Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apabila hidup terasa laju, hati masih ragu

Aug 31, 2025 | 5:30 AM
Fenomena krisis suku hayat, bukan sekadar kata-kata trend; ia cerminan tekanan sebenar yang dihadapi oleh generasi muda.
Fenomena krisis suku hayat, bukan sekadar kata-kata trend; ia cerminan tekanan sebenar yang dihadapi oleh generasi muda. - Foto fail

Segulung diploma. Pekerjaan yang tetap. Gaji yang agak lumayan. 

Semua ini sudah digenggam pada usia yang agak muda. Namun, mengapa hati ini masih rasa hilang arah? 

Demikian membuat saya tertanya, adakah saya seorang sahaja yang tidak pasti ke mana hala tuju hidup, walaupun sudah dewasa? 

Fenomena ini, yang kini dikenali ramai sebagai krisis suku hayat, bukan sekadar kata-kata trend.

Ia cerminan tekanan sebenar yang dihadapi oleh generasi muda seperti saya – antara impian untuk berjaya, perbandingan dengan kehidupan orang lain di media sosial, dengan rasa terbeban untuk “mengetahui segalanya” dalam usia 20-an.

Saya sendiri mengalaminya. Pada usia 21 tahun, peralihan dari alam pelajar ke alam pekerja ternyata bukan mudah.

Selepas menamatkan pengajian di politeknik, saya tiba-tiba dihadapkan dengan realiti pejabat – tanggungjawab yang lebih berat, harapan yang tinggi dan kebebasan yang perlu saya belajar urus sendiri.

Walaupun saya bersyukur dengan pekerjaan ini, kadang-kadang saya masih risau tentang masa depan dan tidak pasti sama ada saya akan berjaya dalam jangka masa panjang.

Inilah hakikat krisis suku hayat – fasa penuh persoalan tentang identiti, hala tuju dan makna kejayaan sebenar. 

Tekanan ini lahir dari pelbagai arah. Ada jangkaan masyarakat bahawa seseorang mesti mencapai sesuatu sebelum usia 30 – sama ada memiliki rumah, kereta atau kestabilan kerjaya.

Di media sosial pula, terpampang rakan sebaya yang sudah membeli kereta, memulakan perniagaan, atau melancong ke luar negara. 

Paparan ini, walaupun memberi inspirasi, sering kali memperkuatkan rasa tidak cukup – seolah-olah pencapaian sendiri masih jauh daripada memadai.

Dalam era di mana setiap kejayaan kecil boleh ditonjolkan di Instagram, mudah untuk lupa bahawa kehidupan sebenar penuh cabaran, kegagalan dan proses pembelajaran yang tidak nampak di Instagram.

Maka timbul persoalan penting – adakah generasi muda benar-benar diberi ruang mengenali diri sebelum disuruh mencapai jangkaan masyarakat?

Budaya ‘hustle’, atau bekerja tanpa henti, pula sering diagungkan, seolah-olah nilai hidup hanya boleh diukur melalui produktiviti dan pendapatan.

Namun, apakah makna kejayaan jika ia hanya berpandukan apa yang kelihatan baik di mata orang lain, bukan apa yang memberi kepuasan kepada diri sendiri? 

Mungkin keresahan generasi muda berpunca daripada pertembungan ini – keinginan untuk hidup jujur dengan diri, tetapi dihimpit tekanan luar.

Hakikatnya, usia 20-an bukan semata-mata perlumbaan untuk mengumpul pencapaian.

Ia juga ruang untuk bereksperimen, mencuba, dan membina identiti. 

Tidak mengapa jika hala tuju masih kabur. Tidak mengapa jika perjalanan hidup tidak sama dengan orang lain. 

Tidak ada garis masa tetap yang menentukan siapa berjaya terlebih dahulu.

Ada yang menemui minat atau bakat mereka lebih awal, ada yang memerlukan masa lebih panjang. 

Menghargai perjalanan sendiri, tanpa membandingkan dengan pencapaian orang lain, sebenarnya adalah bentuk kedewasaan yang sering dilupakan. 

Apa yang penting adalah memberi ruang kepada diri sendiri.

Luangkan masa untuk menulis, mencuba hobi baru, atau sekadar merenung apa yang benar-benar penting. 

Selain itu, perbualan dan sokongan daripada rakan sebaya atau mentor boleh menenangkan hati yang gelisah.

Kadang-kadang, langkah paling kecil boleh membuka perspektif baru tentang kehidupan. 

Generasi muda perlu diingatkan bahawa tidak ada satu jalan tunggal menuju kejayaan.

Dunia juga harus lebih memahami realiti ini – bahawa usia 20-an ialah masa untuk belajar, tersilap, bangkit semula, dan akhirnya menemui diri yang sebenar.

“Menghargai perjalanan sendiri, tanpa membandingkan dengan pencapaian orang lain, sebenarnya adalah bentuk kedewasaan yang sering dilupakan.  Apa yang penting adalah memberi ruang kepada diri sendiri.”
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg