Masjid Ar-Raudhah bukan sahaja menganjurkan program Raudhatul Quran 5M (Membaca, Menulis, Menghafal, Memahami dan Menghayati Al-Quran), malah turut menawarkan pelbagai kursus Pengajian Tinggi Separuh Masa yang berperanan memperkukuh ilmu agama, memperteguh akidah, serta memperindah akhlak dalam kalangan masyarakat.
Penyertaan kursus ini dibuka kepada golongan belia, orang dewasa dan warga emas yang berminat meningkatkan ilmu pengetahuan agama, bersumberkan Al-Quran dan sunah.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, terdapat beberapa kursus pembelajaran yang ditawarkan oleh Masjid Ar-Raudhah dalam usaha membangunkan masyarakat Islam yang lebih bermutu.
Antaranya, Masjid Ar-Raudhah menawarkan Sijil Asas Pengajian Islam Ar-Raudhah (SAPIA), yang menyediakan modul pembelajaran asas seperti Aqidah, Fiqh Thoharah, Fiqh Ibadah, Hadith, Tafsir dan Sirah Nabawiyyah untuk memenuhi keperluan mereka yang tidak berpeluang melalui pembelajaran secara formal. Program ini menekankan aspek kefahaman dan penghayatan agama yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian.
“Dengan mengikuti program ini, peserta dapat mengetahui dasar agama secara menyeluruh dan memahami ajaran agama Islam dengan lebih jelas bagi membolehkan pembelajaran agama tersebut diamalkan sebaiknya,” jelas Encik Zuraimi.
Program yang diadakan secara bermodul selama setahun ini juga termasuk pembelajaran seminggu sekali selama dua jam. Setiap modul mengambil masa enam minggu sahaja untuk diselesaikan.
Di samping menawarkan pengajian yang teras seperti pengajian Tafsir, Hadis, Fiqh, Sijil Pengajian Islam, Ar-Raudhah (SPIA) pula menawarkan beberapa pengajian yang mempunyai aspek aplikasi dan kefahaman berdasarkan keadaan dan kehidupan semasa seperti Tasawwur Islam, Sejarah Tamadun Islam dan Sejarah Pendidikan Islam.
Pengajian ini sesuai untuk peserta yang sudah mengikuti pengajian fardu ain peringkat asas di pelbagai institusi pengajian Islam separuh masa. Pembelajaran secara bermodul ini mengambil masa kira-kira tujuh sesi pengajian, yang melibatkan pembelajaran selama tiga jam dalam seminggu selama dua tahun.
Program Diploma pengajian Islam Ar-Raudhah (DPIA) pula selama tiga tahun merupakan lanjutan daripada SPIA. Peserta daripada program diploma ini berkelayakan meneruskan pengajian Islam ke peringkat Sarjana Muda selepas tamat dan lulus semua modul yang ditawarkan.
Masjid Ar-Raudhah menggalakkan umat Islam, khususnya belia, mempelajari ilmu asas agama bagi memperkukuh pendidikan Islam dan penghayatan agama, sekali gus mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia moden.
“Kami sangat mengalu-alukan penglibatan pelajar supaya bersama-sama meraikan ilmu asas pendidikan agama. Dengan berteraskan asas kefahaman dan pengetahuan agama, ia dapat melindungi masyarakat Islam daripada cabaran-cabaran kehidupan dunia tanpa sempadan.
“Oleh itu, kami amat menggalakkan penyertaan masyarakat Islam, khususnya golongan belia, yang ingin mendalami ilmu sepanjang hayat ini sebagai langkah penting dalam memperbaiki asas pendidikan Islam dan meningkatkan penghayatan agama pada hari ini,” tambah Encik Zuraimi.
SEKILAS:
Sumbangan untuk Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah boleh dilakukan melalui:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ pada ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank kepada dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah. Kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg