Dera anak tiri: Wanita dijel 6 tahun, 3 bulan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dera anak tiri: Wanita dijel 6 tahun, 3 bulan

Mar 13, 2026 | 3:14 PM

Dera anak tiri: Wanita dijel 6 tahun, 3 bulan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
jenayah, dera anak, child abuse, penjara, kematian
Antara Oktober 2016 dengan Ogos 2017, Ayeesha dan adiknya dikurung dalam keadaan bogel di dalam bilik air. - Foto DOKUMEN MAHKAMAH SINGAPURA

Seorang wanita yang menganiaya dua anak tirinya bersama suaminya, termasuk membiarkan mereka kebuluran, dipenjara enam tahun tiga bulan pada 13 Mac.

Kedua-dua kanak-kanak itu amat kurang pemakanan sehingga berada di bawah persentil ketiga bagi umur mereka.

Ia bermakna 97 peratus kanak-kanak sebaya mereka mempunyai saiz lebih besar dan lebih berat.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Eugene Teo berkata penganiayaan terhadap golongan sangat rentan itu berlarutan “dari jam ke hari, dari minggu ke bulan”.

“Sukar menerima permohonan belas kasihan sekarang sedangkan dua kanak-kanak itu hampir tidak pernah menerimanya,” katanya.

Suami wanita itu sebelum ini dihukum 34 setengah tahun penjara dan 12 sebatan pada April 2024 atas kematian anak kandungnya, Ayeesha.

Hukuman itu kemudian ditambah menjadi penjara seumur hidup pada Julai 2025 selepas rayuannya gagal.

Ayeesha berusia lima tahun ketika meninggal dunia pada 2017 akibat kecederaan kepala yang disebabkan oleh bapanya.

Adik lelakinya yang terselamat daripada penderaan berusia kira-kira empat tahun ketika itu.

Mahkamah diberitahu dari Februari hingga Oktober 2016, wanita itu mengurung kededua kanak-kanak tersebut di sudut bilik kira-kira 90 sentimeter (cm) kali 90 cm, dan hanya membenarkan mereka keluar untuk makan dan mandi.

Mereka juga dikurung dalam keadaan bogel di dalam bilik air dari Oktober 2016 hingga Ogos 2017.

Wanita berusia 35 tahun itu pada awalnya didakwa atas empat tuduhan menganiaya kanak-kanak dan dua tuduhan memberi maklumat palsu kepada pegawai awam.

Pada 13 Mac, dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menganiaya kanak-kanak dan satu tuduhan membuat laporan polis palsu.

Butiran pasangan itu tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti budak lelaki itu, tetapi mahkamah membenarkan nama Ayeesha dikenal pasti “agar masyarakat mengingatinya”.

Lelaki itu pada asalnya didakwa membunuh, tetapi pada 2023 mengaku bersalah atas tuduhan diringankan kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, selain empat tuduhan penderaan kanak-kanak dan satu tuduhan menghapuskan bukti.

Sebanyak 20 lagi tuduhan, termasuk penderaan kanak-kanak dan memberi keterangan palsu kepada polis, diambil kira dalam hukuman lelaki itu.

Wanita tersebut, yang mempunyai seorang anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu, berkahwin dengannya pada 2015.

Dua mangsa ialah anak lelaki dan perempuan daripada perkahwinan suaminya sebelum ini.

Lelaki itu mula mendera anaknya pada 2015 dengan tidak memberi mereka makanan secukupnya sehingga mereka memakan najis sendiri serta isi tilam.

Beberapa hari sebelum kematian Ayeesha, dia menamparnya 15 hingga 20 kali serta menumbuk belakang kedua-dua beradik itu.

Pada 11 Ogos 2017 kira-kira 3 pagi, dia menendang dan memijak Ayeesha hingga mati.

Wanita itu menyedari kanak-kanak itu telah meninggal dunia apabila masuk ke tandas pada petang itu.

Dia melihat budak lelaki itu menghadap dinding, manakala Ayeesha terbaring dengan mata tertutup.

Dia menyedari tubuh Ayeesha sejuk apabila menyentuh pipi kirinya.

Wanita itu lalu menjerit memanggil lelaki tersebut, yang cuba mengangkat tubuh Ayeesha yang sudah kaku.

Lelaki itu melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) tetapi gagal menyelamatkannya.

Selepas menyedari kanak-kanak itu meninggal dunia, dia membuang kamera litar tertutup (CCTV) yang digunakan untuk memantau mereka bagi menghapuskan bukti.

Adik dan mayat Ayeesha kemudian dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH), dan lelaki itu berbohong kepada kakitangan hospital bahawa Ayeesha tidak sedarkan diri pada pagi itu.

Adiknya yang terselamat dimasukkan ke hospital selama lebih tiga bulan dan disahkan mengalami kelewatan pembangunan global (GDD) akibat pengabaian sosial.

Dia perlu menjalani fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan.

Pihak pendakwa memohon hukuman lima hingga tujuh tahun penjara, manakala peguam bagi pihak wanita – daripada Pejabat Peguam Bela Awam – memohon lima tahun penjara.

Bagi kesalahan menganiaya kanak-kanak, pesalah boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda hingga $4,000 atau kedua-duanya.

Bagi memberi maklumat palsu kepada pegawai awam, pesalah boleh dipenjara sehingga setahun, didenda hingga $5,000 atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg