Arahan kedua kepada Meta untuk patuh dalam sasar penipuan di Facebook
Arahan kedua kepada Meta untuk patuh dalam sasar penipuan di Facebook
Polis telah mengeluarkan arahan kedua kepada syarikat konglomerat teknologi berbilang negara (MNC), Meta, untuk menyasarkan penipu di Facebook, yang perlu dipatuhi atau ia berisiko dikenakan denda hingga $1 juta.
Arahan pelaksanaan di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) dikeluarkan pada 27 Januari.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata arahan kedua itu memerlukan Meta, syarikat induk Facebook, untuk melaksanakan langkah pengenalan wajah yang dipertingkatkan dan memberi keutamaan kepada semakan laporan pengguna akhir dari Singapura.
Ini bertujuan mengurangkan iklan penipuan, akaun, profil dan halaman perniagaan yang menyamar sebagai dua kumpulan individu.
Kumpulan pertama termasuk pegawai pemerintah di Singapura yang tidak diliputi dalam arahan pertama yang dikeluarkan pada 24 September 2025.
Meta mesti melaksanakan langkah itu untuk kumpulan tersebut sebelum 31 Januari.
Kumpulan kedua merangkumi individu di Singapura yang dinilai oleh polis sebagai berisiko tinggi untuk disamarkan, termasuk mereka yang telah disamarkan dan membuat laporan polis.
Meta mesti melaksanakan langkah itu untuk kumpulan tersebut sebelum 28 Februari.
Meta juga mesti mempunyai langkah pengenalan wajah untuk pengguna Facebook terkenal di Singapura bagi menangani penipuan penyamaran secara berperingkat, dengan pelaksanaan sepenuhnya sebelum 30 Jun.
Meta mesti mematuhi arahan tersebut atau berhadapan dengan denda maksimum $1 juta dan jika kesalahan berterusan, denda sebanyak $100,000 sehari.
Arahan pelaksanaan kedua kepada Meta itu dikeluarkan empat bulan selepas arahan pertama pada 2025.
Arahan pertama itu memerlukan Meta melaksanakan langkah untuk menyasarkan iklan penipuan, akaun, profil dan halaman perniagaan yang menyamar sebagai pegawai pemerintah utama di Facebook.
MHA telah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas mengenai hasil arahan pertama.
Pada 29 Januari, MHA berkata polis melihat penurunan penipuan penyamaran di Facebook selepas arahan pertama, namun penipu kemudian beralih untuk menyamar sebagai individu yang tidak diliputi oleh arahan pertama itu.
OCHA, yang membolehkan pemerintah menghapuskan kandungan jenayah dalam talian, berkuat kuasa pada Februari 2024.
Berdasarkan angka yang disediakan bulanan oleh polis, lebih 36,700 kes penipuan dilaporkan dan lebih $893.7 juta telah hilang pada 2025.

