Tahun baru Islam bukan sekadar peralihan angka dalam kalendar Hijrah.
Ia membawa makna lebih mendalam, satu peluang muhasabah, memperbaharui niat, memperbaiki ibadah harian dan membina kehidupan yang lebih bermakna.
Dalam menghayati semangat hijrah Rasulullah saw dari Makkah ke Madinah, tersirat satu nilai yang sangat besar iaitu ‘sifat memberi’.
Nilai sifat memberi sangat menonjol dalam peristiwa hijrah Nabi Muhammad saw dan kehidupan Baginda selepas berhijrah ke Madinah.
Ia bukan sekadar memberi dalam bentuk harta, bahkan pengorbanan, empati, dan meletakkan kepentingan orang lain di hadapan diri sendiri.
Selepas Nabi saw dan para sahabat berhijrah ke Madinah, kaum Muhajirin (yang datang dari Makkah) tidak membawa banyak harta, bahkan ada yang sehelai sepinggang.
Dalam keadaan sebegitu, kaum Ansar (penduduk asal Madinah) menunjukkan contoh agung sifat memberi:
“Dan mereka (orang Ansar) mengutamakan (orang Muhajirin), sekalipun mereka dalam kesusahan.” (Surah al-Hasyr: 9)
Mereka bukan hanya memberikan tempat tinggal dan makanan, malah ada menawarkan separuh harta dan perniagaan mereka kepada saudara Islam yang baru tiba.
Memberi bukan hanya tentang harta. Ia juga merangkumi masa, tenaga, ilmu, senyuman, bahkan doa yang tulus. Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Al-Tabarani)
Dalam konteks masyarakat moden, kita berdepan dengan cabaran individualisme – setiap orang berlumba-lumba mengejar kepentingan diri.
Namun, sifat memberi ini, mampu menjadi penawar yang menyatukan kembali hati yang terpisah, membina jambatan antara golongan berbeza dan mewujudkan jaringan sokongan dalam masyarakat.
Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah saw apabila berhijrah ke Madinah ialah memulakan pembinaan Masjid Nabawi, bersama para sahabat.
Ini adalah contoh sumbangan tenaga dan masa demi kepentingan umat.
Di Madinah juga, Nabi saw menggalakkan umat Islam berinfak, membantu fakir miskin, anak yatim dan orang yang dalam kesulitan.
Ayat-ayat Al-Quran yang turun ketika itu banyak menyeru umat Islam supaya mengutamakan sifat memberi, sebagai tanda iman sejati.
Ini menunjukkan tentang kepentingan sifat memberi dalam identiti seorang Muslim.
Rasulullah saw mewujudkan konsep ‘ukhuwah’ (persaudaraan) antara Muhajirin dengan Ansar.
Ini bukan sekadar hubungan simbolik, bahkan satu bentuk ikatan sosial yang mengajak agar saling memberi dan saling menanggung beban.
Ia menjadi asas kepada kestabilan masyarakat Madinah yang pelbagai latar belakang
Tahun baru Islam ini seharusnya menjadi titik mula untuk setiap individu bertanya kepada diri: Apakah sumbangan saya kepada masyarakat? Apakah saya telah beri dengan ikhlas, walaupun sedikit? Apakah saya memberi untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain?
Ramai yang menyangka hanya orang berharta mampu memberi. Namun, Islam tidak menilai jumlah pemberian, sebaliknya melihat pada keikhlasan.
Sepinggan makanan untuk jiran, pertolongan kepada pelajar memerlukan, atau ziarah orang sakit, dan semua itu adalah bentuk pemberian yang besar maknanya di sisi Allah swt.
Sebagaimana sabda Nabi saw:
“Janganlah kamu meremehkan sedikit pun kebaikan, walaupun hanya sekadar menemui saudaramu dengan wajah yang ceria.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, bahkan perubahan sikap dan tindakan.
Dalam semangat Hijrah, kita diajak meninggalkan sifat lama yang mementingkan diri, dan melangkah kepada kehidupan lebih positif dan progresif.
Sifat memberi ini adalah sifat yang murni di sisi agama.
Ia bukan sahaja dilihat sebagai melakukan satu kebaikan dari segi agama namun kesan positif dapat dilihat daripada wajah penerima, menunjukkan kegembiraan dan kesyukuran atas pemberian.
Pada 6 Julai 2025, Masjid Ar-Raudhah mengambil daya usaha untuk berkongsi rahmah dengan masyarakat khusus penduduk Bukit Batok dengan mengagihkan bubur Asyura selepas solat asar di masjid itu.
Kami berasa dengan berkongsi rezeki kepada jemaah dapat mengeratkan silaturahim dan menggalakkan umat Islam agar menghidupkan sunah Nabi saw untuk berpuasa pada hari Asyura seperti yang dianjurkan.
Baginda pernah ditanya tentang puasa pada hari Asyura. Maka baginda menjawab:
“Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ayuh kita bayangkan, jika setiap orang menjadikan azam tahun baru Islam ini untuk memberi – dengan apa jua cara yang termampu – pasti akan tercetus gelombang kebaikan dalam masyarakat.
Anak muda lebih empati, para pemimpin lebih prihatin, jiran lebih mesra dan negara lebih sejahtera.
Pada awal tahun baru ini, marilah kita tanamkan tekad untuk menjadi cahaya kepada orang lain.
Sifat memberi bukan sahaja mencerminkan akhlak Islam, malah menyucikan jiwa dan mendekatkan kita kepada reda Allah swt.
Semoga semangat hijrah kali ini menyemarakkan budaya memberi dalam setiap jiwa, hati dan memberi dengan ikhlas kerana mencari keredaan Tuhan, tanpa mengharapkan balasan daripada insan.
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan dikirimkan ke masjid di alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
Penulis merupakan Pegawai Dakwah di Masjid Ar-Raudhah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg