Jel 9 bulan bagi ibu tendang, tampar anak lelaki 7 tahun
Jel 9 bulan bagi ibu tendang, tampar anak lelaki 7 tahun
Seorang ibu yang mendera anak lelakinya yang ketika itu berusia tujuh tahun dengan menampar muka, memijak kaki dan menendang tubuh anaknya itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan pada 26 Januari.
Wanita berusia 31 tahun itu sebelum ini telah mengaku bersalah pada November 2025 atas satu tuduhan menganiaya anaknya.
Nama wanita tersebut tidak boleh didedahkan berikutan perintah larangan bagi melindungi identiti mangsa.
Wanita itu telah menyatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.
Penderaan tersebut berlaku pada 2022 dan bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis pada 2024. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sebab kelewatan laporan itu.
Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa tertuduh dan suaminya telah berpisah.
Pada 21 November 2022, ibu bapa kanak-kanak itu bertengkar di rumah berhubung penggunaan bahasa kesat oleh ibu tersebut terhadap anak mereka itu.
Selepas pertengkaran tersebut, bapa kanak-kanak itu pergi ke ruang tamu untuk sembahyang manakala wanita berkenaan membuat panggilan telefon.
Ketika sedang berbual di telefon, wanita tersebut memarahi anaknya yang sedang berjalan di sekitar ruang tamu.
Dia menampar muka kanak-kanak itu sehingga hampir terjatuh ke belakang.
Wanita itu kemudian mendekati kanak-kanak itu dengan secara agresif, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu hilang imbangan dan jatuh. Namun dia terus memarahi anaknya itu.
Ketika kanak-kanak itu terbaring di lantai, wanita berkenaan memijak kaki dan menendang tubuhnya. Perbuatannya itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Apabila bapa tersebut mendengar kekecohan itu, beliau campur tangan dan satu pertengkaran berlaku antara pasangan itu.
Dalam prosiding mahkamah sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Emily Koh menekankan tentang usia muda kanak-kanak itu, sambil menambah, perbuatan wanita berkenaan menambah keseriusan kesalahan itu kerana menyalahgunakan kepercayaan yang diletakkan kepadanya sebagai seorang ibu.
Dalam rayuannya, peguam bela, Encik A. Rajandran, berkata penderaan itu merupakan kejadian terpencil yang berlaku selama kira-kira 10 saat, dan kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan serius.
Pesalah yang didapati menganiaya kanak-kanak di bawah penjagaan mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga lapan tahun, denda sehingga $8,000, atau kedua-duanya sekali.

