Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arahan larangan naik pesawat kuat kuasa 30 Jan 2026, cegah pendatang tidak diingini

Nov 28, 2025 | 7:15 PM
akta larangan, naik pesawat, Akta Imigresen 1959
Pengendali syarikat penerbangan yang gagal mematuhi notis arahan larangan menaiki pesawat (NBD) akan didapati bersalah di bawah Akta Imigresen 1959 dan boleh dikenakan denda sehingga $10,000 jika sabit kesalahan. - Foto fail

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan melaksanakan arahan larangan menaiki pesawat (NBD) kepada pengendali syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi dan Seletar mulai 30 Januari 2026 bagi pendatang yang tidak diingini atau dilarang.

Langkah awal itu diambil bagi memperkukuh keselamatan sempadan Singapura, termasuk bagi mencegah mereka yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke Singapura, menurut kenyataan yang dikeluarkan ICA pada 28 November.

“Syarikat penerbangan yang menerima notis NBD tidak boleh membenarkan pelancong tersebut menaiki penerbangan ke Singapura.

“ICA juga boleh mengeluarkan NBD terhadap pelancong yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke Singapura, seperti tidak memiliki visa yang sah atau dokumen perjalanan dengan tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan,” kata ICA.

NBD membolehkan ICA mencegah pelancong yang dikenal pasti sebagai dilarang atau tidak diingini, daripada menaiki penerbangan ke Singapura, melalui maklumat awal pelancong mereka.

Pada masa ini, ICA memanfaatkan maklumat awal pelancong, termasuk yang disediakan dalam Kad Ketibaan Singapura (SGAC), manifes penerbangan dan sumber data lain, untuk mengenal pasti pelancong berisiko tinggi sebelum mereka tiba di pusat pemeriksaan.

Pelancong yang dikenal pasti akan ditandakan untuk pemeriksaan yang lebih ketat semasa melalui proses imigresen, kata ICA.

ICA menambah ia telah memaklumkan pengendali syarikat penerbangan dan akan terus bekerjasama dengan mereka untuk memastikan pelaksanaan peraturan NBD berjalan lancar.

Dalam beberapa kes, syarikat penerbangan mungkin dikehendaki melakukan pemeriksaan tambahan, seperti pengesahan visa atau penghantaran SGAC, sebelum membenarkan penumpang atau kru menaiki penerbangan.

“Pelancong yang ditolak menaiki pesawat tetapi masih ingin ke Singapura dikehendaki menulis kepada ICA melalui saluran maklum balas ICA untuk mendapatkan kelulusan kemasukan, sebelum mengatur penerbangan baru ke Singapura,” kata ICA.

Dalam pada itu, pengendali syarikat penerbangan yang gagal mematuhi notis NBD akan didapati bersalah di bawah Akta Imigresen 1959 dan boleh dikenakan denda sehingga $10,000 jika sabit kesalahan.

Sekiranya seorang juruterbang pesawat atau pekerja syarikat penerbangan membenarkan seseorang yang dikenakan NBD menaiki pesawat, sama ada melalui tindakan atau kealpaan, beliau boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau dipenjara sehingga 6 bulan, atau kededuanya sekali, jika disabit kesalahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg