Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Kempen Bulan Wakaf jaya tingkat kesedaran perancangan warisan

Majlis Ugama Islam Singapura akan terus tingkat kesedaran perancangan warisan kepada orang awam, asatizah
Aug 30, 2024 | 6:42 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kiri), bersama Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan (kiri), semasa melawat reruai di acara Perkampungan Legasi Wakaf Masyarakat Singapura pada 30 Ogos di Suntec Singapore.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kiri), bersama Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan (kiri), semasa melawat reruai di acara Perkampungan Legasi Wakaf Masyarakat Singapura pada 30 Ogos di Suntec Singapore. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Meskipun baru dianjurkan buat pertama kali, inisiatif Kempen Bulan Wakaf adalah wadah yang baik mendidik masyarakat tentang peri penting membuat wakaf sebagai salah satu perancangan warisan.

Malah, ia adalah wadah penting untuk menggalak lebih ramai masyarakat, bukan sahaja untuk membuat perancangan warisan bagi keluarga dan orang tersayang, malah memikirkan tentang keperluan masyarakat masa hadapan.

Justeru, daya usaha sedemikian, khususnya dalam meningkatkan kesedaran kepada masyarakat awam, akan terus dipertingkatkan agar lebih ramai dapat memahami alat-alat perancangan warisan yang sedia ada, termasuk Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

Demikian dikongsi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, di acara Perkampungan Legasi Wakaf Masyarakat Singapura pada 30 Ogos di Suntec Singapore.

Acara tersebut merupakan acara kemuncak bagi melabuh tirai Kempen Bulan Wakaf, yang dianjurkan buat julung-julung kalinya sempena pelancaran rasmi WMS pada 3 Ogos.

“Melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan badan-badan lain, kita dapat memberi masyarakat lebih banyak kesedaran tentang platform-platform perancangan warisan yang sedia ada.

“Kita juga mahu lebih ramai anggota masyarakat dan golongan asatizah sedar tentang platform-platform ini.

“Dengan lebih banyak kesedaran, kita dapat meninggalkan warisan buat generasi akan datang, menyokong masjid kita, madrasah kita, dan juga Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan datang,” kata Encik Zaqy.

Acara di Suntec itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat Islam mengenai peri penting perancangan harta pusaka, sambil menggalak masyarakat mewakafkan sebahagian harta mereka sebagai sedekah jariah.

Ia merupakan hasil kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan beberapa rakan kongsi utama seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) dan MyLegacy.

Ia juga melibatkan golongan pakar dalam industri seperti kumpulan guaman Islam, PEGUAM, dan Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC).

Rakan kongsi di Eldan Law LLP dan juga Pengerusi PEGUAM, Encik Imran Rahim (dua dari kiri), memberi pencerahan tentang usaha PEGUAM kepada para asatizah.
Rakan kongsi di Eldan Law LLP dan juga Pengerusi PEGUAM, Encik Imran Rahim (dua dari kiri), memberi pencerahan tentang usaha PEGUAM kepada para asatizah. -

Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin, berkata sambutan masyarakat terhadap Kempen Bulan Wakaf amat menggalakkan sejak WMS dilancarkan pada 3 Ogos.

“Sejak kita lancarkan pada 3 Ogos, hampir setiap hari ada sumbangan yang dimasukkan melalui laman web dan ada juga yang datang ke kaunter di Muis untuk menyumbang kepada WMS.

“Sejauh ini, sejak pelbagai inisiatif dilakukan, sudah lebih 1,000 peserta menyertai program-program yang dianjurkan sempena Kempen Bulan Wakaf. Ini amat menggalakkan,” kata Encik Shamsul Hadi.

Beliau menambah Muis amat menghargai sambutan dan juga maklum balas yang diberi oleh badan-badan dan juga anggota masyarakat, dan akan meneliti lebih lanjut bagaimana ia dapat meningkatkan lebih kesedaran kepada orang awam tentang perancangan warisan pada masa akan datang.

Semasa sesi tersebut, peserta berpeluang mempelajari pelbagai kaedah perancangan legasi Islam, seperti wasiat, penamaan CPF dan insurans serta meneroka cara-cara melaksanakan wakaf dan cara merancang harta lain termasuk membuat Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan Perancangan Penjagaan Awal (ACP).

Peserta juga dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang alat perancangan legasi yang boleh digunakan untuk sedekah jariah, termasuk dengan menyumbang kepada WMS.

Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Shamsul Hadi Jangarodin (kiri), memberi pencerahan tentang Perkampungan Legasi Wakaf Masyarakat Singapura kepada Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan).
Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Shamsul Hadi Jangarodin (kiri), memberi pencerahan tentang Perkampungan Legasi Wakaf Masyarakat Singapura kepada Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan). - Foto BH oleh ANWAR SALEH

WMS bertujuan mewujudkan sistem pendanaan yang mampan bagi melengkapi dana sedia ada seperti bayaran pajakan semula tanah bagi masjid-masjid dan madrasah-madrasah, serta program pembangunan asatizah masa depan.

Menurut Muis, sekurang-kurangnya $300 juta diperlukan untuk memperbaharui pajakan tanah masjid-masjid yang bakal luput secara berturut-turut dalam masa 30 hingga 50 tahun mendatang, yang tidak mampu dibiayai oleh dana semasa.

Ini juga merangkumi kos menampung pembinaan SCIS yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos.

Pada 24 Ogos, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, semasa menghadiri pelancaran Jejak Warisan Wakaf 2024, berkata WMS telah menerima sumbangan awam hampir $100,000 sejak ia dilancarkan secara rasmi pada 3 Ogos.

Bersama pelaburan dana masjid dan sumber sumbangan lain, termasuk ikrar dalam wasiat dan pencalonan, wakaf itu kini mempunyai korpus atau dana permulaan hampir $4 juta.

Ini merangkumi ikrar dan sumbangan yang dibuat oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Persekutuan India Muslim (FIM) di samping individu.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke WMS boleh membuat sumbangan menerusi laman wakaf.sg. Mereka diberi pilihan untuk membuat sumbangan secara langsung atau pada masa hadapan.

Sumbangan secara langsung kepada WMS boleh dilakukan secara tunai $10 hingga $1,000 sekali sahaja, secara bulanan atau tahunan menerusi laman tersebut, menurut Muis.

Bagi mereka yang ingin menyumbang kepada WMS pada masa hadapan, mereka boleh menamakan Muis atau WMS sebagai calon dalam penamaan CPF atau bayaran insurans mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg