Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apakah maksud pengiktirafan lebih luas terhadap Palestin bagi rakyatnya dan Israel?

Sep 22, 2025 | 6:38 PM
Ramai penduduk Palestin berpindah dari kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di Bandar Gaza pada 21 September.
Ramai penduduk Palestin berpindah dari kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di Bandar Gaza pada 21 September. - Foto EPA

Tiga negara, Britain, Canada dan Australia, telah mengiktiraf negara Palestin pada 21 September.

Negara lain dijangka mengikut jejak langkah itu minggu ini di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Apakah maksud pengiktirafan itu bagi rakyat Palestin dan Israel dan apakah status kenegaraan Palestin kini?

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengisytiharkan negara Palestin merdeka pada 1988, dan kebanyakan negara di ‘Global Selatan’ segera mengiktirafnya.

Hari ini, sekitar 150 dari 193 negara anggota PBB telah melakukannya.

Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat, telah lama menyatakan sokongan terhadap matlamat penubuhan negara Palestin, tetapi hanya selepas Palestin bersetuju dengan Israel mengenai penyelesaian dua negara.

Sehingga beberapa minggu lalu, kuasa besar Eropah berkongsi pendirian tersebut.

Namun, tiada rundingan sedemikian diadakan sejak 2014, dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, kini berkata negara Palestin tidak akan pernah diwujudkan.

Delegasi yang mewakili Negara Palestin mempunyai status pemerhati di PBB – tetapi tiada hak mengundi.

Tidak kira berapa banyak negara mengiktiraf kemerdekaan Palestin, keanggotaan penuh PBB memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan, dan Washington mempunyai hak veto.

Misi diplomatik Palestin di seluruh dunia dikawal oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang diiktiraf secara antarabangsa, yang mewakili rakyat Palestin.

PA, yang diketuai Presiden Encik Mahmoud Abbas, melaksanakan pentadbiran sendiri secara terhad di beberapa bahagian Tebing Barat yang diduduki Israel di bawah perjanjian dengan Israel.

PA mengeluarkan pasport Palestin dan menguruskan sistem kesihatan serta pendidikan Palestin.

Sementara itu, Jaluran Gaza pula diurus oleh kumpulan militan Hamas sejak 2007, selepas mereka menyingkirkan pergerakan Fatah pimpinan Encik Abbas dalam perang saudara yang singkat.

Kebanyakan kuasa besar – kecuali Amerika sejak Presiden Donald Trump, memindahkan kedutaannya ke Baitulmakdis – menempatkan misi diplomatik utama mereka di Tel Aviv kerana tidak mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Bagaimanapun, sekitar 40 negara mempunyai pejabat konsulat di Ramallah di Tebing Barat, atau di Baitulmakdis Timur – kawasan yang diilhakkan Israel namun tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa – dan yang diingini Palestin sebagai ibu kota mereka.

Negara itu termasuk China, Russia, Jepun, Jerman, Canada, Denmark, Mesir, Jordan, Tunisia dan Afrika Selatan.

Negara yang merancang untuk mengiktiraf negara Palestin belum menyatakan perbezaan yang akan berlaku terhadap perwakilan diplomatik mereka.

Apakah tujuan mengiktiraf negara Palestin?

Britain, Canada dan Australia mengiktiraf negara Palestin menjelang Perhimpunan Agung PBB pada September. Negara lain, termasuk Perancis dan Belgium, menyatakan mereka akan turut serta.

Britain berkata pengiktirafan negara Palestin bertujuan memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan serangan ke atas Gaza, menghentikan pembinaan penempatan Yahudi baru di Tebing Barat, dan kembali komited pada proses keamanan dengan Palestin.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, pemimpin kuasa besar Barat pertama yang menyokong pengiktirafan itu, berkata langkah tersebut akan disertai komitmen PA untuk melaksanakan pembaharuan, yang akan meningkatkan tadbir urus Palestin dan menjadikannya rakan yang lebih dipercayai untuk pentadbiran Gaza selepas perang.

Dengan pengiktirafan Britain dan Perancis, Palestin tidak lama lagi akan mendapat sokongan daripada empat daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

China dan Russia telah mengiktiraf Palestin pada 1988.

Ini sekali gus meninggalkan Amerika, sekutu terkuat Israel setakat ini, sebagai satu-satunya minoriti.

Washington telah mengiktiraf PA, yang kini diketuai oleh Encik Abbas, sejak penubuhannya pada pertengahan 1990-an.

Sejak itu, beberapa presiden telah menyatakan sokongan mereka terhadap penubuhan negara Palestin pada masa depan.

Namun, Encik Trump bukan salah seorang daripadanya. Di bawah dua pentadbirannya, dasar Amerika cenderung berat sebelah dan menyokong Israel.

Apakah maksud pengiktirafan ini selepas dilaksana?

Mereka yang menganggap pengiktirafan Palestin sebagai sekadar isyarat simbolik berpendapat ia mempunyai kesan praktikal yang terhad terhadap konflik Israel-Palestin.

Negara seperti China, India, Russia, dan banyak negara Arab telah mengiktiraf kemerdekaan Palestin beberapa dekad lalu.

Tanpa kerusi penuh di PBB atau kawalan ke atas sempadan sendiri, PA hanya mempunyai kemampuan terhad untuk menjalin hubungan dua hala.

Israel mengehadkan akses untuk barangan, pelaburan, pertukaran pendidikan atau budaya, serta ketiadaan lapangan terbang Palestin.

Tebing Barat hanya boleh dimasuki melalui Israel atau sempadan yang dikawal Israel dengan Jordan, dan Israel mengawal semua akses ke Jaluran Gaza.

Namun, negara yang merancang untuk mengiktiraf dan PA sendiri berkata ia lebih daripada sekadar simbol kosong.

Ketua misi Palestin di Britain, Encik Husam Zomlot, berkata, ia boleh membawa kepada perkongsian antara entiti secara seimbang.

Ia juga berkemungkinan memaksa negara lain menilai semula aspek hubungan mereka dengan Israel, kata mantan diplomat Britain di Baitulmakdis, Encik Vincent Fean.

Bagi Britain, ini mungkin termasuk pengharaman produk yang berasal dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, walaupun kesannya terhadap ekonomi Israel ialah minimum, katanya.

Bagaimana reaksi Israel dan Amerika?

Israel, yang menghadapi kecaman sejagat berhubung tindakannya dalam perang Gaza, mendakwa pengiktirafan itu memberi ganjaran kepada Hamas atas serangan ke atas Israel yang mencetuskan perang pada Oktober 2023.

“Negara Palestin tidak akan ditubuhkan di sebelah barat Sungai Jordan,” kata Encik Netanyahu.

Amerika menentang langkah pengiktirafan oleh sekutunya di Eropah.

Mereka telah mengenakan sekatan terhadap pegawai Palestin, termasuk menghalang Encik Abbas dan tokoh PA lain daripada menghadiri Perhimpunan Agung PBB dengan menolak dan membatalkan visa mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg