Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada peluang kaji kegunaan kediaman LKY jika terus diroboh

Edwin Tong: Pemerintah mahu tangani isu berhubung 38 Oxley Road dengan fikiran, pilihan terbuka
Oct 24, 2024 | 6:37 PM
Satu kajian di tapak rumah 38 Oxley Road itu akan dijalankan  Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk menilai sama ada ia mempunyai kepentingan sejarah, warisan dan seni bina yang layak untuk dipelihara sebagai monumen negara.
Satu kajian di tapak rumah 38 Oxley Road itu akan dijalankan Lembaga Warisan Negara (NHB) untuk menilai sama ada ia mempunyai kepentingan sejarah, warisan dan seni bina yang layak untuk dipelihara sebagai monumen negara. - Foto ZAOBAO

Langkah Encik Lee Hsien Yang mahu merobohkan rumah di 38 Oxley Road akan “dengan segera meniadakan pilihan yang boleh dipertimbangkan” berhubung rumah yang pernah didiami bapanya, Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Menulis di Facebook pada 24 Oktober, Encik Tong berkata: “Kami tidak fikir bahawa sebarang pilihan harus dihalang, atau ditutup, pada tahap ini.”

Nasib tapak rumah 38 Oxley Road sekali lagi timbul selepas kematian satu-satunya anak perempuan Encik Lee Kuan Yew, Dr Lee Wei Ling, pada 9 Oktober.

Dr Lee telah tinggal di rumah itu sejak kematian bapanya pada 2015.

Dua lagi anak mendiang Encik Lee – mantan Perdana Menteri dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Encik Lee Hsien Yang – secara terbuka tidak bersetuju mengenai nasib rumah itu dan tafsiran kehendak arwah bapa mereka.

Pada 21 Oktober, Encik Lee Hsien Yang, anak bongsu Encik Lee Kuan Yew dan pemilik semasa 38 Oxley Road, telah membuat permohonan kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk merobohkan rumah tersebut.

Encik Tong berkata dapat difahamkan terdapat pelbagai pandangan berbeza dalam kalangan rakyat Singapura berhubung isu 38 Oxley Road itu.

Namun, beliau menambah bahawa adalah penting untuk menangani isu tersebut dengan fikiran terbuka serta memastikan pilihan terbuka.

“Peredaran masa akan membantu kita lebih menghargai isu tersebut dalam konteks yang betul, dengan manfaat pengalaman masa lalu,” kata beliau.

Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 24 Oktober telah menyatakan bahawa satu kajian di tapak rumah 38 Oxley Road itu akan dijalankan untuk menilai sama ada ia mempunyai kepentingan sejarah, warisan dan seni bina yang layak untuk dipelihara sebagai monumen negara.

Encik Tong berkata kajian itu akan dijalankan Lembaga Penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen NHB, yang merangkumi pakar daripada pelbagai sektor.

“Mereka akan menilai dengan teliti merit, jika ada, pemeliharaan sedemikian, dan membuat saranan profesional mereka,” kata beliau.

Saranan lembaga itu akan diberikan kepada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, yang kemudian akan menentukan sama ada untuk mengeluarkan perintah pemeliharaan bagi tapak 38 Oxley Road di bawah Akta Pemeliharaan Monumen.

Satu laporan jawatankuasa menteri pada 2018 telah menilai bahawa bangunan di 38 Oxley Road itu mempunyai kepentingan seni bina, warisan dan sejarah.

Laporan tersebut turut membuat kesimpulan bahawa meskipun keutamaan mendiang Encik Lee adalah bagi bangunan itu dirobohkan, beliau bersedia menerima pilihan selain perobohan.

Namun, ini dengan syarat aturan sesuai dibuat untuk memastikan bangunan itu dipertingkat dan dijaga dalam keadaan yang boleh dihuni, dan privasi keluarga beliau dilindungi.

“Sekiranya perintah pemeliharaan dibuat, semua pilihan akan kekal terbuka, dan ini akan memberi pemerintah masa untuk mempertimbangkan pilihan berbeza yang dikenal pasti dalam laporan jawatankuasa menteri, atau pilihan lain,” kata Encik Tong.

Peredaran masa akan membantu kita lebih menghargai isu tersebut dalam konteks yang betul, dengan manfaat pengalaman masa lalu... Sekiranya perintah pemeliharaan dibuat, semua pilihan akan kekal terbuka, dan ini akan memberi pemerintah masa untuk mempertimbangkan pilihan berbeza yang dikenal pasti dalam laporan jawatankuasa menteri, atau pilihan lain.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg