Aplikasi SimplyGo yang baru diubah suai telah dilancarkan pada 6 September.
Aplikasi tersebut membolehkan pengguna menambah nilai dan mengaktifkan fungsi menyekat kad EZ-Link lama dengan hanya menggunakan telefon bimbit mereka.
Ciri baru lain termasuk akses kepada dompet digital EZ-Link untuk pembayaran tanpa sentuh di dalam kedai dan dalam talian.
Fungsi perkhidmatan EZ-Link Motoring pula membolehkan pemandu membuat Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) dan caj tempat letak kereta mereka melalui kad Mastercard atau Visa keluaran tempatan.
Penggabungan semua fungsi yang tersedia pada aplikasi EZ-Link dan TransitLink SimplyGo ke dalam satu aplikasi tunggal berlaku lima hari selepas TransitLink dan EZ-Link digabungkan menjadi satu entiti pada 1 September, lapor The Straits Times (ST).
Untuk menambah nilai kad EZ-Link yang lebih lama pada aplikasi SimplyGo, pengguna perlu menghidupkan fungsi Komunikasi Medan Dekat (NFC) pada telefon mudah alih mereka sebelum menyentuh kad EZ-Link fizikal mereka pada peranti mudah alih itu.
Pengguna juga boleh mengaktifkan ciri tambah nilai automatik untuk kad EZ-Link lama mereka pada aplikasi yang dirombak, yang mengaktifkan pembayaran secara automatik sebaik sahaja baki pada kad perjalanan mereka mencecah $3 apabila keluar dari mana-mana gantri kereta api atau bas.
Mereka yang tersalah letak atau kehilangan kad EZ-Link lama boleh menggunakan fungsi menyekat kad pada aplikasi SimplyGo baru itu yang akan mengambil masa sehingga 48 jam.
Mulai 7 September, pelajar yang mempunyai kad konsesi atau kad pintar sekolah boleh menukarnya kepada kad konsesi SimplyGo, menjadikannya lebih mudah untuk ibu bapa menambah nilai kad dari jauh melalui aplikasi SimplyGo, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 6 September.
Pelajar boleh menukar kad pintar sekolah mereka di mesin tiket terpilih di semua stesen MRT dan pusat pertukaran bas.
SimplyGo berkata dalam satu kenyataan pada 6 September bahawa rombakan aplikasi itu sebahagian usaha berterusannya untuk menyatukan semua perkhidmatan tiket transit dan yang berkaitan kad perjalanan menjadi titik sentuh sehenti bagi penumpang.
Pengguna aplikasi EZ-Link sedia ada tidak perlu mendaftar semula kad perjalanan mereka pada aplikasi SimplyGo yang dinaik taraf.
Ini kerana mereka boleh memasukkan nombor telefon bimbit yang mereka daftarkan sebelum ini pada aplikasi EZ-Link untuk menyelaraskan akaun mereka secara automatik bagi merangkumi kedua-dua aplikasi itu.
Pengguna juga boleh terus mengakses aplikasi EZ-Link sedia ada, tetapi digalak untuk beralih kepada aplikasi SimplyGo yang dinaik taraf untuk menikmati senarai penuh perkhidmatan bersepadu, kata SimplyGo.
SimplyGo juga menyatakan bahawa aplikasi baru itu akan mempunyai ciri keselamatan lebih baik kerana pendaftaran akaun hanya akan dibenarkan untuk nombor telefon bimbit tempatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg