Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aplikasi baru tawar makanan tidak terjual pada harga diskaun

Oct 28, 2024 | 1:47 PM
Pelanggan boleh menggunakan aplikasi Yindii untuk membeli ‘beg kejutan’ yang mengandungi lebihan produk makanan daripada kafe seperti Paul, pada harga diskaun.
Pelanggan boleh menggunakan aplikasi Yindii untuk membeli ‘beg kejutan’ yang mengandungi lebihan produk makanan daripada kafe seperti Paul, pada harga diskaun. - Foto ST

Orang ramai yang berminat untuk membeli makanan yang tidak terjual daripada kedai makan pada harga diskaun sehingga 80 peratus, dan tidak membiarkannya terbuang, boleh memanfaatkan aplikasi telefon bimbit baru.

Aplikasi baru itu, Yindii, telah dilancarkan pada Ogos dan bertujuan meningkatkan usaha bagi mengurangkan sisa makanan daripada kedai makan.

Pelanggan yang menggunakan aplikasi itu boleh memesan ‘beg kejutan’ lebih awal dan mendapatkan pelbagai jenis makanan yang tidak terjual daripada menu pada penghujung hari, dengan potongan harga antara 50 peratus dengan 80 peratus daripada harga biasa, lapor The Straits Times (ST).

Aplikasi itu sudah pun menjalin kerjasama dengan restoran, kafe dan kedai roti popular, termasuk Paul, Baker & Cook dan SaladStop!

Pengasas bersama dan ketua pegawai pemasaran Yindii, Cik Mahima Rajangam Natarajan, berkata:

“Kami memilih untuk melancarkan (Yindii) di Singapura kerana ia adalah bandar yang berfikiran progresif dengan lebih tumpuan (diberi) kepada kemampanan dan pengurangan pembaziran makanan.”

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sisa makanan menyumbang kira-kira 11 peratus daripada jumlah sisa keseluruhan di Singapura pada 2023. 

Jumlah itu mencapai kira-kira 755,000 tan, di mana 623,000 tan dibuang dan selebihnya dikitar semula.

Pembaziran makanan adalah masalah yang semakin meningkat.

Dengan peningkatan inflasi, ia memberi tekanan kepada kededua pengguna dan perniagaan, kata Cik Mahima.

Beliau menambah bahawa orang ramai sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, justeru ia menjadikan idea membeli makanan pada harga diskaun lebih menarik.

Yindii merupakan salah satu daripada beberapa platform di Singapura yang bertujuan mengurangkan pembaziran makanan. Aplikasi lain termasuk Just Dabao dan Treatsure.

Pelanggan yang ingin membeli beg kejutan di Yindii boleh melayari aplikasinya untuk memilih daripada senarai kedai makan yang menawarkan lebihan makanan untuk dijual.

Kandungan beg kejutan itu berubah setiap hari, bergantung kepada apa yang tidak terjual pada penghujung hari.

Pelanggan kemudiannya boleh mengambil ‘beg’ mereka di kedai pada slot waktu yang dipilih selepas membuat pembayaran.

Aplikasi itu adalah percuma untuk kedua-dua peniaga dan pelanggan, dan Yindii mengambil komisen daripada setiap jualan yang berjaya.

Cik Mahima berkata Yindii telah membantu peniaga rakan kongsi menjual sehingga 80 peratus daripada lebihan makanan harian mereka sejak aplikasi tersebut dilancarkan.

Kafe Paul berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Yindii adalah “langkah pertama meneroka alternatif untuk mempromosikan dan mengurangkan pembaziran”.

Oleh kerana aplikasi itu masih baru di Singapura, permulaannya agak perlahan, namun minat terhadap beg kejutan tersebut telah meningkat di pelbagai lokasi, dengan beberapa kedai mengalami peningkatan kira-kira 10 peratus, tambah kafe itu.

Beberapa pelanggan yang mengambil beg kejutan mereka di cawangan Paul di Paragon pada 20 September adalah pengguna Yindii kali pertama.

Sebuah beg yang dibeli ST pada harga $15 mengandungi enam produk – roti perancis, pastri epal, eclair, dua tart, croissant badam coklat dan roti brioche.

Makanan itu secara keseluruhan berharga kira-kira $50 pada harga biasa.

Dengan menggunakan aplikasi Yindii, pelanggan bukan sahaja dapat menikmati makanan yang lazat pada harga diskaun, mereka juga membantu mengurangkan sisa makanan di Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg