Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apa yang anda perlu tahu tentang vaksin 2-dalam-1 Moderna bagi Covid-19 dan flu

Jun 26, 2024 | 7:22 PM
Berdasarkan hasil percubaan klinikal yang dijalankan, vaksin gabungan Moderna dikatakan memberi perlindungan lebih baik kepada warga emas terhadap kededua selesema dan Covid-19.
Berdasarkan hasil percubaan klinikal yang dijalankan, vaksin gabungan Moderna dikatakan memberi perlindungan lebih baik kepada warga emas terhadap kededua selesema dan Covid-19. - Foto ST

Moderna menyatakan pada 10 Jun bahawa vaksin gabungannya untuk Covid-19 dan selesema menghasilkan tindak balas antibodi yang lebih baik daripada vaksin selesema dan Covid-19 yang diambil secara berasingan, berdasarkan satu percubaan klinikal fasa tiganya.

Apakah ertinya? Akhbar The Straits Times (ST) bertanyakan beberapa soalan berikut.

Soalan: Adakah lebih baik untuk mendapatkan suntikan 2-dalam-1 Moderna, atau suntikan vaksin selesema dan Covid-19 secara berasingan?

Jawapan: Mendapatkan suntikan sekali sahaja lebih mudah. Dari segi keberkesanan, berdasarkan hasil percubaan tersebut, vaksin gabungan Moderna nampaknya memberi perlindungan lebih baik kepada warga emas terhadap kededua selesema dan Covid-19.

Percubaan tersebut melibatkan seramai 8,000 orang dalam dua kumpulan – separuh berusia 50-64 tahun, dan selebihnya berusia 65 tahun ke atas.

Menurut Moderna, dalam kededua kumpulan itu, vaksin gabungannya “menimbulkan tindak balas imun yang lebih tinggi dan ketara dari segi statistik terhadap tiga jenis virus selesema”.

Ia juga mempunyai tindak balas lebih baik terhadap virus Sars-CoV-2.

Pakar dalam penyakit berjangkit yang baru muncul di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Profesor Ooi Eng Eong, berkata:

“Tahap antibodi yang lebih tinggi terhadap virus selesema yang dicapai oleh vaksin mRNA kombo ini berbanding vaksin selesema bermusim dan tidak teraktif mungkin menghasilkan perlindungan lebih berkesan terhadap selesema teruk.”

Soalan: Bagaimana pula dengan kos? Adakah ia lebih mahal?

Jawapan: Kementerian Kesihatan (MOH) menyarankan agar warga emas mendapatkan vaksin terhadap kededua selesema dan Covid-19.

Suntikan ini ditawarkan secara percuma kepada warga dan penduduk tetap Singapura berusia 65 tahun dan ke atas, atau yang mengalami keadaan perubatan yang memerlukan perlindungan sedemikian, seperti mereka yang lemah imun atau menghidap HIV.

Soalan: Jadi, adakah Singapura akan mendapatkan vaksin 2-dalam-1 ini?

Jawapan: Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menyatakan kerana percubaan klinikal ini baru sahaja selesai. Ia akan mengambil masa sekitar setahun sebelum vaksin ini disediakan secara komersial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg