporannya telah diserahkan kepada jawatankuasa menteri.
NHB berkata jika tapak 38 Oxley Road dipelihara sebagai monumen negara, semua pilihan bagi tapak itu akan kekal terbuka kepada pemerintah semasa dan masa depan, kerana perintah pemeliharaan boleh dipinda atau ditarik balik sebagaimana yang diputuskan sesuai oleh pemerintah semasa.
Ia juga bererti tapak itu tidak boleh dizon semula digunakan bagi tujuan lain sehingga keputusan dibuat pada masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg