Masjid bukan sekadar rumah ibadah, malah pusat ilmu, kasih sayang dan ukhuwah bagi masyarakat.
Masjid Ar-Raudhah terus memainkan peranan penting dalam menyuburkan semangat itu melalui pelbagai program yang mendidik, menyantuni masyarakat serta mengeratkan silaturahim.
Pada masa yang sama, usaha giat dijalankan bagi menyokong Dana Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah, yang masih memerlukan tambahan dana sebanyak $3 juta untuk menampung kos prasarana.
Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, menjelaskan bahawa dana itu amat penting bagi memastikan masjid bukan sahaja selesa untuk beribadah, bahkan berfungsi sebagai pusat masyarakat yang berdaya saing, progresif, relevan dengan keperluan masyarakat masa kini serta mampu menghidupkan nilai ukhuwah dan kebersamaan.
“Matlamat kami ialah membina sebuah masjid yang kondusif, memberi ketenangan hati untuk beribadah, selesa dan mesra jemaah, menjadi penghubung persaudaraan, selain menyuntik semangat ummah,” kata Encik Zuraimi.
Sebagai sebahagian daripada usaha murni itu, masyarakat diundang menyertai Forum Keluarga Bahagia, yang bakal menampilkan panelis jemputan dari Malaysia, Ustaz Profesor Dr Farid Ravi, bersama Pegawai Dakwah Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Md Fahmi Md Noh, selaku moderator.
Forum penuh manfaat itu berlangsung pada Jumaat, 26 September dari 8.30 malam hingga 10 malam di Masjid Ar-Raudhah.
Dalam sesi ini, hadirin berpeluang menimba panduan berharga untuk memperkukuh institusi kekeluargaan, antaranya:
– Mengekalkan suasana kasih sayang dan saling menghormati dalam rumah tangga.
– Menyelesaikan perselisihan dengan penuh hikmah.
– Mendidik anak-anak dengan nilai dan akhlak Islam.
– Menjadikan rumah sebagai tempat rehat jiwa dan sumber kekuatan jasmani.
Tidak terhenti di situ, Masjid Ar-Raudhah akan meneruskan program ilmu dengan Siri 2: Halaqah Cinta Al-Qur’an – Surah Yusuf.
Program itu akan dibimbing oleh Ketua Pegawai Dakwah Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Ahmad Syarif Senewi, pada Ahad, 5 Oktober 2025, dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Halaqah itu akan membawa peserta menyelami keindahan kisah Nabi Yusuf as, memahami hikmah Al-Quran serta mengambil teladan daripadanya untuk dijadikan panduan dalam kehidupan harian.
Dengan ruang yang terhad, jemaah digalakkan mendaftar awal bagi memastikan penyertaan.
Usaha mengumpul dana turut diteruskan melalui penerbitan buku berjudul, Amalan Ibadah Seharian Wanita, karya Ustazah Siti Aminah Sulieman yang dijual pada harga $30 senaskhah.
Buku itu menawarkan panduan lengkap dan praktikal buat Muslimah yang mendambakan kehidupan solehah, merangkumi aspek ibadah, akhlak dan amalan harian.
Setiap pembelian buku bukan sahaja menambah ilmu, malah turut menjadi sebahagian daripada wakaf untuk Dana Peningkatan Masjid Ar-Raudhah.
Dengan gabungan forum kekeluargaan, halaqah Al-Quran, daya usaha ilmu serta wakaf, Masjid Ar-Raudhah berhasrat menjadikan setiap langkah masyarakat ke arah pembangunan masjid sebagai pelaburan ukhrawi.
Semoga usaha itu mempererat silaturahim, menyemarakkan kasih sayang dan mengukuhkan asas kehidupan beragama yang penuh rahmat.
“Masjid ini milik kita bersama. Setiap sumbangan, sama ada besar ataupun kecil, adalah cahaya yang akan terus menyinari perjalanan generasi akan datang.
“Kami berharap masyarakat terus berganding bahu, kerana dengan kasih sayang, doa dan sokongan, insya-Allah, Masjid Ar-Raudhah akan terus menjadi mercu tanda ukhuwah dan kekuatan ummah,” tambah Encik Zuraimi.
SEKILAS: Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan kirimkan kepada masjid di alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg