Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Ciri SimplyGo akan ditambah baik, pengalaman pengguna akan dipertingkat: Hong Tat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ciri SimplyGo akan ditambah baik, pengalaman pengguna akan dipertingkat: Hong Tat

Feb 05, 2024 | 07:35 PM



Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah ditugaskan untuk menambah baik ciri dan pengalaman pengguna SimplyGo, serta mencari cara untuk mengatasi cabaran teknikal agar ia boleh memaparkan potongan tambang serta baki kad di pintu tambang dan pembaca kad bas tanpa memperlahankan perjalanan penumpang. 

Melangkah ke hadapan, matlamat utama untuk mempertingkatkan ciri dan pengalaman pengguna SimplyGo adalah supaya ia akhirnya dapat digunakan bagi keperluan seperti runcit, permotoran serta pengangkutan awam.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dalam respons beliau kepada lebih 20 soalan Parlimen mengenai keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menangguhkan pelancaran SimplyGo dan kos yang terlibat.

Encik Chee berkata, beliau memahami akan kebimbangan penumpang selepas pengumuman untuk beralih ke sistem SimplyGo disambut dengan reaksi pelbagai daripada penumpang.

Beliau menambah LTA telah “meremehkan keutamaan sesetengah penumpang yang ingin terus melihat potongan tambang dan baki kad mereka serta-merta di pintu tambang dan pembaca kad bas”.

“Selepas mendengar maklum balas daripada penumpang, kami memahami kebimbangan mereka dan menghormati pilihan mereka,” tambahnya.

LTA pada 9 Januari lalu berkata bermula 1 Jun 2024, semua kad EZ-Link dewasa dan NETS FlashPay tidak lagi boleh digunakan untuk membayar tambang bas dan MRT.

Penumpang yang menggunakan kad-kad tersebut perlu menaik taraf kad mereka kepada kad EZ-Link SimplyGo atau menukar kepada Kad Prabayar NETS.

Bagaimanapun, ramai penumpang menyuarakan rasa tidak senang terhadap perubahan itu dan berikutan maklum balas yang diterima pihak berkuasa pada 22 Januari berkata mereka akan menghentikan peralihan yang dirancang.

Sehubungan itu, Encik Chee menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan keputusan awal untuk menggantikan sistem tiket berasaskan kad (CBT) lama dibuat agar penumpang mempunyai pilihan.

“Mereka yang mendapati SimplyGo berguna boleh beralih kepada sistem ABT (penjualan tiket berasaskan akaun), tetapi mereka yang ingin mengekalkan kad CBT semasa mereka boleh terus berbuat demikian.

“Penumpang mempunyai pilihan dan boleh memutuskan menggunakan sistem yang mereka suka,” katanya.

Dalam membuat keputusan ini, Encik Chee berkata pihak berkuasa tidak akan dapat mengelakkan anggaran kos sebanyak $40 juta untuk mengekalkan sistem CBT bagi kad EZ-Link dewasa sehingga sekurang-kurangnya tahun 2030.

Meskipun sistem untuk kad konsesi masih dapat diteruskan, sistem untuk kad EZ-Link dewasa dijangka mencapai penghujung hayat operasinya pada 2024.

Encik Chee berkata LTA perlukan wang untuk mendapatkan “perkakasan dan peralatan baru” bagi membolehkan sistem itu digunakan sehingga 2030.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa anggaran kos tersebut akan “ditanggung oleh pemerintah” dan “tidak akan menjejaskan tambang pengangkutan awam”. 

LTA kini mengendalikan tiga sistem: SimplyGo, yang merupakan sistem ABT, satu sistem CBT untuk kad EZ-Link dewasa dan kad NETS FlashPay, dan satu sistem CBT untuk kad konsesi. Kedua-dua sistem CBT telah dibangunkan pada masa yang berbeza.

LTA juga akan meninjau cara untuk menyepadukan kedua-dua sistem CBT ini secara progresif dari semasa ke semasa tanpa menyusahkan penumpang supaya pemerintah boleh berusaha ke arah, jika mampu, mencapai satu sistem CBT pada masa hadapan, tambah Encik Chee.

Akur akan kebimbangan yang dibangkitkan bahawa SimplyGo pada masa ini tidak dapat digunakan untuk pembayaran permotoran, Encik Chee menegaskan bahawa “rancangannya tidak berhenti di sini”.

“Buat masa ini, sistem SimplyGo memang tidak boleh digunakan untuk permotoran.

“Tetapi kami mahu berusaha ke arah meningkatkan ciri dan pengalaman pengguna untuk SimplyGo supaya dari masa ke masa, sama seperti kad EZ-Link yang boleh digunakan untuk runcit, permotoran dan pengangkutan awam, kami juga ingin berusaha ke arah SimplyGo untuk dapat digunakan untuk perkara yang sama.

“Namun begitu, proses itu akan mengambil sedikit masa. Dan itulah sebabnya kita perlu melanjutkan sistem CBT untuk penumpang dewasa pada masa ini,” kata beliau.

Encik Chee berkata bahawa tiada keperluan untuk membuat sebarang keputusan sekarang bagi melanjutkan sistem ini selepas 2030.

Bagaimanapun, beliau berkata pemerintah akan “berunding secara meluas” untuk memahami keperluan kumpulan penumpang yang berbeza dan menilai dengan teliti kos dan faedah dalam merancang dan melaksanakan langkah seterusnya.

Beliau berkata: “MOT dan LTA akan terus membelanjakan dana awam secara berhemat dan di mana kami boleh menjimatkan wang, kami akan cuba mengurangkan kos sebanyak mungkin, tetapi di mana perlu untuk berbelanja, kami akan berbuat demikian.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >