Masjid Ar-Raudhah dengan penuh rasa syukur dan semangat ukhuwah berbesar hati mengumumkan penyertaannya dalam sebuah acara utama – ‘The Wedding Affair & Halal 2025’ – di Singapore Expo.
Masjid itu diberi penghormatan untuk mengendalikan sebuah reruai khas sepanjang acara tersebut sebagai sebahagian daripada pelibatan aktifnya dalam masyarakat.
Acara itu akan berlangsung di Dewan 5A dan 5B dari 13 hingga 16 Jun 2025.
Penyertaan Masjid Ar-Raudhah merupakan inisiatif penting dalam usaha mengumpul dana wakaf bagi menyokong projek peningkatan dan pembangunan prasarana masjid itu.
Usaha murni itu turut mendapat sokongan kuat daripada penganjur acara, MegaExpress International Pte Ltd.
Menurut Pengerusi Eksekutif, Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, kehadiran masjid di Bukit Batok itu dalam acara tersebut bukan bertujuan menggerakkan inisiatif pengumpulan dana sahaja, malah menjadi platform bagi masjid itu berdakwah dan bagi pengukuhan ukhuwah masyarakat Islam.
Reruai khas yang dikendalikan oleh Masjid Ar-Raudhah akan menampilkan pelbagai kegiatan menarik dan bermanfaat, merangkumi aspek kerohanian, kesihatan, dan kemasyarakatan.
Sepanjang tiga hari, pengunjung dapat menyertai pelbagai program yang disusun rapi.
Antara program itu ialah:
Reruai Wakaf – Peluang bagi anggota masyarakat menyumbang kepada dana wakaf masjid. Setiap sumbangan akan dihargai dengan pemberian kurma Ajwa secara percuma sebagai tanda terima kasih.
Senaman dan Ceramah Kesihatan – Kegiatan pada pagi hari pertama (Jumaat) akan dimulakan dengan senaman beramai-ramai, diikuti ceramah kesihatan yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan tubuh dan minda yang sihat dalam Islam.
Persembahan Nasyid oleh The Mi’raj Project – Pada petang hari pertama, pengunjung akan disajikan dengan alunan nasyid menyentuh hati dan menginsafkan oleh kumpulan nasyid terkenal, The Mi’raj Project.
Gema Al-Quran bersama Raudhatul Quran – Hari kedua (Sabtu) bakal menyaksikan lebih 300 pembaca Al-Quran menyertai program tilawah secara berkumpulan, sebagai usaha memperkukuh kecintaan terhadap kalamullah.
Forum Khas Wakaf – Pada hari kedua, forum ilmiah bertema wakaf akan dianjurkan dengan penyertaan penceramah seperti Ustaz Maaz Sallim dan pengasas Hayaa’ Network, Ustazah Liyana Musfirah. Moderator forum ini ialah Ustaz Raja Lutfil Hadi.
Acara Seruan Mahabbah Rasul & Talkshow Asatizah – Hari ketiga (Ahad) akan dipenuhi dengan pengisian rohani melalui program, ‘Seruan Mahabbah Rasul’ bersama asatizah dari Masjid Ar-Raudhah dan persembahan khas jemputan.
Acara akan diakhiri dengan sesi bicarawara bersama asatizah masjid.
Masjid Ar-Raudhah amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke reruai tersebut bagi ikut serta menyumbang kepada masjid dalam bentuk wakaf.
Sumbangan itu bukan sahaja membantu dalam pembangunan masjid dari sudut kewangan, malah memberikan peluang kepada penyumbang untuk meraih pahala berterusan yang dijanjikan Allah swt bagi amal jariah, termasuk wakaf.
“Setiap jumlah yang disumbangkan kepada wakaf akan memberikan impak besar, bukan untuk manfaat hari ini sahaja, bahkan bagi generasi masa hadapan.
“Kami amat berharap masyarakat Islam Singapura dapat bersama-sama menjayakan inisiatif ini,” ujar Encik Zuraimi.
Masjid Ar-Raudhah menyeru seluruh anggota masyarakat Islam supaya hadir memeriahkan acara itu, menyokong usaha wakaf, dan menghayati program yang telah diatur.
Dengan pelibatan aktif masyarakat, inisiatif itu diyakini akan menjadi titik tolak kepada pengukuhan seterusnya institusi masjid serta hubungan lebih erat antara masjid dengan umat Islam di Singapura serta antara umat Islam.
Cara menyumbang kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
Pemindahan akaun: OCBC Semasa 501-806368-001.
Hantarkan cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
Imbas kod QR yang tertera untuk menderma.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg