Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah meluluskan permohonan Masjid Ar-Raudhah untuk menganjurkan kutipan derma Tabung Jumaat pada 12 September 2025, yang akan dilaksanakan di masjid seluruh negara.
Menurut Pengerusi Eksekutif, Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, kutipan derma itu bertujuan menyokong Dana Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah, yang masih memerlukan tambahan dana $3 juta bagi menampung kos prasarana.
Kemudahan baru dijangka bukan sahaja menambah nilai kepada pengalaman beribadah, malah turut memperkukuh peranan masjid sebagai pusat masyarakat yang aktif, terangkum, dan berdaya saing.
Ia juga akan menyediakan ruang lebih kondusif untuk pelbagai program keagamaan, pendidikan, serta sosial, sekali gus mempererat ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat di sini.
Sebagai persiapan bagi kutipan derma Tabung Jumaat ini, pihak masjid telah menyiapkan 150 tabung yang akan diedarkan di masjid-masjid.
Usaha itu digerakkan dengan kerjasama erat relawan Muslimah dan pegawai masjid, manakala lebih 100 sukarelawan telah mendaftar untuk membantu menjayakan kutipan derma ini.
Mereka akan ditempatkan di pelbagai masjid di seluruh Singapura demi memastikan kelancaran proses.
Encik Zuraimi menekankan bahawa kutipan derma itu bukan sahaja penting dari segi kewangan, malah membawa nilai kerohanian yang mendalam.
“Kutipan derma ini bukan sekadar memenuhi keperluan dana projek, malah ia merupakan peluang masyarakat melaksanakan amal jariah yang pahalanya berpanjangan.
“Dengan sokongan padu masyarakat, insya-Allah sasaran kutipan derma akan dapat dicapai,” ujarnya.
Beliau berharap, masyarakat Islam akan bermurah hati dalam memberikan sumbangan seikhlasnya demi manfaat bersama.
“Setiap sumbangan, kecil atau besar, amat bermakna dalam usaha menjayakan projek ini.
“Semoga segala infak atau derma yang dihulurkan diberkati Allah swt dan menjadi amal soleh yang terus mengalir ganjarannya,” tambah Encik Zuraimi.
Bagi menjayakan usaha itu, Masjid Ar-Raudhah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya sukarelawan yang telah menyumbangkan masa, tenaga, dan semangat dengan penuh dedikasi.
Encik Zuraimi berkata: “Sokongan mereka ini melambangkan kekuatan ukhuwah serta kepedulian masyarakat Islam terhadap pembangunan institusi masjid.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg