Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah mengarahkan Pejabat Pofma (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian) supaya mengeluarkan Arahan Pembetulan kepada Parti Demokratik Singapura (SDP).
Arahan itu dibuat susulan hantaran SDP di media sosial mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadap tiga wanita atas dakwaan penglibatan mereka dalam menganjurkan perarakan ke Istana tanpa permit.
Maklumat yang diterbitkan itu mengandungi fakta kenyataan yang palsu, menurut MHA dalam satu kenyataan pada 29 Jun.
Dalam hantaran di Facebook, Instagram dan TikTok pada 27 Jun dan 28 Jun, SDP telah membuat dakwaan bahawa ketiga-tiga wanita itu - Mossammad Sobikun Nahar, 25 tahun, Siti Amirah Mohamed Asrori, 29 tahun, dan Annamalai Kokila Parvathi, 35 tahun - telah dikenakan tindakan undang-undang kerana menganjurkan sokongan untuk rakyat Palestin yang menjadi mangsa dalam konflik Israel-Palestin, dalam bentuk perarakan di sekeliling Istana, iaitu satu kawasan larangan.
Ia juga menyatakan bahawa pemerintah, dan khususnya Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, mengenakan tindakan undang-undang ke atas tiga wanita itu kerana mereka telah meluahkan pandangan yang bertentangan dengan pandanganpemerintah.
Menjelaskan sebaliknya dalam kenyataan pada 29 Jun, MHA berkata ketiga-tiga wanita itu tidak didakwa disebabkan pandangan mereka menyokong Palestin, namun atas kesalahan menganjur perarakan mengelilingi Istana, yang merupakan kawasan larangan.
“Ketiga-tiga wanita itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Ketenteraman Awam 2009 (“POA”), kerana menganjurkan perarakan di kawasan larangan yang ditetapkan di bawah Seksyen 12 POA dan Perintah Ketenteraman Awam (Kawasan Larangan).
“Hantaran SDP itu secara palsu mencadangkan bahawa tiga wanita itu sebaliknya didakwa kerana menganjurkan sokongan untuk rakyat Palestin,” kata MHA dalam kenyataannya.
MHA dalam kenyataannya itu juga menegaskan bahawa keputusan untuk mendakwa ketiga-tiga wanita itu bukan sebagai tindak balas kepada pandangan yang mereka nyatakan, dan tidak bergantung kepada sama ada pandangan ini bersesuaian atau tidak selaras dengan pandangan pemerintah.
Dakwaan itu berkenaan dengan penganjuran perarakan tanpa kebenaran, seperti yang dinyatakan, tanpa merujuk kepada perkara lain (in and of itself).
Berhubung dakwaan SDP Encik Shanmugam memutuskan untuk mendakwa ketiga-ketiga wanita itu, MHA berkata ini adalah dakwaan palsu.
Ia berkata keputusan itu dibuat Pejabat Peguam Negara (AGC) yang membuat penilaian bergantung hasil siasatan polis.
“Menteri tidak membuat keputusan berkaitan pendakwaan jenayah,” jelas MHA.
Di bawah Arahan Pembetulan, SDP akan dikehendaki meletakkan notis pembetulan pada akaun Instagram dan Facebooknya dan membuat kiriman TikTok baru yang mengandungi notis pembetulan.
MHA juga mengeluarkan arahan pembetulan yang disasarkan kepada TikTok Pte Ltd tentang hantaran tersebut.
Syarikat tersebut dikehendaki menyampaikan notis pembetulan kepada semua pengguna di Singapura yang telah mengakses hantaran TikTok SDP yang mengandungi kepalsuan itu.
Ketiga-tiga wanita itu, pada 27 Jun dituduh di mahkamah di bawah Aktara Ketenteraman Awam kerana disyaki menganjurkan perarakan untuk menunjukkan sokongan untuk Palestin, termasuk mendapatkan penyertaan di dalam talian.
Annamalai dikenakan satu pertuduhan bersubahat menganjurkan perarakan awam di kawasan larangan, sementara Mossammad dan Amirah masing-masing dikenakan satu tuduhan menganjur perarakan awam di kawasan larangan.
MHA berkata kawasan larangan, yang termasuk Dewan Parlimen dan Mahkamat Tinggi, adalah kawasan di mana kawalan keselamatannya amat sensitif.
MHA berkata: “Undang-undang ini wujud untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam yang dinikmati warga Singapura pada masa ini.
“Kita hanya perlu lihat pengalaman di negara-negara lain yang membenarkan bantahan awam... untuk memahami bagaimana ia boleh menjejas kehidupan harian, selain menyebabkan kerosakan harta dan mencederakan peserta dan orang yang melihat di tepi jalan.”
Meski menyedari bahawa sesetengah rakyat Singapura mempunyai perasaan yang kuat tentang konflik Israel-Palestin, menyokong kedua-dua pihak, MHA berkata kebanyakan pandangan ini telah “diluahkan dengan cara yang tidak melanggar undang-undang, di dalam talian dan juga semasa forum dan dialog yang telah dianjurkan oleh pihak berkuasa dan entiti lain, serta melalui sokongan untuk kutipan derma”.
Pemerintah tidak mengambil tindakan terhadap perkara ini, tidak kira sama ada ia sejajar dengan kedudukan pemerintah Singapura mengenai konflik itu.
Bagaimanapun, perarakan awam yang tidak dibenarkan sama sekali dilarang kerana ia mungkin menjejas ketenteraman dan keselamatan awam, selain menimbulkan kebimbangan keselamatan, tidak kira apa sebabnya ataupun pihak mana yang disokong, tegas MHA.
“Kami ingin menggesa orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang akan merosakkan keamanan, ketenteraman awam dan keharmonian sosial yang rakyat Singapura telah bekerja keras untuk mencapai, dan menikmati hari ini.
“Kita tidak sepatutnya melanggar undang-undang dengan sengaja, walaupun untuk meluahkan pandangan. Jika kita berbuat demikian, akhirnya, kita akan menjadi masyarakat yang tidak mematuhi undang-undang, tidak stabil dan tidak teratur,” tambah MHA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg