Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ar-Raudhah eratkan silaturahim sempena Hari Keharmonian Kaum

Pupuk ukhuwah rentasi etnik bagi hargai kepelbagaian warga di Singapura
Aug 9, 2025 | 5:30 AM
Kakitangan dan sukarelawan Masjid Ar-Raudhah bergambar bersama dengan pihak berkepentingan serta tetamu jemputan sempena acara Hari Keharmonian Kaum,yang berlangsung pada 23 Julai 2025.
Kakitangan dan sukarelawan Masjid Ar-Raudhah bergambar bersama dengan pihak berkepentingan serta tetamu jemputan sempena acara Hari Keharmonian Kaum,yang berlangsung pada 23 Julai 2025. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Berpegang teguh pada prinsip memperkukuh kemesraan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk, Masjid Ar-Raudhah menganjurkan acara, Sarapan Perpaduan Kaum, pada 23 Julai 2025 sempena Hari Keharmonian Kaum.

Program itu bertujuan mempererat hubungan antara pelbagai kaum dan agama di kawasan setempat, di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, menyatakan bahawa Hari Keharmonian Kaum adalah kesempatan untuk mengeratkan silaturahim antara warga Islam dengan masyarakat bukan Islam di Singapura.

“Hari Keharmonian Kaum ini adalah peluang kita memperkukuh ukhuwah, bukan sahaja sesama Islam, malah dengan masyarakat bukan Islam di negara ini,” jelas Encik Zuraimi.

Pelbagai masyarakat turut serta

Seramai 50 peserta hadir, terdiri daripada wakil pelbagai kelab masyarakat dan masyarakat setempat, antaranya:

– Kelab Masyarakat Bukit Batok

– Kelab Masyarakat Bukit Batok East

– Kelab Masyarakat Hillview

– Kelab Masyarakat Hong Kah North

– Wakil masyarakat perumahan Regent Heights

– Wakil Bukit Batok Presbyterian Church

– Wakil Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC)

– Wakil Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY)

Program itu turut dimeriahkan dengan reruai berbilang bangsa yang didirikan oleh guru-guru tadika yang mempamerkan kepelbagaian budaya masyarakat Singapura.

Salah satu acara kemuncak ialah perarakan fesyen oleh murid-murid tadika, menampilkan pakaian tradisional pelbagai kaum.

“Ajaran Islam menekankan kepentingan membina hubungan yang berteraskan keadilan, keharmonian dan takwa bukan atas dasar bangsa, bahasa, warna kulit atau keturunan.

“Hal ini telah ditunjukkan dengan begitu indah ketika peristiwa Hijrah Nabi Muhammad saw ke Madinah, di mana Baginda menyatukan ukhuwah antara golongan Muhajirin dengan Ansar meskipun mereka berbeza latar belakang.

“Baginda juga melindungi hak semua penduduknya, termasuk golongan bukan Islam yang terdiri daripada pelbagai suku dan etnik.

“Komitmen terhadap keterangkuman kaum, agama dan sosial ini mengingatkan kita akan nilai-nilai Islam yang abadi tentang kesamarataan dan hidup aman damai bersama.

“Hari Keharmonian Kaum mengingatkan kita betapa pentingnya membina hubungan yang kukuh merentasi perbezaan. Walaupun kita datang daripada latar yang berbeza, kita berkongsi harapan yang sama, iaitu mahu hidup dalam keharmonian dan kebaikan,” kata Encik Zuraimi dengan positif.

Sambutan Majlis Memperingati Hari Kebangsaan (NDO) di Kebun Bunga Singapura

Selain itu, sambutan NDO turut diadakan bersama murid-murid tadika dan waris mereka di Kebun Bunga Singapura pada 7 Ogos.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Hari Kebangsaan secara beramai-ramai, kemudian diikuti pembacaan ikrar sebagai tanda cinta kepada tanah air.

Bagi memeriahkan suasana, turut diadakan sesi senaman bersama, permainan interaktif untuk murid-murid bersama waris dan juga sesi berkelah dan makan bersama.

“Program seperti ini mendidik generasi muda tentang erti perpaduan, sambil mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum.

“Apabila kita mengenali budaya antara satu sama lain, kita akan lebih memahami dan menghargai perbezaan yang wujud.

“Matlamat kami adalah memastikan Masjid Ar-Raudhah menjadi pusat yang bukan sahaja mendidik masyarakat Islam, malah menghubungkan semua lapisan masyarakat dengan nilai keharmonian.

“Apa yang penting, keharmonian kaum adalah asas kekuatan negara kita.

“Ia bermula daripada usaha kecil seperti ini di peringkat masyarakat,” tambah Encik Zuraimi.

SEKILAS:

Sumbangan untuk Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ pada ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp transaksi ke talian 9461-4306.

2.Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg