Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aplikasi ScamShield kini boleh kesan ancaman tipu di WhatsApp, Telegram

Aug 22, 2024 | 6:30 PM
Aplikasi ScamShield akan menunjukkan warna merah jikalau mesej, nombor telefon atau laman web mempunyai unsur penipuan.
Aplikasi ScamShield akan menunjukkan warna merah jikalau mesej, nombor telefon atau laman web mempunyai unsur penipuan. - Foto ST

Pemerintah mengumumkan pelancaran semula versi aplikasi ScamShield yang dipertingkat.

Kini, ia mampu mengenal pasti dan memaklumkan pengguna tentang potensi ancaman penipuan di WhatsApp, Telegram dan laman web.

Kemas kini itu menawarkan lapisan perlindungan tambahan berbanding versi sebelum ini, yang hanya meliputi panggilan dan SMS.

Peningkatan itu berlaku pada waktu penting, memandangkan penipuan dalam talian sedang melonjak.

Menurut satu kenyataan SPF di taklimat jenayah pertengahan tahun pada 20 Ogos, bilangan kes penipuan yang mana penipu menghubungi mangsa melalui wadah khidmat pesanan meningkat kepada 8,336 daripada 6,555 dalam tempoh sama pada 2023.

WhatsApp mencatatkan 4,186 kes penipuan dengan jumlah kerugian $74.8 juta, manakala Telegram mencatatkan 3,755 kes penipuan dengan jumlah kerugian $28.2 juta. 

ScamShield – yang dibangunkan Produk Pemerintah Terbuka (OGP) yang bekerjasama dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) – kini membolehkan pengguna memuat naik tangkapan skrin mesej, mengenal pasti kemungkinan penipuan dan membezakan antara pelbagai jenis penipuan.

Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata aplikasi ScamShield yang dipertingkat ialah salah satu daripada pelbagai cara pemerintah dalam terus memperkukuh langkah dalam melindungi penduduk Singapura daripada penipuan.

“Apabila penipu mengembangkan taktik mereka, kami perlu mengemas kini tindak balas kami.

“Aplikasi ScamShield yang dipertingkat telah direka bentuk untuk terus mendahului ancaman ini, memberikan rakyat Singapura cara lebih baik untuk melindungi diri mereka daripada penipuan,” tambah Cik Sun yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Antara Kementerian bagi penipuan.

Aplikasi ScamShield terbaru akan memperkenalkan ciri ‘Semak Penipuan’.

Pengguna kini boleh mengesahkan kesahihan mesej yang mencurigakan, nombor telefon dan pautan laman web yang diterima melalui WhatsApp, Telegram, SMS, panggilan telefon dan saluran lain dengan lebih mudah.

Mereka hanya perlu memuat naik tangkap skrin atau menyerahkan maklumat yang mencurigakan secara manual.

ScamShield akan menganalisis kandungan dan memaklumkan pengguna dengan segera sama ada mesej, nombor telefon atau laman web itu mempunyai unsur penipuan atau tidak.

Jika nombor itu berpotensi menipu, ScamShield akan memberi amaran kepada pengguna agar tidak berkongsi maklumat sensitif, seperti butiran akaun bank atau kata laluan sekali guna (OTP) dengan nombor tersebut.

Nombor tersebut kemudian akan disertakan ke senarai sekat ScamShield.

Di samping itu, ScamShield juga akan mempertingkatkan ketepatan dalam mengesahkan penipuan.

Pengelas mesin ScamShield kini boleh membezakan antara pelbagai jenis penipuan seperti penipuan pekerjaan dan pancingan data.

Pengguna boleh melihat sama ada mesej atau panggilan yang mencurigakan yang mereka terima berada dalam kategori penipuan yang mana.

Sejak ia dilancarkan pada 20 November 2020, aplikasi ScamShield telah dimuat naik oleh lebih 950,000 pengguna dan menyekat lebih 178,000 entiti yang dikatakan digunakan untuk panggilan penipuan dan SMS.

Pemerintah dengan kerjasama NCPC dan OGP ingin menjadikan aplikasi itu sebagai satu jenama yang membolehkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan penipuan.

Aplikasi tersebut akan terus berkembang dengan menjadi rangkaian produk antipenipuan, termasuk satu laman web baru, talian bantuan antipenipuan (1799), serta saluran sosial di WhatsApp dan Telegram.

Maklumat lanjut mengenai perancangan terbaru ScamShield akan diumumkan di suku ketiga 2024.

Pengguna yang sudah memuat naik aplikasi ScamShield yang terdahulu hanya perlu mengemas kini aplikasi mereka untuk mendapatkan ciri terkini aplikasi itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg