Bengkel atau kursus berkaitan kewangan dan kekayaan sering kali meletakkan tumpuan terhadap pelaburan dan cara terbaik membina aset sedia ada.
Namun, kesedaran akan harta dan kekayaan yang tidak kekal dan yang bakal ditinggalkan setelah mereka meninggal dunia seharusnya menjadi pendorong bagi masyarakat Islam berfikir tentang cara terbaik memanfaatkan dan menggunakan kekayaan tersebut bagi tujuan yang lebih murni.
Demikian ditekankan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir semasa menyampaikan ucapannya di ‘Forum Faraid WMS: A Wasiat For Me’, anjuran Wakaf Masyarakat Islam (WMS) pada 30 Ogos di Suntec Singapore.
Menurut Mufti, Islam mengajar umatnya bahawa sebahagian kekayaan yang dimiliki perlu diagihkan kepada golongan yang memerlukan menerusi zakat dan sedekah, kerana ini merupakan cara memanfaatkan kekayaan kita demi kebaikan.
“Islam juga mempunyai konsep menarik tentang bagaimana kekayaan boleh membantu kita walaupun selepas kematian.
“Sama seperti konsep – biar wang ‘bekerja’ untuk kita dalam pelaburan – Nabi mengajar kita bahawa kita boleh terus mendapat pahala walaupun setelah meninggal dunia dengan membuat perancangan kekayaan dengan cara yang bertimbang rasa dan penuh belas kasihan, dengan memikirkan tentang kebajikan mereka yang ingin kita jaga,” jelas Mufti.
Lantaran itu, beliau menekankan pentingnya menjaga kebajikan ahli keluarga terdekat melalui perancangan wasiat, serta menyalurkan harta bagi membantu masyarakat Islam dengan mewakafkan sebahagian harta mereka sebagai sedekah jariah.
Forum faraid tersebut diadakan dalam bahasa Inggeris dan dihadiri lebih 400 peserta.
Ia turut menampilkan panel terdiri daripada pengasas syarikat guaman R.W. Law Practice, Advocate & Solicitor, Cik Rafidah Wahid; dan anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) Muis, Ustaz Haron Masagoes Hassan; serta ejen hartanah, Cik Nona Kirana, selaku hos dan moderator.
Semasa forum itu, Ustaz Haron menjelaskan bagaimana perancangan wasiat dilaksanakan pada zaman Nabi saw dan sahabat-sahabatnya.
Ustaz Haron turut menyentuh tentang hutang dengan mengemukakan salah satu salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.
“Seandainya seseorang meninggal dunia, adakah wajib bagi warisnya melangsaikan hutang arwah?”
Menjelaskan keadaan tersebut, Ustaz Haron berkata waris sebenarnya tidak wajib melangsaikan hutang arwah tetapi sekiranya mereka melakukan demikian, ia dianggap sebagai ihsan.
Oleh itu, penting untuk seseorang membuat perancangan sendiri melunaskan semua hutang semasa seseorang itu masih hidup menerusi perancangan wasiat supaya waris boleh membantu melangsaikan hutang menggunakan harta seseorang selepas beliau meninggal dunia, kata Ustaz Haron.
Semasa forum itu juga, Mufti telah melancarkan buku, ‘Fatwa Singapura, Jilid 2: Pewarisan dan Perancangan Estet’, yang kini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
‘Forum Faraid WMS: A Wasiat For Me’ menutup tirai Kempen Bulan Wakaf anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sempena pelancaran Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), yang diadakan sepanjang Ogos.
Forum tersebut dianjurkan bersama acara Perkampungan Legasi yang diadakan buat julung-julung kalinya di tempat dan hari yang sama dengan tujuan melengkapkan masyarakat Melayu/Islam dengan pengetahuan tentang perancangan legasi Islam.
Salah seorang peserta acara tersebut, Cik Husna Sallim, 22 tahun, berkongsi bagaimana forum tersebut penting buat golongan muda sepertinya.
Pelajar jurusan kejuruteraan bioperubatan daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu berkata:
“Forum ini meningkatkan kesedaran saya tentang kepentingan membuat perancangan harta pada usia muda lagi.
“Saya kini lebih sedar tentang alat-alat perancangan legasi islam yang ada di Singapura,” kata Cik Husna, yang juga telah mendapatkan buku, Fatwa Singapura, Jilid 2: Pewarisan dan Perancangan Estet, untuk mengetahui lanjut tentang fatwa-fatwa Singapura.
Sementara itu, seorang lagi peserta Cik Fazlina Abdul Hathi, 44 tahun, yang bertugas dalam industri penjagaan kesihatan, berkata:
“Saya memang merancang nak buat wasiat tapi menerusi forum ini, saya lebih yakin hendak mendekati syarikat guaman untuk berbincang tentang perancangan harta saya.”
Pelbagai inisiatif telah dilakukan sepanjang Bulan Wakaf yang dilancarkan Muis pada 3 Ogos lalu, dengan lebih 1,000 peserta menyertai program-program yang dianjurkan termasuk Jejak Warisan Wakaf.
WMS bertujuan mewujudkan sistem pendanaan yang mampan bagi melengkapi dana sedia ada seperti bayaran pajakan semula tanah bagi masjid dan madrasah, serta program pembangunan asatizah masa depan seperti Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Menurut Muis, sekurang-kurangnya $300 juta diperlukan untuk memperbaharui pajakan tanah masjid-masjid yang bakal luput secara berturut-turut dalam masa 30 hingga 50 tahun mendatang, yang tidak mampu dibiayai oleh dana semasa.
Ini juga merangkumi kos menampung pembinaan SCIS yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 18 Ogos.
Semasa menghadiri pelancaran Jejak Warisan Wakaf pada 24 Ogos, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, mendedahkan bahawa WMS telah menerima sumbangan tunai hampir $100,000 sejak ia dilancarkan secara rasmi pada 3 Ogos.
Jumlah ini telah meningkat kepada lebih $200,000. Bersama-sama dana yang diikrarkan menerusi wasiat dan pencalonan CPF dan insurans, terdapat lebih $4.13 juta dalam tabungan WMS sejauh ini.
“
“Sama seperti konsep – ‘biar wang ‘bekerja’ untuk kita dalam pelaburan’ – Nabi mengajar kita bahawa kita boleh terus mendapat pahala walaupun setelah meninggal dunia dengan membuat perancangan kekayaan dengan cara yang bertimbang rasa dan penuh belas kasihan, dengan memikirkan tentang kebajikan mereka yang ingin kita jaga.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg