1) Boleh jelaskan mengapa pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dianggap hibah?
Ustaz Haron Masagoes Hassan:
Bagi memastikan alat perancangan legasi Islam itu dianggap hibah, ia perlu memenuhi tiga kriteria.
Kriteria pertama ialah anda perlu menyatakan niat anda dengan jelas sama ada anda mahu memperuntukkan harta atau aset anda kepada penerima.
Kriteria kedua ialah cara menyampaikan harta atau aset anda mestilah jelas. Sebagai contoh, pemilikan aset anda boleh dipindahkan kepada penerima menerusi penamaan CPF.
Kriteria ketiga ialah penerima mesti sedia menerimanya.
Jadi jika ketiga-tiga kriteria ini dipenuhi, maka ia menjadi hibah semasa anda masih hidup.
Justeru, apabila kita melihat pada pencalonan CPF, anda sudah mempunyai niat yang jelas untuk memberikan kepada penerima itu semasa hidup dan kejelasan itu datang daripada peratusan yang anda letakkan dalam pencalonan CPF anda.
Dengan itu, ia dianggap hibah dan hanya orang atau pertubuhan yang anda namakan akan mendapat wang CPF itu.
(Penerangan lanjut tentang penamaan atau pencalonan berkenaan CPF atau insurans boleh dibaca di bab lima dalam buku ‘Fatwa Singapura, Jilid 2: Pewarisan dan Perancangan Estet’, yang kini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.)
2) Saya mempunyai satu akaun bersama arwah suami saya. Secara automatik, apakah saya akan mempunyai pemilikan penuh ke atas keseluruhan wang simpanan itu?
Ustaz Haron Masagoes:
Merujuk pada soalan ini, si isteri boleh mendapat pemilikan penuh wang simpanan itu asalkan ahli keluarga lain seperti anak-anak tidak minta wang simpanan itu untuk difaraidkan.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir:
Selalunya apabila kita bercakap tentang perancangan harta pusaka dan kekayaan, kita sentiasa berfikir tentang nilai wang. Tetapi, sebenarnya, di dalam Islam, asas paling penting yang kita mesti fikirkan dahulu adalah moral kita – untuk mempunyai nilai tanggungjawab dan belas kasihan.
Maka, jika anak-anak bertegas hendak wang itu difaraidkan, wang itu boleh difaraidkan. Tetapi, di manakah nilai tanggungjawab dan belas kasihan anak-anak kepada ibu mereka itu?
Agama Islam sebenarnya membenarkan pembahagian harta secara sama rata jika terdapat persetujuan antara semua waris.
Tetapi, mengapa dalam hukum faraid, kaum lelaki diberikan dua bahagian harta berbanding kaum perempuan yang diberikan satu bahagian harta?
Sebenarnya, pada zaman Nabi Rasulullah saw dahulu, kaum lelaki mendapat harta dan akan menjaga ibu dan adik-adik perempuan mereka, bukan dapat duit dan kemudian terus menghilangkan diri, tidak hiraukan langsung tentang ibu dan adik-adik perempuannya seperti yang berlaku pada hari ini.
3) Apakah akan terjadi dengan harta pusaka saya jika ibu bapa dan suami saya sudah meninggal dunia dan saya tidak mempunyai anak?
Dr Nazirudin:
Baki harta pusaka sedemikian akan ditadbirkan baitulmal. Ini wakaf am. Dalam erti kata lain, segala baki harta pusaka yang tidak sampai kepada individu akan ditadbirkan dalam baitulmal yang bermaksud amanat Allah dan masyarakat Islam, dengan masyarakat Islam akan meraih manfaat daripadanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg