Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna TikTok diberi amaran bersyarat sebar fakta palsu, gagal patuhi arahan Pofma

Jul 31, 2024 | 4:22 PM
Di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), kepalsuan lazimnya ditangani melalui Arahan Pembetulan yang memerlukan penerima untuk meletakkan notis, yang serupa dengan hak membalas, di sebelah pos asal dengan pautan kepada penjelasan pemerintah. 
Di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), kepalsuan lazimnya ditangani melalui Arahan Pembetulan yang memerlukan penerima untuk meletakkan notis, yang serupa dengan hak membalas, di sebelah pos asal dengan pautan kepada penjelasan pemerintah.  - Foto fail

Seorang lelaki berusia 58 tahun telah dikenakan amaran bersyarat selama 24 bulan kerana menyampaikan kenyataan fakta palsu dan gagal mematuhi Arahan Pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma).

Menurut kenyataan Pejabat Pofma pada 31 Julai, lelaki itu telah memuat naik empat video antara Julai dengan Ogos 2023 pada wadah media sosial, TikTok, yang mengandungi kepalsuan berkaitan dengan kerahsiaan mengundi, dasar Tabung Simpanan Pekerja (CPF) serta kemampuan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

“Siasatan mendedahkan, antara perkara lain, bahawa kepalsuan kerahsiaan mengundi adalah berdasarkan khabar angin dan tiada bukti sokongan untuk dakwaannya,” jelas Pejabat Pofma.

“Untuk kepalsuan yang berkaitan dengan dasar CPF dan kemampuan HDB, beliau juga gagal untuk merujuk pada maklumat yang tersedia secara umum di laman web Lembaga CPF dan Kementerian Tenaga Manusia, sebelum menyiarkan kepalsuan,” ujarnya lagi.

Di bawah Pofma, kepalsuan lazimnya ditangani melalui Arahan Pembetulan yang memerlukan penerima untuk meletakkan notis, yang serupa dengan hak membalas, di sebelah pos asal dengan pautan kepada penjelasan pemerintah.

Penjelasan itu menetapkan kepalsuan dan fakta untuk diteliti orang ramai, tanpa membuang catatan asal.

Pembaca kemudian boleh membaca kedua-dua catatan asal dan fakta dan menentukan sendiri apa yang benar.

Pejabat Pofma menyatakan lagi bahawa lelaki itu dikenakan Arahan Pembetulan dan gagal memenuhi arahan itu sepenuhnya, termasuk tidak meletakkan Notis Pembetulan yang diperlukan pada tarikh akhir yang ditetapkan.

Lelaki itu juga menukar nama akaunnya di TikTok, menyebabkan Notis Pembetulan tidak boleh diakses oleh pengguna, tambah kenyataan itu.

“Selepas pertimbangan teliti fakta dan keadaan kes, amaran bersyarat selama 24 bulan telah dikeluarkan kepada lelaki itu atas kesalahan di bawah Seksyen 7 dan 15 Pofma. Jika beliau melakukan kesalahan semula dalam tempoh ini, beliau boleh didakwa untuk jenayah asal,” kata Pejabat Pofma.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 7 Pofma, pesalah boleh dikenakan denda sehingga $50,000, hukuman penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya.

Kesalahan di bawah seksyen 15 Pofma pula membawa denda sehingga $20,000, hukuman penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg