Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura arah Meta tangani penipu menyamar sebagai pegawai pemerintah jelang 30 Sep

Sep 25, 2025 | 5:16 PM
S’pura, Meta, kes jenayah menyamar sebagai pegawai pemerintah
Syarikat teknologi Meta dikehendaki melaksanakan langkah-langkah bagi mengekang akaun, profil, laman perniagaan dan iklan penipuan yang menyamar sebagai pegawai pemerintah kanan di Facebook. - Foto REUTERS

Polis telah mengeluarkan arahan kepada syarikat teknologi Meta agar menangani penipu yang menyamar sebagai pegawai pemerintah di Facebook.

Meta telah menerima arahan pelaksanaan itu di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) pada 24 September.

Syarikat induk Facebook itu dikehendaki melaksanakan langkah-langkah bagi mengekang iklan penipuan, akaun, profil dan laman perniagaan yang menyamar sebagai pegawai pemerintah kanan di platform media sosial tersebut.

Meta perlu mematuhi arahan itu menjelang 30 September, atau berisiko didenda hingga $1 juta. Bagi kesalahan berterusan, Meta boleh didenda hingga $100,000 sehari.

Ini kali pertama polis mengeluarkan arahan sedemikian kepada platform dalam talian untuk menangani penipuan, lapor The Straits Times (ST).

Ocha mula dikuatkuasakan pada Februari 2024, dan ia membenarkan pemerintah menghapuskan kandungan jenayah dalam talian.

Antara Jun 2024 dengan Jun 2025, terdapat peningkatan dalam bilangan penipu yang mempergunakan Facebook untuk menjalankan penipuan penyamaran, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 25 September.

Ini termasuk dengan menggunakan video atau imej pegawai pemerintah kanan dalam akaun, profil, laman perniagaan dan iklan palsu.

MHA menambah bahawa polis telah mengambil tindakan terhadap kira-kira 2,000 iklan dan akaun palsu di Facebook sepanjang tempoh itu.

“Facebook adalah wadah utama yang digunakan penipu untuk menjalankan penipuan penyamaran sebegitu. 

“Mengekang penyebaran penipuan sedemikian amat penting untuk melindungi orang ramai daripada bahaya, serta mengekalkan kepercayaan mereka terhadap pemerintah serta institusi awam,” kata MHA.

Kementerian itu menambah bahawa sedang Meta telah mengambil beberapa langkah untuk menangani risiko penipuan penyamaran di peringkat global, pihak berkuasa masih bimbang dengan kadar penipuan sedemikian di Singapura.

Arahan itu menghendaki Meta melaksanakan langkah pengenalan wajah yang dipertingkat di Singapura dan memberi keutamaan kepada laporan semakan pengguna setempat.

Ini bagi mengurangkan iklan, akaun, profil dan laman perniagaan yang menyamar sebagai pegawai pemerintah kanan di Singapura.

Beberapa akaun atau kiriman di Facebook yang menyamar sebagai Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan mantan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, telah muncul pada 2025.

Encik Wong menasihati orang ramai pada Mac agar berhati-hati terhadap iklan palsu di Facebook yang menggunakan gambar beliau untuk menjual mata wang kripto, skim buat duit, atau perkhidmatan permohonan sebagai penduduk tetap.

Statistik polis bagi pertengahan tahun menunjukkan penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah naik hampir tiga kali ganda, dengan 1,762 kes dilaporkan dalam separuh pertama 2025 berbanding 589 kes dalam separuh pertama 2024.

Dalam enam bulan pertama 2025, mangsa secara keseluruhan hilang $126.5 juta kepada penipuan tersebut, hampir dua kali ganda berbanding $67.2 juta bagi tempoh sama pada 2024.

MHA berkata polis akan bekerjasama dengan Meta untuk menggunakan langkah perlindungan penyamaran sedia ada bagi melindungi tokoh awam berpengaruh lain di Singapura yang berisiko disamar penipu.

Pihak berkuasa juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan syarat serupa ke atas wadah dalam talian lain, dengan butiran lanjut akan diumumkan kelak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg