Arahan Pofma terhadap aktivis politik berhubung kenyataan mengenai MSF, polis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arahan Pofma terhadap aktivis politik berhubung kenyataan mengenai MSF, polis

Mar 17, 2026 | 8:00 PM

Arahan Pofma terhadap aktivis politik berhubung kenyataan mengenai MSF, polis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Aktivis politik, Cik Han Hui Hui, telah diarahkan untuk menyiarkan notis pembetulan berhubung komen yang dibuatnya dalam beberapa video yang dimuat naik di Facebook dan YouTube mengenai layanan yang diterimanya berkaitan kebajikan tiga anaknya, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan polis dalam kenyataan bersama pada 17 Mac.
Aktivis politik, Cik Han Hui Hui, telah diarahkan untuk menyiarkan notis pembetulan berhubung komen yang dibuatnya dalam beberapa video yang dimuat naik di Facebook dan YouTube mengenai layanan yang diterimanya berkaitan kebajikan tiga anaknya, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan polis dalam kenyataan bersama pada 17 Mac. - Foto ST

Aktivis politik, Cik Han Hui Hui, telah diarahkan untuk menyiarkan notis pembetulan berhubung komen yang dibuatnya dalam beberapa video yang dimuat naik di Facebook dan YouTube mengenai layanan yang diterimanya berkaitan kebajikan tiga anaknya.

Pejabat Pofma, yang menguruskan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian, telah diarahkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk mengeluarkan arahan pembetulan kepada Cik Han di bawah undang-undang berita palsu Singapura, menurut kenyataan bersama MSF dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 17 Mac.

Di bawah arahan tersebut, ibu tiga anak berusia 33 tahun itu dikehendaki menyiarkan notis pembetulan berhubung kenyataan tidak benar dalam siaran langsungnya yang kini telah dipadam.

Kenyataan oleh MSF dan polis mengenal pasti tujuh kepalsuan dalam video-video yang dimuat naik dalam akaun media sosial Cik Han setelah anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan perlindungan pada 15 Februari.

Kepalsuan itu termasuk dakwaan bahawa MSF mengambil kanak-kanak daripada keluarga walaupun mengetahui tiada penderaan, semata-mata untuk menunjukkan kadar disatukan semula yang tinggi, dan Cik Han tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan MSF mengenai penempatan anak-anaknya di bawah jagaan perlindungan.

Menurut kenyataan tersebut, Cik Han juga didakwa telah membuat kenyataan tidak benar bahawa MSF cuba menyembunyikan keadaan fizikal anak-anak tersebut dengan memberitahunya supaya tidak merakam atau mengambil gambar mereka, serta MSF mengugut untuk menafikan akses beliau kepada anak-anaknya sekiranya beliau tidak memadam kiriman media sosial yang tidak selaras dengan dasar pemerintah.

Kepalsuan itu juga termasuk dakwaan bahawa MSF berhasrat menghalang Cik Han daripada mengakses anak-anaknya secara kekal; serta polis belum menamatkan siasatan yang bermula pada Ogos 2025.

Menurut kenyataan tersebut, polis telah menerima beberapa laporan daripada Cik Han dan suaminya mengenai pelbagai dakwaan keganasan antara satu sama lain.

Dakwaan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan ketiga-tiga anak-anak mereka.

Lantas, rancangan keselamatan ditetapkan oleh Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak pada Oktober 2025.

Cik Han dan suaminya bersetuju dengan rancangan tersebut.

Salah satu arahan di bawah rancangan itu ialah untuk mendapatkan nenek sebelah bapa kanak-kanak itu, yang telah ditetapkan sebagai “orang dewasa selamat”, berpindah ke rumah itu untuk memantau penjagaan anak-anak di bawah jagaan Cik Han.

Antara Januari dengan Februari 2026, polis menerima laporan baru daripada Cik Han, suaminya, dan nenek sebelah bapa kanak-kanak itu, terhadap satu sama lain.

Pada 15 Februari, Cik Han menghubungi polis mengenai satu pertengkaran yang didakwa berlaku antara nenek dengan kanak-kanak tersebut.

Pegawai polis yang hadir menilai bahawa terdapat kebimbangan serius mengenai keselamatan kanak-kanak tersebut.

Memandangkan rancangan keselamatan tidak lagi praktikal, polis memutuskan untuk mengeluarkan ketiga-tiga kanak-kanak itu daripada rumah tersebut.

Tindakan itu diambil sejajar dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, yang membolehkan pegawai polis mengeluarkan seorang kanak-kanak atau remaja dan menempatkannya di tempat penjagaan sementara, sekiranya dianggap memerlukan penjagaan atau perlindungan.

Kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), yang merupakan tempat yang ditetapkan untuk penjagaan dan perlindungan sementara.

Pada hari yang sama, polis juga merujuk kes itu kepada MSF untuk siasatan sosial lanjut.

Pada 19 Februari, Cik Han dan suaminya menandatangani Perjanjian Penjagaan Secara Sukarela, yang mengesahkan persetujuan mereka untuk membenarkan anak-anak kekal di hospital dengan akses lawatan mingguan secara berasingan dan di bawah pengawasan, sementara aturan penjagaan selamat lanjut diusahakan bersama keluarga.

Cik Han menghadiri sesi lawatan yang diawasi bersama anak-anaknya di hospital pada 20 dan 26 Februari, serta 1, 3 dan 6 Mac.

Seorang pegawai perlindungan MSF pada 1 Mac memaklumkan kepada Cik Han semasa lawatannya bahawa beliau dibenarkan merakam video dan mengambil gambar anak-anaknya untuk simpanan peribadi, tetapi tidak dibenarkan menyiarkan bahan tersebut bagi melindungi identiti kanak-kanak.

Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA) mengharamkan penerbitan gambar atau video kanak-kanak yang menjadi subjek sebarang siasatan.

Bagaimanapun, Cik Han telah menyiarkan video lawatan pada 1 Mac itu di media sosial pada 7 Mac.

Pada 11 Mac, Cik Han dijadualkan untuk satu lagi lawatan yang diawasi di KKH.

Apabila diberitahu bahawa beliau tidak dibenarkan menyiarkan gambar atau video anak-anaknya, beliau mula menyiarkan secara langsung interaksinya bersama pegawai perlindungan.

Kemudian, beliau tidak dapat melawat anak-anaknya kerana enggan mematuhi arahan untuk berhenti merakam.

MSF menegaskan bahawa ia tidak pernah mengugut untuk menafikan akses Cik Han kepada anak-anaknya, sekiranya beliau tidak memadam kiriman media sosial yang tidak selaras dengan dasar pemerintah.

Kenyataan MSF dan polis turut menyatakan bahawa siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Cik Han dan ahli keluarganya antara Ogos dengan Disember 2025 telah selesai.

Cik Han dan suaminya masing-masing telah dikenakan amaran bersyarat pada 9 Februari dan 11 Februari. Kenyataan tersebut tidak menyatakan butiran mengenai sebab amaran bersyarat itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat laporan polis baru yang dibuat oleh Cik Han, suaminya, dan ibu bapa sebelah suami terhadap satu sama lain antara Januari dengan Februari, yang masih disiasat.

Insiden pada 15 Februari 2026 berpunca daripada konflik yang melibatkan Cik Han, suaminya, dan nenek sebelah bapa kanak-kanak itu.

Kanak-kanak terlibat secara tidak langsung dalam konflik orang dewasa dan dilaporkan terbabit dalam satu pertengkaran fizikal yang didakwa berlaku dengan nenek sebelah bapa mereka.

“Oleh itu, rancangan keselamatan sedia ada tidak boleh diteruskan (di mana nenek sebelah bapa kanak-kanak ditetapkan sebagai orang dewasa selamat untuk menjamin kesejahteraan mereka).

“Kanak-kanak itu telah dipindahkan ke KKH dan MSF menjalankan siasatan sosial menyeluruh yang turut merangkumi semakan pelan keselamatan,” menurut kenyataan bersama itu.

MSF menilai bahawa langkah-langkah keselamatan tambahan perlu ditetapkan sebelum kanak-kanak itu dapat dipulangkan kepada keluarga tersebut.

“Susulan satu persidangan keluarga pada 16 Mac, MSF bekerjasama dengan Cik Han dan suaminya untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan ini, dan kanak-kanak itu dipulangkan kepada jagaan Cik Han pada 16 Mac,” menurut kenyataan bersama itu.

SPF dan MSF menyatakan bahawa Cik Han dan suaminya telah bersetuju secara bersama terhadap beberapa syarat, termasuk penglibatan orang dewasa selamat baharu daripada kalangan keluarga mereka untuk membuat pemeriksaan tambahan ke atas kanak-kanak itu melalui lawatan fizikal dan panggilan video.

Cik Han dan suaminya juga akan menerima campur tangan profesional daripada agensi yang dilantik MSF bagi menangani penggunaan keganasan antara satu sama lain dan penglibatan anak-anak mereka dalam konflik, serta mengukuhkan amalan keibubapaan yang selamat.

Menurut kenyataan itu, MSF dan pihak profesional akan bekerjasama rapat dengan perkhidmatan yang sedia ada untuk kanak-kanak itu seperti sekolah, perkhidmatan selepas sekolah dan program lawatan ke rumah bagi memantau dan menyokong keselamatan serta kesejahteraan mereka.

“Anggota profesional ini akan memaklumkan kepada MSF sekiranya terdapat sebarang kebimbangan,” tambah MSF dan SPF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg