Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arahan Pofma bagi ejen hartanah atas kenyataan palsu dasar integrasi etnik HDB

Aug 1, 2024 | 6:27 PM
Seorang ejen hartanah dikenakan Arahan Pembetulan berhubung video yang disiarkan di akaun TikTok dan Instagramnya pada 24 Julai dan kemudian di YouTube pada 25 Julai.
Seorang ejen hartanah dikenakan Arahan Pembetulan berhubung video yang disiarkan di akaun TikTok dan Instagramnya pada 24 Julai dan kemudian di YouTube pada 25 Julai. - Foto fail

Seorang ejen hartanah telah dikenakan Arahan Pembetulan berhubung video yang disiarkan yang mengandungi kenyataan palsu dan mengelirukan mengenai Dasar Integrasi Etnik (EIP) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Pada 1 Ogos, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) supaya mengeluarkan Arahan Pembetulan kepada Encik Shaik Amar, bagi video sepanjang lapan minit itu,

Ia pertama kali dimuat naik oleh ejen hartanah ERA tersebut di akaun TikTok dan Instagramnya pada 24 Julai, dan kemudian di YouTube pada 25 Julai.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata video tersebut mengelirukan dalam beberapa cara, dan arahan Pofma dikenakan berhubung dua kenyataan fakta palsu, lapor The Straits Times.

Pertama, bahawa EIP tidak memberi manfaat kepada isi rumah daripada minoriti etnik dan sebaliknya menyebabkan mereka kerugian wang yang banyak apabila mereka menjual flat mereka.

Kedua, bahawa EIP yang diperkenalkan pada 1960-an tidak diubah sehingga kini.

Dalam video tersebut, Encik Shaik merujuk kepada jualan flat baru-baru ini yang berharga $1.73 juta untuk flat lima bilik tingkat 45 SkyOasis @ Dawson di Margaret Drive, kawasan tempat beliau menetap.

Beliau menganggap EIP tidak adil, dan menyatakan bahawa pemilik flat daripada minoriti etnik mungkin terpaksa “memberi diskaun hampir setengah juta dolar untuk menjual rumah mereka”, memandangkan had EIP untuk mereka yang berbangsa Cina.

Dalam kenyataan tersebut, MND berkata bahawa EIP memberi manfaat kepada minoriti dalam beberapa cara.

Ini termasuk memastikan HDB memperuntukkan satu bahagian yang ditentukan daripada flat untuk masyarakat minoriti di semua kawasan HDB melalui program Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan Jualan Baki Flat (SBF), serta tempahan terbuka flat.

“Tanpa EIP, akan ada risiko tinggi bahawa peratusan pemilik daripada masyarakat minoriti di estet yang popular akan jauh berkurang, walaupun semasa waktu penjualan oleh HDB,” kata kementerian tersebut.

“Dengan cara ini, EIP secara amnya membolehkan lebih ramai individu daripada masyarakat minoriti mendapat manfaat apabila flat dijual.”

MND juga berkata adalah mengelirukan untuk memberi tumpuan pada titik jualan, tanpa menyatakan bahawa flat itu diperoleh pada mulanya dalam rangka kerja EIP.

Kementerian tersebut mencatatkan bahawa dasar ini memastikan bahawa minoriti etnik terus memiliki flat HDB di pelbagai kawasan, termasuk estet popular.

Tanpa EIP, dari masa ke masa, jumlah pemilik rumah daripada masyarakat minoriti yang memiliki flat di kawasan seperti itu akan berkurang, yang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat ini dalam beberapa cara, tambah MND.

Ini termasuk kemungkinan bahawa pemilik daripada masyarakat minoriti di kawasan seperti itu akan berkurang pada masa akan datang, kerana mereka tidak dapat memperoleh manfaat daripada kenaikan nilai pada masa hadapan, kata MND.

Pengasingan juga umumnya memberi kesan ebih besar kepada masyarakat minoriti berbanding majoriti, dalam kes ini, masyarakat berbangsa Cina.

Ia menambah: “Kesan pengasingan seperti itu adalah buruk dan boleh dilihat di banyak negara di seluruh dunia.”

MND menekankan bahawa Encik Shaik Amar sendiri telah meraih manfaat daripada EIP – tanpa dasar ini, isi rumahnya tidak akan dapat memilih flat SBF.

Semasa sesi SBF yang mana beliau telah menempah flat SkyOasis @ Dawson, semua pemohon minoriti buat kali pertama telah dijemput untuk memilih flat tiga bilik di Queenstown, kata MND.

Ini berbanding dengan hanya sekitar 40 peratus pemohon berbangsa Cina buat kali pertama yang telah dijemput untuk memilih flat kerana had EIP untuk pemohon berbangsa Cina.

MND mencatat bahawa nilai flat di SkyOasis @ Dawson sejak itu telah “meningkat dengan ketara”.

“Dengan cara ini, pemerintah memastikan masyarakat minoriti juga dapat memperoleh manfaat daripada kenaikan nilai yang berlaku apabila flat yang dibeli daripada HDB dijual pada harga yang lebih tinggi,” kata kementerian tersebut.

Mengenai kesilapan kedua, MND berkata bahawa EIP diperkenalkan pada 1989 – dan bukan pada 1960-an – untuk menangani trend membimbangkan pembentukan enklaf etnik di beberapa kawasan HDB.

Sebagai contoh, terdapat kawasan kejiranan dengan bilangan minoriti yang ketara, dan kawasan lain yang mana lebih daripada sembilan daripada 10 isi rumah adalah berbangsa Cina.

Selama bertahun-tahun, HDB telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membantu pemilik flat yang terhad oleh EIP, tambah MND.

Ini termasuk memberikan pemilik flat tersebut lebih masa untuk menjual flat sedia ada mereka jika mereka telah membeli flat lain, serta mengecualikan had EIP dalam keadaan luar biasa.

Pada 2022, HDB turut memperkenalkan Skim Bantuan Jual Balik EIP untuk menyediakan pilihan kepada pemilik rumah yang terhad oleh EIP untuk menjual flat mereka kepada HDB pada harga yang adil, berdasarkan keadaan pasaran semasa, kata kenyataan tersebut.

Oleh itu, kenyataan Encik Shaik Amar bahawa dasar ini tidak berubah sejak 1960-an adalah tidak benar, kata MND.

Untuk memanfaatkan skim jual balik, isi rumah perlu memiliki flat tersebut selama sekurang-kurangnya 10 tahun, dan flat itu harus juga dipasarkan pada harga yang berpatutan selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Mereka yang mengalami keadaan luar biasa boleh memohon kepada HDB untuk pertimbangan khas bagi mengecualikan syarat-syarat ini, tambah MND.

Flat yang dibeli semula oleh HDB dengan cara ini akan ditawarkan untuk dijual melalui sesi SBF atau tempahan terbuka flat, dan HDB akan memberikan subsidi yang ketara kepada nilai pasaran yang dinilai untuk menentukan harga jualan.

Apabila had EIP bagi mereka yang berbangsa Cina tercapai, hanya pembeli daripada masyarakat minoriti akan layak untuk membeli flat tersebut, dan mereka akan mendapat manfaat daripada subsidi, seperti pembeli lain, tambah MND.

Untuk mematuhi arahan Pofma, Encik Shaik Amar perlu meletakkan notis pembetulan di akaun TikTok, Instagram, dan YouTube beliau.

Notis-notis itu perlu menyatakan bahawa video yang dimuat naik pada 24 dan 25 Julai mengandungi kenyataan palsu dan mengelirukan, dan memberi pautan kepada penjelasan pemerintah untuk membolehkan penonton mempertimbangkan kededua versi dan membuat kesimpulan mereka sendiri, kata MND.

Pada 1 Ogos, Encik Shaik Amar telah memadam video di TikTok dan Instagramnya.

Walau bagaimanapun, video tersebut masih kekal di akaun YouTube beliau, kata MND.

Walaupun Encik Shaik Amar telah memadam video di TikTok dan Instagram, terdapat keperluan untuk menangani kesilapan yang mungkin telah tersebar dalam kalangan orang ramai akibat penerbitan video tersebut, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg